Sunday 9 November 2014

SISTER IN ISLAM DALAM MUKTAMAR PAS

"SISTERS IN ISLAM" DAN "ISLAM LIBERAL" DI DALAM MUKTAMAR PAS

�� Berdasarkan kepada rekod parti, istilah-istilah “Sisters In Islam” dan “Islam Liberal” pernah muncul sebagai bahan perbincangan di dalam Muktamar-Muktamar Tahunan PAS pada tahun-tahun 2005, 2006, 2007 dan 2009.

1. ⛔️ Kali pertama istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-51 di Dewan Besar Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 3, 4 dan 5 Jun 2005.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari bahawa Islam Hadhari yang dikemukakan oleh UMNO adalah satu bentuk agama baru yang mementingkan pembangunan keduniaan semata-mata dan menolak kesyumulan Islam;
Menyedari wujudnya anasir-anasir baru kesan daripada Islam Hadhari seperti pemikiran Islam liberal, penolakan terhadap sistem akhlak Islam, kemunculan gerakan-gerakan anti-Islam seperti Sisters In Islam, Inter-Faith Commission (IFC) dan anti-hadith;

Menyedari tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan NGO yang mencadangkan supaya ditubuhkan IFC yang bertujuan mengubah beberapa perkara yang terkandung dalam syariat Islam;

Menyedari berlakunya campur-tangan oleh pemimpin BN terhadap penguatkuasaan agama sehingga menyebabkan beberapa serbuan oleh Jabatan Agama Islam mendapat reaksi negatif daripada media dan rakyat;
Menyedari bahawa gerakan anti-Islam ini mendapat sokongan daripada keluarga terdekat Perdana Menteri, termasuk penglibatan beberapa orang Menteri UMNO dalam kumpulan 50 NGO dan 236 individu yang menolak penguatkuasaan undang-undang akhlak (moral policing) bagi menangani gejala sosial; dan
Menyedari bahawa umat Islam sedang menghadapi krisis makanan halal ekoran pelbagai pendedahan tentang penyalahgunaan logo halal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Maka Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-51 pada 3, 4 dan 5 Jun 2005 bersamaan 25, 26 dan 27 Rabi’ul Akhir 1426 di Dewan Besar Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, mengambil ketetapan:

Mendesak para Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mengeluarkan garis panduan dan mengadakan muzakarah dengan pihak-pihak yang menimbulkan perkara-perkara (yang) bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam;
Mendesak Kerajaan BN supaya meningkatkan keupayaan penguatkuasaan agama (moral policing) bagi menangani masalah gejala sosial dan juga makanan halal;

Mendesak Kerajaan BN supaya menolak, bukannya menangguhkan, cadangan penubuhan IFC;

Mendesak Majlis Syura Ulama' PAS supaya lebih aktif menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam, terutama dari aspek mengeluarkan pendirian-pendirian tentang isu-isu berkaitan untuk menjadi panduan ahli-ahli PAS dan umat Islam keseluruhannya;

Mendesak PAS Pusat supaya mengeluarkan satu dokumen rasmi untuk menolak Islam Hadhari sekaligus menggariskan prinsip-prinsip sebenar Hadharah Islamiyyah; dan
Mendesak PAS Pusat supaya menggalakkan ahli-ahli terlibat dalam kegiatan ekonomi, terutama untuk mengeluarkan produk halal bagi mengatasi krisis makanan halal sekarang ini.

2. ⛔️ Kali kedua istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-52 di Kompleks PAS Kedah, KM 13 Jalan Alor Star – Sungai Petani, Simpang Empat, Alor Star, Kedah, pada 7, 8 dan 9 Jun 2006.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari bahawa gejala murtad yang sedang menyerang umat Islam di negara ini;
Menyedari bahawa kumpulan Inter-Faith Commission (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 sedang mengadakan kempen besar-besaran untuk mencabar bidang kuasa mahkamah syariah dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini;

Menyedari peri bahayanya kumpulan Islam Liberal, kumpulan anti-hadith dan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang sedang mengembangkan pengaruh mereka di kalangan umat Islam di negara ini;

Menyesali tindakan beberapa Menteri Kabinet, Anggota Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang dan menghina mahkamah syariah dan sistem perundangan Islam;
Menyesali kebiadaban Menteri-Menteri Kabinet bukan Islam yang mempertikai hal-ehwal umat Islam, moral dan sosial awam;

Menyedari bahawa penularan gejala sosial dan kebejatan akhlak di kalangan remaja semakin membimbangkan;
Mengimani bahawa Islam menjamin keadilan dan kesejahteraan dalam segenap urusan kehidupan dan hak manusia;

Meyakini dasar perjuangan parti sebagai panduan dalam berpolitik dan bernegara; dan
Menginsafi PAS adalah benteng umat Islam bagi mempertahan aqidah dan kedaulatan agama Islam di negara ini;

Maka, Muktamar Tahunan PAS yang bersidang di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, KM 13 Jalan Alor Star – Sungai Petani, 06650 Simpang Empat, Alor Star, Kedah Darul Aman, pada 10, 11 dan 12 Jamadil Awal 1427 bersamaan 7, 8 dan 9 Jun 2006 bersetuju dengan sebulat suara menerima usul dari Dewan Ulama’ PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan mengambil ketetapan untuk:

Mendesak PAS untuk memimpin gerakan Islam yang utama dalam mempertahan Islam;
Meminta pemimpin-pemimpin NGO, parti-parti politik dan masyarakat Malaysia agar memahami dan menghormati kebebasan beragama dan menghayati prinsip sebenar Artikel 11 Perlembagaan Malaysia;
Menyarankan PAS supaya mengarusperdanakan gerakan dakwah dan memberi penerangan dan kefahaman kepada masyarakat, terutamanya bukan Islam, terhadap Islam;
Mencadangkan PAS Pusat agar mengadakan pertemuan dengan Mufti-Mufti dan Majlis Raja-Raja agar mengambil tindakan terhadap mana-mana usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mencabar kedaulatan Islam dan mahkamah syariah di Malaysia;

Mendesak PAS Pusat menzahir dan mempertegaskan prinsip parti kepada lawan ataupun kawan serta memastikan setiap prinsip Islam tidak dikompromikan, apatah lagi dikorbankan, dalam sebarang pakatan politik; dan
Mendesak agar pihak berkuasa Islam di Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan mewujudkan kumpulan sukarelawan bagi membantu usaha dakwah, tarbiyyah dan penguatkuasaan bagi membendung penularan gejala sosial.

3. ⛔️ Kali ketiga istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 1, 2 dan 3 Jun 2007.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Menyedari betapa umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai kegawatan yang sangat mendesak;
Menyedari bahawa isu-isu murtad yang snagat membimbangkan boleh mencetus suasana tidak aman dalam negara, hubungan antara kaum, krisis perpaduan yang dapat dilihat dari peristiwa seperti munculnya Kumpulan Artikel 11, Kumpulan IFC, desakan Kumpulan Sisters In Islam, pelbagai demonstrasi dan bantahan yang melibatkan isu murtad dan tuntutan bertindih ke atas jenazah orang Islam;

Menyedari bahawa krisis moral di kalangan muda mudi remaja dan dewasa, berlakunya rompak, ragut, samun, pembunuhan, pergaduhan sehingga di sekolah-sekolah menengah berasrama penuh dan lain-lain;

Maka Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 yang bersidang di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 1, 2 dan 3 Jun 2007 bersamaan 15, 16 dan 17 Jamadil Awal 1428 mengambil ketetapan:

Mendesak Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara.

4. ⛔️ Kali keempat istilah-istilah ini muncul adalah di dalam satu ketetapan yang telah diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 5, 6 dan 7 Jun 2009.

Ketetapan ini adalah berbunyi:

✅ Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 5, 6 dan 7 Jun 2009 bersetuju mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas Sisters In Islam yang membawa aliran Islam Liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Rujukan ; Fb Dr Kamarul Yusuf

No comments:

Post a Comment