Sunday, 29 January 2017

Peringatan Diri: Hidup Yang Bermakna

*PERINGATAN DIRI*

Hidup yang bererti ialah hidup yang bukan hanya untuk diri sendiri tetapi dimaknakan dengan keprihatinan terhadap insan lain. Itulah ajaran Islam yang sangat manis. Nabi saw bersabda

مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَان وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ
بِهِ

"Tidak beriman denganku sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang manakala jirannya lapar di sebelahnya sedang dia mengetahuinya." Hadis riwayat al-Bazar dengan Isnas Hasan

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Peringatan Diri: Surau Juga Adalah Masjid

*Peringatan Diri*

Surau Juga Adalah "Masjid"

Masjid secara umumnya adalah tempat yang dikhususkan untuk diadakan solat khususnya berjamaah lima waktu. Sebuah masjid tidak semestinya di adakan padanya solat Jumaat. Dalam bab iktikaf, Imam Syafie menegaskan bahawa yang Afdhal ialah iktikaf di masjid yang diadakan padanya solat Jumaat. Ia menunjukkan ada masjid yang tidak dibuat solat Jumaat.

Justeru, surau dalam konteks orang Melayu adalah masjid yang ada padanya hukum solat sunat Tahiyatul Masjid dan hukum haram dimasuki oleh wanita yang haid dan orang yang berjunub melainkan sekadar untuk lalu. Boleh juga bagi yang berjunub dan wanita haid berada di luar daripada dewan utama solat sesebuah surau atau masjid khususnya untuk mengikuti pengajaran ilmu.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 29 hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Memerintah Negara Dengan Dasar Islam

_Lajnah Penerangan_
_Dewan Ulamak PAS Pusat_

*Memerintah Negara Dengan Dasar dan Prinsip Islam*

Pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan. Menaikkan elaun guru Quran, memberi tanah untuk pembinaan Mahkamah Syariah,  membina masjid, menyediakan peruntukan untuk agama Islam itu semua bukannya ukuran utama keislaman sesebuah kerajaan.

Keislaman sesebuah kerajaan tergambar dengan Islam dijadikan dasar dan prinsip dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran bagi kementerian dan jabatan.

Sesebuah kerajaan perlu menerima bahawa al-Quran dan al-Sunnah mesti menjadi rujukan.

Sebuah kerajaan Islam mesti diperintah oleh seorang muslim yang adil yang tidak fasik melakukan dosa-dosa besar. Seorang yang fasik melakukan maksiat berterusan tanpa taubat mana mungkin mampu menegakkan sebuah keadilan.

Tidak boleh Ketua Negara, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menterinya seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam. Kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi seorang Ketua Menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak akan menjamin pelaksanaan Syariat Islam.

Islam mesti diterima pada undang-undang ibadahnya, undang-undang kekeluargaannya, undang-undang kontrak dan transaksi kewangan, undang-undang jenayah, undang-undang antarabangsa, kehakiman dan politik pemerintahan.

Riba tidak boleh menjadi paksi ekonomi dan kewangan kerana ia adalah ibu kerosakan.

Jangan terpedaya dengan momokan untuk adil seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz jika akidahnya tidak seperti Umar bin Abdul Aziz sementelah pula akhlaknya kerana keadilan itu tidak akan berlaku dan terlaksana tanpa akidah dan akhlak Islam.

Allah memperingatkan:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ 
Surah al-Baqarah ayat 120.

Sekian

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahad 29hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Saturday, 28 January 2017

Peringatan Diri: Taqlid Mazhab Empat

*Peringatan Diri*

Setiap muslim yang tidak mencapai kemampuan ilmu untuk berijtihad dalam memahami fiqh al-Quran dan al-Hadis secara halus dan teliti perlu mengikut ijtihad mana-mana tokoh Ulama seperti Imam Mazhab yang empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Seterusnya setiap muslim berusaha memahami dalil-dalil hukum kadar kemampuan ilmu bagi melengkapkan amal.

Dr Khairuddin at-Takiri
Sabtu 28hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 26 January 2017

Meninjau keadaan hakisan pantai Mengabang Telipot*

*Meninjau keadaan hakisan pantai Mengabang Telipot*

Saya sudah jelaskan banyak kali di parlimen bahawa tambakan batu tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan.  Malah akan memburukkannya lagi. Ia akan menyebabkan hakisan teruk pada pantai ke sebelah utara selepas tambakan batu tersebut. Namun, menteri berkaitan masih bertegas dengan pandangan tambakan batu sebagai penyelesaian.

