Sunday 29 March 2015

Butiran Perkara 76(A): Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.

Butiran Perkara 76(A):
Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.

(1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apa pun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

(3) Apa-apa perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri dibenarkan pada masa itu oleh Akta Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah, bagi maksud Perkara 79, 80 dan 82, dikira berkenaan dengan Negeri yang berkenaan seolah-olah perkara itu ialah suatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama.

No comments:

Post a Comment