RENUNGAN AWAL PAGI
Jangan Menyibukkan Diri Dengan Aib Manusia
Anas bin Malik radiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda:
" طُوبى لمنْ شَغَلَهُ عَيبُه عن عُيُوبِ النّاسِ"
أخرجه البَزّارُ بإسنَادٍ حَسن. ورواه أحمد والطبراني وابنُ حِبّان والحاكم
"Berbahagialah sesiapa yang keaiban dirinya
menyibukkan dirinya daripada berbicara tentang keaiban-keaiban manusia lain."
[Hadis dikeluarkan oleh Bazzar dengan isnad yang Hasan. Juga diriwayatkan oleh Ahmad, Tabrani, Ibnu Hibban dan Hakim].
HURAIAN
1. Berkata Imam al-Munaawi; Berbahagialah seseorang yang disibukkan dengan keaiban dirinya lalu tidak berbicara tentang aib orang lain. Maka sewajarnya bagi orang yang berakal menguruskan keaiban-keaiban dirinya. Sekiranya didapati ada satu keaiban dan kelemahan sibukkanlah diri dengan memperbaiki keaiban tersebut lalu merasa malu untuk mengeji orang lain.
2. Berkata al-Hakiim; saya merasakan tiada orang yang sibuk memperkatakan aib orang lain melainkan kerana leka tentang dirinya sendiri. Sekiranya dia prihatin terhadap kelemahan dan aib dirinya tentulah dia tiada masa untuk memikirkan aib orang lain.
3. Berkata ahli ilmu, tidak sewajarnya bagi seseorang mengintai dan mencari kelemahan dan keaiban saudaranya bahkan selayaknya setiap orang lebih sibuk memikirkan kelemahan dirinya. Seorang mukmin berusaha mendidik dirinya sebelum menyibukkan dirinya mencari keaiban dan kelemahan orang lain.
4. Demikianlah juga, tiada seorang yang sempurna. Setiap orang pasti memiliki kelemahan di samping kebaikan. Timbanglah kebaikan dan kekuatan diri yang ada pada seseorang sebelum menyibukkan diri kita untuk menilai kelemahan dirinya kerana kita sendiri pun tidak sedikit kelemahannya. Apakah kita suka untuk manusia berbicara tentang segala keaiban kita yang masih disembunyikan oleh Allah?
5. Di zaman perhubungan manusia menjadi mudah dan cepat menerusi aplikasi whatsapp dan facebook tidak sedikit yang terlalu sibuk membicarakan keaiban dan kelemahan orang lain secara terbuka sehingga menimbulkan pelbagai prasangka sedangkan dia sendiri berpeluang menegur secara tertutup.
6. Berkata bijaksana Arab; "keaiban dan kelemahan seseorang dilipat simpan bukannya diriwayat dan disebarkan."
7. Biarlah aplikasi perhubungan sosial semasa memberikan pahala bukannya menambahkan dosa.
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 17 Zulhijjah 1436 H / 1hb Oktober 2015; jam 3 pagi Kota Bharu
# www.drtakiri.blogspot.com
No comments:
Post a Comment