Sunday 25 May 2014

Tokoh Ulamak Ummah; al-Imam al-Suyuti (849 H/1445 M - 911 H/1505 M)

Tokoh Ulamak Ummah; al-Imam al-Suyuti (849 H/1445 M - 911 H/1505 M)

Kepentingan Mengenali Tokoh Ulamak

1. Mengenali tokoh-tokoh ilmuwan Islam sangat penting sebagai satu motivasi ilmu bagi penuntut ilmu.

2. Ia juga penting kepada ilmuwan terkemudian untuk sentiasa menghargai para tokoh ulamak terdahulu serta sumbangan mereka.

3. Juga bagi membenihkan keinsafan diri terhadap tahap penguasaan ilmu mereka serta kewarakan mereka berbanding ulamak terkemudian. 

4. Ilmuwan terkemudian tentu bergantung kepada nukilan pendapat dan pandangan ulamak terdahulu dalam memahami maksud al-Quran dan al-Hadis bagi mendapatkan pencerahan ketika merumuskan pelbagai penelitian dan kajian. Keilmuwan dan kewarakan mereka memberikan keyakinan kepada umat terkemudian untuk mengambil ilmu daripada mereka kerana ilmu agama perlu diambil daripada orang yang dipercayai. Ia sejajar dengan apa yang diriwayatkan dengan sanad yang lemah daripada Anas bin Malik dan Abi Hurairah daripada nabi saw

إنَّ هذا العِلمَ دينٌ، فانظُروا عمَّن تأخُذونَ دينَكم

"Sesungguhnya ilmu ini adalah satu kepatuhan beragama. Maka telitilah daripada siapa kamu mengambil kepatuhan beragama kamu".

Hadis dalam al-Jami' al-Saghir dinilai lemah oleh Imam Suyuti

Biodata

1. Imam Suyuti merupakan salah seorang tokoh ulamak ummah yang terkenal dan mengarang ratusan buku dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

2. Nama sebenar beliau Abd Rahman bin al-Kamal Abu Bakar. Nama Suyuti adalah nisbah kepada bandar Asyut di selatan Mesir.
Beliau dilahirkan di Kaherah tahun 849 H / 1445 M dan meninggal pada tahun 911H /1505 M.

3. Beliau membesar sebagai anak yatim apabila bapanya meninggal ketika dia berusia 6 tahun.

4. Beliau menghafaz al-Quran sebelum menjangkau umur 8 tahun. Seterusnya menghafaz matan-matan ilmu yang terkenal.

4. Beliau sangat kuat berguru sehingga gurunya menjangkau 150 orang. Malah beliau mendampingi guru secara dekat dalam usaha mendapatkan ilmu dan menguasainya untuk tempoh yang panjang.

5. Beliau mendampingi Syeikhul Islam Alamuddin Solih bin Umar al-Balqini (791 H - 868 H) untuk mempelajari Fiqh sehinggallah gurunya itu memberi ijazah kepadanya untuk mengajar dan memberi fatwa pada tahun 866 di usia 17 tahun. Malah gurunya itu terus didampingi sehingga kematiannya. Selepas kematian gurunya itu beliau mendampingi pula anak kepada Syeikh Alamuddin al-Balqini untuk mempelajari Fiqh. Begitu juga selepas kematian al-Balqini, beliau mendampingi pula Syeikhul Islam Syarafuddin al-Munawi bagi mempelajari lagi Fiqh dan al-Quran.

6. Dalam ilmu Hadis beliau mendampingi Syeikh Taqiyuddin al-Syibli selama 4 tahun sehingga kematian gurunya itu. Selepas itu beliau mendampingi pula Syeikh Muhyiddin al-Kaafiyaji (788 H - 879 H) selama 14 tahun.

7. Di usia 17 tahun pada tahun 866 beliau diberi ijazah mengajar bahasa Arab dan memulakan penulisan sulong beliau bertajuk Huraian Isti'azah dan Basmalah.

8. Menurut murid beliau bernama al-Daawuudi pengarang kitab Lapisan Tokoh Ulamak Besar Ilmu Tafsir; saya melihat tuan guru menulis dalam satu hari 3 kurrasah (1 kurrasah selalunya 10 helai kertas  mengandungi 20 halaman) Dalam pada itu beliau masih boleh mengajar dengan membacakan hadis kepada anak-anak muridnya sambil menjelaskan apa yang disangkakan sebagai pertembungan maksud hadis dengan jawapan yang baik. Beliau merupakan tokoh yang paling berilmu pada zaman beliau tentang ilmu hadis, tokoh-tokoh perawi ilmu hadis, matan dan sanad ilmu hadis serta pengeluaran hukum daripada hadis".

9. Ketokohan beliau di bidang ilmu dapat dilihat menerusi karya beliau yang melebihi 600 buah buku dan risalah yang panjang dan ringkas di bidang fiqh, tafsir, hadis, sejarah al-Quran, nahu, sejarah tokoh-tokoh nahu, sejarah tokoh-tokoh tafsir, bidang bahasa termasuk fiqh bahasa dan ilmu balaghah.

Disediakan oleh
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 25hb Mei 2014

No comments:

Post a Comment