Saturday 7 February 2015

Kenapa Kita Bersama Perjuangan Parti Islam Semalaysia PAS?

Kenapa Kita Bersama Perjuangan Parti Islam Semalaysia PAS?

1. Perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik Islam adalah perjuangan berasaskan Aqidah Islam yang mengajar hakikat bahawa Allah adalah RABB yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam dan bahawa Allah adalah ILAAH yang mesti diberikan kepadaNya sepenuh ketaatan dan ketundukan pengabdian diri.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
"Tiada sebenar-benar urustadbir melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu jangan mengabdikan diri melainkan kepada-Nya. Itulah agama ketundukan yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Surah Yusof; 40.

2. Setiap ahli PAS yang menggabungkan diri mereka ke dalam parti Islam meyakini bahawa penglibatan mereka dalam PAS adalah tuntutan Aqidah Islam yang menyeru mereka memperjuangkan negara dan masyarakat yang beriman dengan Islam dan beramal dengan sistem Islam dalam pengurusan kenegaraan samada pengurusan politik, ekonomi, sosial dan kebajikan.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

"Dan hendaklah kamu mengurustadbir/memerintah di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dan berwaspadalah bimbang mereka memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu". Surah al-Maidah; 49.

3. Setiap ahli PAS meyakini bahawa kewajipan mereka ialah meneruskan legasi pemerintahan Nabi saw dengan menegakkan kerajaan Islam yang bermatlamatkan "menegakkan Agama Islam dan mentadbir negara dan bumi dengan Agama Islam" seperti penegasan para Alim Ulamak
الخلافة خلافة عن النبوة في  إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Khilafah itu adalah penggantian terhadap kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama".

4. Setiap ahli PAS meyakini bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah dan menghindarkan diri mereka daripada neraka. Perjuangan mereka adalah untuk bahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat. Perjuangan mereka ialah untuk berkongsi kebahagiaan yang diperolehi menerusi Islam dan pemerintahan Islam dengan manusia sejagat. Itulah asas moto "PAS untuk Semua".

5. Setiap ahli PAS meyakini bahawa segala tindak-tanduk serta strategi perjuangan  mereka mestilah berlandaskan hukum halal dan haram dan berlandaskan panduan al-Quran dan Sunnah, Ijma' dan Qiyas yang dihurai dan dijelaskan oleh para alim ulamak yang berilmu dan soleh. Maka begitulah strategi politik termasuk kerjasama politik dengan mana-mana parti yang tidak Islam dilakukan berlandaskan hukum dan rujukan al-Quran dan Sunnah bermatlamat menegakkan Islam dan dakwah Islam.

6. Aqidah ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir oleh hamba-hamba yang beriman dengan Aqidah Islam, yang beramal dengan Syariat Islam, yang berakhlak dengan Akhlak Islam. Dan untuk itu dan ke arah itu mereka berjuang kerana Allah berfirman;

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
"Dan sama sekali Allah tidak membiarkan bagi orang kafir jalan menguasai orang-orang beriman"
Surah al-Nisa'; 56.

7. Aqidah dan keyakinan serta pegangan Ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir dengan Islam sama ada dalam pengurusan pentadbiran politiknya, mahupun pengurusan ekonomi kewangannya ataupun pengurusan sosial kemasyarakatannya.

8. Aqidah dan keyakinan serta pegangan ahli-ahli PAS ialah bahawa hanya Islam yang sebenar-benar mampu memberikan keadilan kepada manusia.

9. Kebajikan yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah kebajikan berasaskan kaca mata Islam dan bukan kebajikan pada kacamata sosialis atau komunis atau demokratis atau sekularis.

10. Keadilan sosial dan ekonomi yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kacamata Islam dan bukannya keadilan pada sudut pandangan sekular atau sosialis atau liberalis atau komunis atau demokratis.

Maka marilah kita istiqamah meneruskan perjuangan suci dan murni ini agar hidup kita terus dirahmati.

Nukilan;
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 7 Februari 2015 / 17 Rabiulakhir 1436H jam 12.30 tghri.

No comments:

Post a Comment