PULAU BIDUNG SEBAGAI PUSAT PERLINDUNGAN PELARIAN ROHINGYA
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan DUPP
1. Menyelamatkan nyawa pelarian yang dizalimi dan terusir daripada tanah air sendiri adalah sebahagian daripada kewajipan beragama yang telah ditegaskan prinsipnya dalam al-Quran. Allah berfirman;
( وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا ) .
"Dan kenapa kamu tidak berperang di jalan Allah dan demi golongan yang lemah di kalangan lelaki-lelaki, wanita-wanita dan kanak-kanak yang menyeru wahai Rabb kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya melakukan kezaliman. Dan jadikanlah untuk kami dari sisi-Mu seorang pelindung dan jadikanlah untuk kami dari sisi-Mu seorang pembantu". (Surah al-Nisa ayat 75)
2. Tidakkah Rasulullah saw dan juga para sahabat Muhajirin yang berhijrah daripada Mekah merupakan golongan yang lari dan diusir keluar dari tanah air mereka dan juga dirampas harta benda mereka? Mereka diperangi dan dizalimi kerana agama yang dianuti oleh mereka. Mereka lalu diberi perlindungan oleh orang-orang Yathrib (Madinah) bukan hanya melibatkan makanan tetapi melibatkan harta, kediaman, pekerjaan dan pasangan hidup malah seterusnya kerakyatan.
3. Lantaran itu Allah memuji orang-orang Madinah yang kemudiannya dikenali sebagai Ansor yang bermaksud pembantu-pembantu dalam firman-Nya;
( وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ( 9 ) )
"Dan mereka yang menyediakan negeri kediaman dan keimanan sebelum (kedatangan) orang Muhajirin, mereka sayangkan orang-orang yang berhijrah kepada mereka, mereka tidak mendapati dalam hati-hati mereka sebarang hajat daripada apa yang telah mereka berikan dan mereka mengutamakan mereka yang berhijrah berbanding diri mereka sendiri meskipun mereka sendiri ada keperluan. Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir dirinya maka merekalah orang-orang yang beroleh al-falah (kejayaan selepas kesukaran). (Surah al-Hasyr ayat 9)
4. Malah Islam menegaskan kewajipan menyahut dan menyambut seruan memohon pertolongan dan perlindungan nyawa sehinggalah mereka dapat dibawa ke tempat yang aman sebagaimana firman Allah
( وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ( 6 )
"Dan sekiranya seseorang di kalangan orang yang syirik meminta perlindungan kepada kamu maka berilah perlindungan kepadanya sehinggalah dia mendengar Kalam Allah kemudian sampaikanlah dirinya itu ke tempat yang aman bagi dirinya" (Surah Taubah ayat 6).
5. Sebagai negara umat Islam di rantau Asia, malah Pengerusi ASEAN pula, tidak memadai bagi Malaysia hanya menganggap isu pelarian Rohingya sebagai isu kemanusiaan semata-mata. Perhatian terhadap golongan ini mestilah di atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam. Apatah lagi Rohingya dizalimi oleh ekstrimis berpunca kerana anutan agama Islam yang mereka anuti.
6. Usaha berterusan mesti dilakukan untuk mengatasi halangan-halangan yang ada termasuk pada aspek perundangan dan hubungan diplomatik demi memastikan pelarian Rohingya mendapat hak perlindungan; penempatan, makanan, kesihatan dan pendidikan.
7. Pada 10 hb mei 2015 yang lalu saya sempat menghadiri majlis pengkebumian semula 11 orang daripada 33 mangsa bunuh Rohingya oleh ejen penyeludupan manusia di Ban Talok, Padang Basar di Selatan Thailand. Dikatakan ribuan lagi menjadi mangsa bunuh oleh ejen-ejen ini apabila gagal melunaskan kos membawa mereka lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka.
8. Terkini pada pertengahan Mei ini, lebih 1,000 orang etnik Rohingya cuba memasuki Malaysia secara penyeludupan kerana lari daripada tekanan di negara mereka dengan pelayaran di atas kapal yang uzur dan tidak cukup bekalan makanan. Mereka perlu diselamatkan dan tidak wajar diberikan layanan sebagai pendatang asing tanpa izin, apatah lagi mengusir mereka semula ke tengah laut.
9. Etnik Rohingya sangat memerlukan pembelaan khususnya daripada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN. Menurut rekod terdapat 800,000 hingga 1.3 juta orang etnik Rohingya di Myanmar yang menetap di Rakhine tetapi kewarganegaraan mereka tidak diiktiraf, bahkan dinafikan hak mereka untuk mengundi bermula 2012 lalu serta mereka juga diperangi oleh pelampau Buddha.
10. Sejak tiga tahun lepas, lebih 120,000 terpaksa keluar menyelamatkan diri dengan belayar di lautan. Suku pertama tahun ini sahaja pula kira-kira 15,000 orang lagi keluar ke laut untuk menyelamatkan diri di negara-negara jiran; 8,000 daripadanya ke perairan antara Malaysia dan Indonesia pada bulan ini.
11. Walaupun Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian, kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam menangani isu pelarian.
12. Saya mencadangkan agar pelarian Rohingya ini diberikan perlindungan di lokasi yang pernah diiktiraf secara rasmi sebagai kem pelarian pada 8 Ogos 1978 bagi melindungi pelarian mangsa perang Vietnam iaitu Pulau Bidung di negeri Terengganu.
13. Mengikut catatan sejarah, sepanjang 1975 hingga 1991, hampir 250,000 orang pelarian Vietnam beragama Budhha dan Kristian berlindung di pulau ini sebelum ia ditutup pada 30 Oktober 1991 dengan baki pelarian dibawa pulang semula ke Vietnam.
14. Kerajaan Malaysia perlu segera mengiktiraf Pulau Bidung sebagai pusat perlindungan bagi pelarian Rohingya. Pengiktirafan ini akan lebih memudahkan urusan pengurusan pelarian dan menjadikannya lebih tersusun bagi memenuhi keperluan pelarian dan pada masa yang sama melindungi kepentingan negara.
15. Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu juga perlu dibuat bagi merealisasikan pembukaan pusat perlindungan ini. Ini kerana walaupun Kerajaan Negeri Terengganu melarang pembinaan resort dan chalet setelah pulau itu dibuka untuk tujuan pelancongan bagi memelihara warisan sejarah pulau itu, pada akhir tahun lalu Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih kemudahan asas dan pemuliharaan dasar laut Pulau Bidung.
16. Kesempatan ini sebaiknya dimanfaatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu untuk membuka pusat perlindungan kepada orang-orang Rohingya yang beragama Islam yang menjadi pelarian kerana terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat tekanan oleh pemerintah dan pelampau agama di wilayah yang mereka diami. Sekurang-kurangnya, lebih 37,850 warga Rohingya yang yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat 2014 serta yang terkandas di perairan Malaysia baru-baru ini boleh mendapat perlindungan di Pulau Bidung.
Sekian.
19 Mei 2015 / 1 Syaaban 1436H
# Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk artikel-artikel lain dalam pelbagai isu.