Wednesday, 25 March 2015

Tarik Balik Keputusan Putus Hubungan dengan Presiden PAS, Kembalikan Keharmonian PR - Dato Mahfuz Omar

Kenyataan Media: Tarik Balik Keputusan Putus Hubungan dengan Presiden PAS, Kembalikan Keharmonian PR
1. Saya mendesak agar DAP menarik kembali keputusan yang pelik lagi aneh iaitu kekal berada di dalam Pakatan Rakyat tetapi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kerjasama di dalam Pakatan Rakyat melibatkan antara parti dan juga kepimpinan setiap parti. Mana mungkin kerjasama dapat diteruskan dalam keadaan DAP membuat keputusan tidak menghormati Presiden PAS sebagai yang mewakili PAS secara keseluruhannya di dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
2. DAP wajar menimbang semula keputusan ini kerana jika tidak ia akan menjadi bahan lawak-jenaka dalam kalangan rakyat yang melihat gelagat ahli politik. DAP sebagai parti yang dipimpin oleh pemimpin senior yang agak lama dan berusia sepatutnya bertindak dengan lebih matang, seperti ‘stateman’ bukannya berkelakuan seperti kanak-kanak. Negarawan sifatnya lebih terbuka dan bertoleransi dalam hal yang tidak disepakati bukannya melihat kepentingan sendiri sahaja.
3. Keputusan yang dibuat DAP ini memberikan impak buruk kepada Pakatan Rakyat. Pastinya ia turut menghampakan rakyat yang berharap kepada PR sebagai alternatif pengganti kepada Barisan Nasional  yang mentadbir negara ini sejak sekian lama. Ruang dan peluang untuk berpakat dalam perkara yang disepakati masih ada, mengapa DAP masih memilih untuk membesarkan isu yang berkait prinsip dan dasar perjuangan parti rakan yang sepatutnya dihormati.?
4. Serangan peribadi yang tajam dan kasar kepada Presiden PAS seperti tuduhan mengatakan beliau khianat, tidak jujur, tidak bermaruah dan bergabung dengan UMNO adalah serangan yang pasti mencalarkan hati dan perasaan sekalian ahli PAS. Tuduhan kononnya Presiden PAS bekerjasama dengan UMNO dalam isu Hudud ini adalah tidak munasabah kerana hak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memilih untuk menyokong pindaan yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan. Di Parlimen sendiri, sudah menjadi perkara normal dan tidak pelik apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut bersetuju dan menyokong usul yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional seperti contoh Usul berkenaan Gaza, MH 370, ISIS dan begitu juga rang undang-undang yang lain.
5. Ironinya, yang terbaru Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Lim Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP pula mencadangkan gabungan “Save Malaysia” yang menggabungkan ahli parlimen BN dan PR untuk mentadbir Malaysia. Bukankah ini juga boleh dikatakan perbuatan khianat kepada PR dan melanggar Dasar Bersama dan Konsensus PR.?
6. Justeru, saya mempertegaskan kembali agar DAP menarik kembali keputusan yang aneh lagi pelik itu kerana tidak ada kerjasama yang menafikan ketua untuk mewakili partinya sendiri. Kami para pimpinan dan ahli PAS tetap berdiri teguh dan bersama dengan Presiden parti kami, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

No comments:

Post a Comment