Kaedah terbaik ialah tambakan pasir sebagaimana di buat di pantai Miami, Queensland, Australia. Ia adalah pandangan yang telah dilontarkan oleh pengkaji daripada Universiti Malaysia Terengganu.

Isu ini telah saya bawa ke parlimen se awal sidang pertama parlimen sesi 2013 pada 16.7.2013

http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2013/7/48814/pas-syor-guna-kaedah-efektif-atasi-hakisan-pantai.html

Kaedah tambakan batu tidak menyelesaikan masalah. Ini terbukti jelas daripada apa yang berlaku kepada pantai Mengabang Telipot di hadapan masjid Mengabang Telipot hari ini selepas tambakan batu di buat di Kg Gelam bagi menyelamatkan hakisan pantai di situ tahun lepas.

Setahun yang lalu pada April 2016 pertemuan telah dibuat antara rakyat dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Terengganu membincangkan penyelesaian hakisan pantai Kg Gelam dengan kehadiran YAB Menteri Besar dan say sendiri. JPS menegaskan penyelesaian tambakan batu sebagai penyelesaian.

Berpuluh juta telah dihabiskan untuk projek tersebut menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan. Namun hasilnya hari ini ialah berlaku pula hakisan teruk pada pantai Mengabang Telipot di utara Kg Tg Gelam selepas berakhirnya tambakan batu Kg Tg Gelam. Sekiranya di tambak pula Kg Mengabang Telipot dengan batu lagi ia akan menyebabkan hakisan teruk untuk pantai seterusnya. Justeru, berapa ratus juta diperlukan untuk menambak kesuruhan pantai terengganu sehingga ke Besut?

Penyelesaian yang telah dikemukakan oleh para pengkaji daripada Univ Malaysia Terengganu yang telah saya utarakan berkali-kali di parlimen ialah "tambakan pasir" bagi menyelamatkan hakisan terhadap pantai dan tanah orang kampung.

Ia telah dilaksanakan oleh Australia dan Amerika Syarikat dan terbukti berkesan. Malah tanah pantai yang ditambak dengan tanah meluaskan lagi kawasan pantai sehingga dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviri perlancongan.

Perlu diingat masalah hakisan ini bermula dengan tambakan batu untuk membina Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Teluk Ketapang dengan memanjangkan pantai. Kesannya ialah berlaku hakisan teruk melibatkan pantai di utara Lapangan Terbang iaitu pantai Tok Jembal sehingga merosakkan peralatan milik UMT. Apabila kerajaan menambak pantai Tok Jembal dengan batu maka bermulalah pula hakisan di pantai Kg Tg Gelam. Selepas di tambak pantai Kg Tg Gelam tahun lepas maka tahun ini berlaku pula hakisan di pantai Mengabang Telipot.

Tambakan batu menyebabkan daya kekuatan hempasan ombak telah dikumpul untuk beralih "menghentam" jajaran pantI ke utara selepasnya sehingga menyebabkan hakisan teruk. Sehingga kini keseluruhan peruntukan kerajaan pusat untuk tambakan batu di pantai Teluk Ketapang, pantai Tok Jembal dan Kg Tg Gelam menjangkau rm120 juta.

Rujuk berita hakisan pantai Tok Jembal 18.10.2014

https://www.google.com.my/amp/www.bharian.com.my/node/12360/amp?client=safari

Rujuk berita hakisan pantai Tok Jembal 4.10.2015

Cegah hakisan Pantai Tok Jembal - Terengganu - Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/terengganu/cegah-hakisan-pantai-tok-jembal-1.436506

Berita hakisan pantai Tg Gelam setahun lalu 27.12.2015
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/terengganu/hakisan-pantai-makin-parah-1.466021

Peruntukan rm1.2 juta oleh kerajaan negeri 29.12.2016
http://m.utusan.com.my/berita/komuniti/rm1-2-juta-atasi-hakisan-pantai-tanjung-gelam-1.425620

Jawapan oleh Menteri di Parlimen berhubung soalan saya tentnag status projek tambakan batu pada 16.5.2016

http://drtakiri.blogspot.my/2016/05/hakisan-pantai-tanjung-gelam-kuala-nerus.html?m=1

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 26 Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Saturday, 21 January 2017

Peringatan Diri: Akhlak Bersangka Baik

*PERINGATAN DIRI*

SANGKA BAIK adalah akhlak seorang mukmin. Ia melapangkan dada serta membina pemikiran positif. Begitu banyak perlakuan seseorang yang tidak kita ketahui hakikatnya selain apa yang dilihat dengan mata kasar. Maka bersangka baik terhadap sebarang perlakuan seseorang adalah hak bersaudara dalam Islam yang mesti ditunaikan.

