Thursday 26 March 2015

Serangan Provokatif Bersiri DAP Terhadap Presiden PAS; Apa Motifnya?

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 26.3.2015

Serangan Provokatif Bersiri DAP Terhadap Presiden PAS; Apa Motifnya?

1. Sejak isu MB Selangor dan Kajang Move secara bersiri DAP melancarkan serangan provokatif khususnya terhadap peribadi Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS.
2. Tuduhan khianat, membelakangi PR dan seumpamanya meniti di bibir bukan seorang di kalangan pimpinan DAP. Terakhirnya pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS?
3. Namun peliknya, tindakan bersendiri PKR dalam Kajang Move tidak pula dikatakan membelakangi PR. Memecat Tan Sri Khalid untuk membuangnya daripada jawatan MB tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat. Lim Kit Siang pula mencadangkan pakatan dengan BN atas tema "save malaysia"? Tidakkah itu pengkhianatan terhadap Dasar Bersama PR?
4. Lebih ketara apabila isu undang-undang jenayah Islam (UUJI) dibangkitkan DAP telah memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan UUJI sehingga melupakan prinsip bersama PR iaitu "bersetuju untuk tidak bersetuju".
5. Perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam. Kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam. Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam.
6. Saya sangat bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina Presiden Parti Islam Semalaysia PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan UUJI boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli-ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihanraya.
7. Justeru, saya menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS jika PR masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salahguna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Khamis 26 Mac 2015 / 5 Jamadil Akhir 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment