Friday, 14 November 2014

Antara INTIPATI UCAPAN PERBAHASAN Rang Undang-undang Perbekalan 2015 (siri 1) YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Antara INTIPATI UCAPAN PERBAHASAN
Rang Undang-undang Perbekalan 2015 (siri 1)
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

BAJET 2015
Prestasi Ekonomi Negara

1. Rang Undang-undang Perbekalan yang dipanggil ‘BAJET’ adalah instrumen penting Kerajaan dalam memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi sesebuah tahun mendatang.

2. Pendapataan Kerajaan yang diperoleh melalui hasil cukai, bukan cukai dan pinjaman; dan perbelanjaan untuk pengurusan, pembangunan dan pembayaran hutang; mestilah ke arah mencapai objektif utama dasar ekonomi iaitu untuk memacu pertumbuhan (growth), mengawal kenaikan harga (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment).

3. Sepintas lalu, Bajet 2015 memperuntukkan sehingga 82% (RM223 bilion) untuk tujuan mengurus dan hanya berbaki 18% (RM49 bilion) untuk tujuan pembangunan. Pendapatan yang akan dipungut berjumlah RM235 bilion pula adalah sebahagian besarnya bersumberkan daripada hasil cukai iaitu sebanyak 78% (RM183 bilion) dan hanya 22% (RM52 bilion) dijangka diperoleh daripada hasil bukan cukai.

4. Bagi tahun 2014, hutang Kerajaan dicatatkan pada kadar RM569 bilion iaitu 53% kepada KDNK, menjadikannya menghampiri had siling 55% yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Jika dicampur dengan jumlah tanggungan liabiliti luar jangka (contingent liability), angka hutang ini sebenarnya adalah jauh lebih besar.

5. Bagi tahun 2015 pula, inflasi diunjurkan pada kadar 4.0% hingga 5.0% berbanding hanya 3.0% hingga 4.0% pada tahun 2014. Fenomena kenaikan harga ini adalah jelas kesan daripada langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST oleh Kerajaan.

6. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Kerajaan mengumumkan pelbagai imbuhan dalam bentuk pemberian tunai kepada rakyat kebanyakan termasuk pemberian BR1M, boucer buku dan pengurangan kadar cukai pendapatan kononnya sebagai “membalas jasa” rakyat di atas kesanggupan turut serta menanggung beban kewangan Kerajaan. Hakikatnya, dengan pemberian seumpama itu, secara senyap rakyat dipaksa diam daripada mengeluh dengan rasa terbeban akibat menanggung peningkatan kos sara hidup.

GOOD GOVERNANCE
Model Baldatun Tayyibah wa Robbun Ghafur

7. Allah menggambarkan kemakmuran sebuah negeri yang bernama Saba’ dengan terminologi Baldatun Tayyibah. Negeri ini pernah mencapai kemakmurannya ketika penduduknya beriman kepada Allah, tetapi musnah binasa justeru berpaling daripada perintahNya. Menggambarkan hal itu, Allah s.w.t. berfirman :

Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu; dua kumpulan kebua (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) tuhan yang maha pengampun!.”

( Sura Saba’ : 15 )

8. Kalimah ‘Baldatun Tayyibah’ ini dapatlah kita ertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berdasarkan ciri-ciri yang digariskan oleh at-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini; negara yang mendapat keampunan Allah justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah dan pencegahan diri mereka daripada maksiat.

9. Sesebuah kerajaan tidak akan mencapai piawai “pemerintah yang baik” (good governance) jika amalan baik dalam pemerintahan (al-ma’ruf) dan penolakan terhadap amalan buruk (al-munkar) tidak menjadi polisi utamanya. Antara amalan baik dalam pemerintahan termasuklah keadilan, ketelusan, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Manakala amalan buruk yang patut ditolak justeru ia adalah munkar termasuklah kezaliman, kedustaan, ketirisan, dan kekhianatan. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah adalah termasuk dalam kezaliman dan kekhianatan.

10. Dalam hal ini, United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) menggariskan 8 elemen good governance iaitu;

Good governance has 8 major characteristics. It is participatory, consensus oriented, accountable, transparent, responsive, effective and efficient, equitable and inclusive and follows the rule of law. It assures that coruption is minimized, the view of minorities are taken into account and that the voices of the most vulnerable in society are heard in decision-making. It is also responsive to the present and future needs of society.

TERJEMAHAN :
Urus tadbir yang baik itu mempunyai 8 ciri-ciri utama. Ia merupakan penyertaan, konsensus berorientasi, kebertanggungjawaban, telus, responsif, berkesan dan cekap, adil dan inklusif, dan mengikut peraturan undang-undang. Ia menjamin bahawa rasuah diminimumkan, pandangan golongan minoriti diambil kira dan suara terbanyak dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga responsif kepeda keperluan semasa dan masa hadapan masyarakat.

11. Jika kesemua elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju berpijak pada baldatun tayyibah wa rabbun ghafur akan terjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Malangnya, kita langsung tidak punya apa-apa. Baldatun Tayyibah tidak, malah wa rabbun ghafur jauh sekali. Dengan pola rasuah yang memalukan, kezaliman yang tersohor, penindasan hak asasi yang tidak selesai, kebebasan suara yang tersekat, kedaulatan undang-undang yang menindas, sentimen politik kepuakan yang ekstrim, akhlak buruk yang membarah dan banyak lagi wajah hodoh yang tidak tergambarkan.

12. Maka tidak peliklah, bajet dengan peruntukan bernilai berapa bilion ringgit sekalipun dan dengan unjuran ekonomi yang lebih cerah, masih perlu kepada rangsangan dan dana tambahan. Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan pada setiap suku tahun memaparkan secara jelas dan konkrit bahawa ketirisan dan pembaziran berlaku melibatkan jumlah yang sangat besar. Hal ini sungguh mendukacitakan kita semua.

INFLASI
Cegah Sebelum Parah

13. Sebagaimana semua maklum bahawa inflasi ditakrifkan sebagai peningkatan beransur-ansur dalam paras harga barangan dan perkhidmatan dan ia diukur sebagai peratusan tahunan. Mudahnya, sekiranya inflasi menaik, setiap ringgit yang kita miliki akan membeli peratus yang lebih kecil bagi suatu barangan dan perkhidmatan. Dengan kata lain, terdapat kemerosotan dalam kuasa membeli kita.

14. Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan.

15. Indeks Harga Penggunan (IHP) yang digunakan untuk menentukan kadar inflasi, mengukur harga purata lebih kurang 430 item barangan dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh pengguna dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa.

16. Dengan kaedah pengiraan sebegini, oleh sebab itulah kadar inflasi yang ditetapkan atau diunjurkan oleh Kerajaan kelihatan “cantik” sedangkan rakyat jelata keperitan dengan peningkatan harga yang melampau. Harga purata barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh para pengguna ini perlu disemak kerana penentuan barangan dan perkhidmatan tersebut sebahagiannya adalah tidak digunapakai oleh kebanyakan rakyat.

17. Kadar inflasi yang tinggi akan meningkatkan kos hidup rakyat dan ini akan mengurangkan kualiti hidup mereka. Seperti terpaksa kerja lebih masa dan membuat kerja sampingan. Tekanan memenuhi keperluan hidup ini pula mendedahkan rakyat kepada masalah sosial seperti rasuah, penyelewangan, penipuan dan pengabaian tangungjawab.

18. Bagi individu pula, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu berkenaan. Pengurangan pendapatan benar ini akan berlaku dengan ketara khususnya kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap.

19. Bagi mereka yang menabung, yang menerima pencen, yang memiliki bon dan polisi insuran, nilai sebenar (dalarn ertikata kuasabeli wang) tabungan, nilai pencen, nilai bon atau polisi insuran mereka merosot. Ini kerana sewaktu inflasi, kadar faedah benar adalah rendah dan mungkin negatif berbanding dengan keadaan tanpa inflasi.

20. Inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industriindustri berkenaan.

21. Bagi membendung inflasi ini daripada berkembang, Kerajaan perlu serius menangani monopoli dengan mewujudkan persaingan yang lebih sihat antara industri untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, permodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk.

22. Seterusnya, Kerajaan juga perlu memfokuskan untuk memperbalki sistem pengangkutan awam dengan rancangan gabungan sistem pengangkutan yang teratur dan diurustadbir oleh Kerajaan sendiri seperti di kebanyakan negara Eropah.

23. Mengenai makanan pula, Kerajaan perlu menggalakkan peningkatan kapasiti pengeluaran. Kapasiti pengeluaran makanan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pertanian, Kerajaan-kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan-badan berkaitan diberi galakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan.

24. Secara kesimpulannya, aktiviti ekonomi yang mampu mewujudkan keseimbangan dalam sistem sosioekonomi akan menghindarkan inflasi berlaku dalam negara. Islam mengajar masyarakatnya tidak semata-mata melayani kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas, namun mengseimbangkan kehendak material dan spritiual manusia secara adil dengan menunaikan kewajiban yang ditetapkan oleh syariat seperti berzakat dengan kadar yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.. dan bersedekah. Ia akan meningkatkan ekonomi ummah itu sendiri. Sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi, masyarakat Islam tetap diwajibkan berzakat dengan tidak dikurangi sedikitpun kadarnya. Sedekah pula akan mengimbangi keperluan rakyat miskin. Ini akan dapat mengukuhkan kembali kedudukan ekonomi negara.


No comments:

Post a Comment