Berkata Abu Qilabah:
_"Apabila sampai kepadamu tentang saudaramu sesuatu yang kamu tidak suka maka carilah untuknya justifikasi sedayamu. Sekiranya kamu tidak menemui sebarang justifikasi maka sebutlah pada dirimu: barangkali saudaraku mempunyai justifikasi yang tidak ku ketahui"_.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 21 hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 19 January 2017

Peringatan Diri: Siapa Sebenarnya Bodoh

*PERINGATAN DIRI*

*SIAPA SEBENARNYA BODOH?*

Allah berfirman dalam ayat 13 surah al-Baqarah:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ ۗ

_"Dan apabila dikatakan kepada mereka; berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman. Mereka menjawab; adakah kami patut beriman sepertimana berimannya orang-orang yang BODOH?"_

BODOH adalah kecaman yang dilontarkan terhadap golongan Mukmin oleh golongan Munafik  yang zahirnya dilihat beriman tetapi hakikatnya engkar dan kufur kepada Allah.

Pada sudut akal fikiran, nilaian dan neraca timbangan mereka, beriman dengan Allah adalah BODOH dan menyeru manusia untuk mengamalkan perintah Allah adalah BODOH.

Namun Allah menegaskan
 أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِن لَّا يَعْلَمُونَ
_"Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah sebenar-benar orang yang BODOH sedang mereka tidak tahu"_.

Demikianlah berbezanya nilaian akal manusia berbanding nilaian Allah.

Dr Khairuddin at-Takiri
Khamis 19hb Januari 2017

https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Wednesday, 18 January 2017

Peringatan Diri: Kaya Yang Sebenar

*Peringatan Diri*

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah perlu disyukuri bermula dengan rasa bertuah diberikan nikmat tersebut seterusnya digunakan nikmat tersebut di tempat yang di redhai oleh Allah. Untuk menimbulkan rasa keuntungan dengan nikmat tersebut lihatlah pada orang yang tidak dilimpahi dengan nikmat tersebut.

Dr Khairuddin at-Takiri
https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Tuesday, 17 January 2017

Peringatan Diri: Syukuri Nikmat

*Peringatan Diri*

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah perlu disyukuri bermula dengan rasa bertuah diberikan nikmat tersebut seterusnya digunakan nikmat tersebut di tempat yang di redhai oleh Allah. Untuk menimbulkan rasa keuntungan dengan nikmat tersebut lihatlah pada orang yang tidak dilimpahi dengan nikmat tersebut.

Dr Khairuddin at-Takiri
https://www.facebook.com/drtakiri/
www.drtakiri.blogspot.com

Sunday, 15 January 2017

Membina Negara Beragama

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
✳ *MEMBINA NEGARA BERAGAMA*

1. Malaysia adalah kesinambungan negeri-negeri Islam yang wujud dan berdaulat sebelum era campur tangan British. Negeri Islam bermaksud negeri yang diperintah oleh pemerintah muslim dengan bertunjangkan hukum hakam Islam sebagai asas pemerintahan dan pentadbiran.

2. Apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang menggabungkan sembilan negeri Islam Melayu Beraja dan negeri-negeri Selat dan seterusnya ditubuhkan pula Malaysia pada 1963, perlembagaan menobatkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Artikel 3.

4. Kedudukan Islam diperkasakan menerusi pelbagai lagi peruntukan perlembagaan melibatkan Ketua Negara dan juga kuasa Islam di peringkat negeri-negeri Melayu Beraja serta pelbagai lagi undang-undang dan enakmen yang digubal dari semasa ke semasa di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

5. Maka seharusnya kedudukan Islam ini terus diperkukuh dan diperkasakan oleh raja-raja Melayu, para pemerintah dan pentadbir kerajaan negeri dan persekutuan merangkumi pelbagai aspek sama ada pada aqidah dan keyakinan rakyat atau pada Syariat perundangan melibatkan hal ehwal peribadi dan akhlak, hal ehwal kekeluargaan, undang-undang kontrak dan urusan kewangan serta perekonomian dan kehakiman serta perundangan jenayah.

6. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk memperjuangkan perkara ini sebagai satu usaha jihad dakwah dan amar makruf nahi mungkar menerusi penerangan lisan atau bertulis atau praktik perundangan atau praktik politik kekuasaan.

7. Memperjuangkan praktik beragama bagi negara bernama Malaysia bererti memberikan hak kebebasan kepada rakyat bukan Islam bagi mengamalkan agama selain Islam pada aspek ritual dan kehidupan mereka sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan dan sebagaimana ditetapkan oleh Islam.

8. Memperjuangkan Islam bagi negara ini bererti memberikan keadilan sosial, ekonomi dan perundangan kepada seluruh rakyat sama ada muslim atau bukan muslim kerana praktik beragama bagi Islam menjamin hak dan keadilan untuk semua.

9. Penentangan terhadap agenda ini oleh mereka yang masih berfikiran liberal atau sekuler di kalangan muslim sendiri atau di kalangan bukan Islam yang ekstrem perlu ditangani dengan dakwah yang penuh hikmah bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni berasaskan budaya ilmu dan saling hormat menghormati.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
15hb Januari 2017

https://pas.org.my/artikel-berita-dupp/10578-membina-negara-beragama

Friday, 13 January 2017

Pandangan Timbalan Presiden Gerakan Berpotensi Merobekkan Perpaduan Rakyat*


Kenyataan Media
*Ketua Penerangan*
*Dewan Ulamak PAS Pusat*

*Pandangan Timbalan Presiden Gerakan Berpotensi Merobekkan Perpaduan Rakyat*

1. Kerajaan Persekutuan sememangnya mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu sekolah agama dengan peruntukan kewangan selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Apa yang telah dilaksanakan hari ini oleh kerajaan Persekutuan perlu diperkasa dan diperkukuhkan lagi.

2. Sekolah agama di samping menjadi pusat pendidikan akademik berasaskan kurikulum rasmi negara telah berfungsi sebagai pusat pendidikan akhlak dan moral yang membantu kelangsungan pembangunan insan dalam negara sejak puluhan tahun.

3. Sekolah agama juga berfungsi sebagai ejen perpaduan di kalangan rakyat menerusi pengajaran Islam yang sememangnya menekankan aspek perpaduan dan keadilan di kalangan rakyat serta kedamaian sejagat.

4. Hasil pengajaran agama di sekolah agama memberi sumbangan besar melahirkan masyarakat muslim yang sangat bertoleransi sehingga menerima kehadiran pelbagai bangsa, kaum dan agama di negara ini. Ia telah terbukti sepanjang sejarah pembentukan Malaysia.

5. Perpaduan antara rakyat negara ini perlu dipupuk dengan memperkukuhkan kefahaman beragama tentang Islam di kalangan rakyat beragama Islam yang menjadi penduduk majoriti negara Malaysia kerana Islam adalah agama yang mendokong dan mempromosi perpaduan, keadilan dan hak asasi di kalangan manusia berbilang bangsa dan agama.

6. Pandangan Timbalan Presiden Gerakan yang dilaporkan oleh media bahawa *sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan* adalah lebih bersifat *emosi, rasis dan prejudis*. Ia boleh menjadi punca perpecahan di kalangan rakyat negara ini. Malah tidak jauh jika dikatakan ia juga berunsur hasutan yang merosakkan kestabilan bermasyarakat.

7. Dewan Ulamak PAS Pusat menasihatkan ahli politik dan pimpinan negara agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan secara terbuka.

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 13hb Januari 2017

Live Kuliah Pagi Jumaat Dr Takiri

Tonton di:
https://www.facebook.com/YBKualaNerus/
https://www.facebook.com/PasDunSeberangTakir/

*KULIAH PAGI JUMAAT*
13 hb Januari 2017

*YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*

Surau Kg Baru, Seberang Takir
9.15 pg - 10.45 pg

*Tafsir Surah al-Nisa' ayat 95*

لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ
Tidaklah sama antara mu’min yanghk duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya.

*Hadis Riyad Solihin*
Bab Menunaikan Hajat Orang Islam

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ, لَا يَظْلِمُهُ, وَلَا يُسْلِمُهُ, وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ, كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ, وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً, فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ, وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا, سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya untuk dizalimi...

Sekian
Untuk maklumat lengkap hubungi *Ust Abd Hadi 0163744017*
Pegawai Khas
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus

#Kualanerus
#Takiri