Monday, 9 February 2015

KPWKM MESTI IKUT ACUAN ISLAM DALAM ISU MODUL PENDIDIKAN SEKS


KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KPWKM MESTI IKUT ACUAN ISLAM DALAM ISU MODUL PENDIDIKAN SEKS

1. Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mulai tahun 2016 akan diperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, di mana modul tersebut akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual. Saya berpandangan ia tidak akan dapat menyelesaikan krisis sosial yang dihadapi masyarakat hari ini.

2. Turut dinyatakan juga bahawa pelaksanaan modul tersebut kelak adalah dengan harapan dapat membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga. Masih kabur soal faktor utama yang mendesak modul pendidikan seks ini kembali diperkenalkan. Sama ada ia disebabkan peningkatan angka kelahiran anak tidak sah taraf, atau bertambahnya jumlah penghidap HIV/AIDS atau atas alasan lain, ia tidak jelas pada pengamatan saya.

3. Munculnya idea memperkenalkan pendidikan seks mengikut bacaan sejarah ialah ketika era 1960-an di Amerika Syarikat. Namun, sebelum itu lagi sekitar 1940-an Agensi Perkhidmatan Kesihatan Awam A.S (U.S. Public Health Service) telah mengeluarkan satu pekeliling menyatakan bahawa pelaksanaan pendidikan seks adalah sebagai "urgent need".

4. Sebaliknya di Malaysia, idea sedemikian muncul pada 1980 setelah diadakan Simposium Seksualiti Manusia bagi mewujudkan silibus atau suatu modul pendidikan seks. Isu tersebut berlanjutan beberapa kali pada 1990-an dan kali terakhir pada 2010. Sorotan tersebut menunjukkan bagaimana sikap pihak kerajaan Malaysia beberapa kali mencedok model Barat bagi mengatasi keruncingan sosial yang semakin kritikal.

5. Asas dan hujah pihak KPWKM untuk melaksanakan pendidikan seks tersebut dilihat terlalu simplistik. Ini kerana krisis sosial yang berlaku jauh lebih serius dan tidak mungkin dapat diselesaikan dengan pendekatan semudah itu. Tindakan yang kerajaan ingin ambil seperti tikus membaiki labu. Langkah yang diambil tidak menepati apa yang syariat telah gariskan kepada manusia.

6. Langkah yang sama diambil sebelum ini pada tahun 1994 dan sehingga 2010 memperlihatkan hasil yang negatif. Bukti yang menyokong adalah statistik kehamilan remaja pada 2013 menunjukkan terdapat lebih daripada 18,000 kes direkodkan dan menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya. Dalam kes anak tidak sah taraf pula peningkatan mendadak seramai 234,647 orang didaftarkan tamat 2011. Angka ini menunjukkan langkah tersebut langsung tidak membaiki keadaan tapi sebaliknya mengeruhkan masalah.

7. Perkara lain yang menyokong kenapa saya tidak bersetuju dengan langkah yang ingin diambil berasaskan satu kaedah fiqh yang terkandung dalam sepotong Hadis Sahih yang masyhur iaitu :
لا ضرر ولا ضرار
"Tidak ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan".

Kaedah ini menjelaskan bahawa kelakuan manusia itu tidak boleh adanya mudarat dan apatah lagi memudaratkan. Keputusan KPWKM tersebut akan menimbulkan mudarat yang lebih besar iaitu para muda-mudi menjadikan alasan pendidikan seks untuk melayari web pornografi. Fakta menyokong hujah saya adalah satu kajian yang diadakan di UK mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks.

8. Islam agama yang memuliakan anak Adam pasti memandu manusia untuk menangani permasalahan yang berlaku. Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan melalui tulisan beliau 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam', Islam telah memperkenalkan apa yang disebut sebagai 'Tarbiyah Jinsiyyah' atau Pendidikan Gender. Pendidikan tersebut merangkumi aspek penegahan, penegasan hukum hakam, sunnah tadarruj (berperingkat-peringkat) dalam membentuk minda anak-anak. Ia menjadi salah satu dari tujuh aspek penting dalam pembentukan anak-anak yang perlu dipakejkan bersama.

9. Sehubungan dengan isu pendidikan seks ini, Islam melihat orang yang lebih sesuai untuk melakukannya ialah ibubapa sendiri bukan melalui suatu sistem yang dimodulkan. Kenapa dikatakan ia adalah tanggungjawab keluarga, ini diasaskan kepada petunjuk al-Quran bahawa institusi perkahwinan sebagai sebuah institusi suci yang mampu memberi ketenangan dan merealisasikan erti kasih sayang yang sebenar. Ini seiring dengan firman Allah yang bermaksud :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenang tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah Al-Rum: 21)

10. Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang dan secara berperingkat sejak ia mula berakal. Pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak.

11. Misalnya, pada usia 7 – 10 tahun perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab memandang. Pada usia 10 – 14 tahun berikutnya, dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Manakala pada usia sekitar 14 – 16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Sehinggalah pada usia baligh atau dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu berkahwin. Keutamaan-keutaman perkara yang perlu diajar kepada anak-anak ini perlulah diolah sesuai dengan penerimaan mereka dan adat tradisi dalam budaya masyarakat kita. Perinciannya boleh dilihat dalam tafsiran Surah an-Nur yang mengajar sebahagian modul pendidikan seks dalam Islam.

12. Di samping itu, saya lebih suka jika pakej pendidikan seks ini diterapkan bersama tuntutan syariah yang lain. Antaranya fiqh berkait solat dan puasa, kita perlulah suci dari haid dan nifas juga tidak dalam keadaan berjunub. Jadi, akhirnya ibubapa perlu menerangkan kepada anak-anak tentang makna perkataan berjunub itu. Signifikan saya mengatakan sedemikian kerana ia berupa cara Islam membentuk paradigma baru tentang bagaimana menghadapi dan membendung permasalahan sosial.

13. Keistimewaan utama Islam kepada masyarakat adalah ia sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusiawi. Isu krisis sosial yang berlaku adalah pada hakikatnya telah meruntuhkan satu tonggak penting maqasid syariah iaitu menjaga zuriat. Ia termasuk dalam perkara yang menjadi 'dharuriyyat' atau terlalu penting. Islam menegaskan soal menjaga kehormatan diri kerana ia adalah sebahagian dari kemuliaan manusia sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya kami muliakan anak-anak Adam dan kami memelihara darjat mereka di daratan dan lautan. Kami berikan rezeki daripada yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna daripada sekelian makhluk yang telah kami cipta iaitu akal.”

(Surah al-Isra’ : 70)

14. Kesimpulannya, sekali lagi saya menegaskan bahawa pelaksanaan modul pendidikan seks ini tidak akan membawa kesan positif bahkan akan memberikan impak yang lebih teruk kepada permasalahan sosial dalam masyarakat sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut kaedah Islam. Maka kembalilah kepada modul pendidikan seks menurut Islam.

Sekian.

Disediakan oleh :

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 9 Februari 2015 / 17 Rabiulakhir 16 Rabiulakhir 1436 H.

No comments:

Post a Comment