Tuesday 13 May 2014

Datuk Razif MB Terengganu Baru

Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.
KUALA TERENGGANU: Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, 49, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam ini.

Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenan pelantikan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said berkuatkuasa mulai tarikh mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda.

Perkara tersebut disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said  awal petang ini dilaporkan sah telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa hari ini dan disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada The Star Online.

Tengku Adnan berkata Menteri Besar baru akan mengangkat sumpah di Istana Syarqiyyah, Terengganu, pada pukul 8 malam ini.

Topik penggantian Menteri Besar ini sebelum ini tersebar dengan luas ekoran penulisan Awang Selamat menerusi ruangan pojoknya Bisik-Bisik Awang Selamat, yang mendakwa dua Menteri Besar di negeri yang ditadbir Barisan Nasional akan ditukar tidak lama lagi.

Ahmad pula telah menyifatkan khabar angin itu sebagai sengaja dihebohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan perpaduan UMNO di negeri itu.

Katanya, desas-desus itu bukan satu perkara baru sebaliknya tidak pernah berhenti sejak beliau menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum 2008.

Turut menegaskan perkara itu adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Abdul Rahman Bakar yang berkata Ahmad akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu seperti mana dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, 25 April lepas.

Abdul Rahman mendakwa Najib telah memaklumkan pada mesyuarat itu bahawa tiada pertukaran mana-mana Menteri Besar di negeri-negeri di bawah Barisan Nasional.

Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/ahmad-razif-angkat-sumpah-sebagai-mb-terengganu-yang-baru-35709?cp

No comments:

Post a Comment