Saturday 5 April 2014

Kenangan Ilmu dan Dakwah AlMarhum Tuan Guru Hj Awang Jidin

Kenangan Ilmu dan Dakwah AlMarhum Tuan Guru Hj Awang Jidin

1. Khamis 3hb April malam Jumaat jam 9 malam menyaksikan   pemergian guru dan mursyid saya Tuan Guru Hj Awang Nasiruddin bin Abu Bakar  atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Hj Awang Jidin ke rahmatullah pada usia 71 tahun setelah mula uzur sejak awal 2000.

2. Beliau dilahirkan di kg yang sama dengan kg kelahiran saya iaitu Seberang Takir, Kuala Nerus pada tahun 1943. (30 tahun sebelum kelahiran saya pada 1973)

3. Pendidikan awal beliau ialah di Pondok Tok Jiring yang diasaskan oleh tokoh Ulamak terkenal negeri Terengganu iaitu Tuan Guru Hj Abas yang kemudiannya menjadi mertua almarhum.

4. Pengajian almarhum seterusnya ialah Universiti DEUBOND, India dan Universiti AL-AZHAR, Mesir sezaman dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan almarhum Tuan Guru Hj Harun Taib.

5. Antara jasa besar beliau dalam dakwah ialah mewujudkan suasana persekitaran tarbiyah Islam, ilmu dan dakwah khususnya di pekan Batu 6 dengan memakmurkan masjid Taqwa, Batu 6. Kuliah maghrib pengajian kitab Bugyah al-Tullab karya Syeikh Dawud al-Fatani dan Wisyah al-Afrah oleh almarhum di Masjid Taqwa sebelum keuzuran almarhum dihadiri oleh ribuan ahli masyarakat. Kawasan sekitar masjid diisytiharkan sebagai kawasan larangan membuka aurat wanita. Begitu juga dengan kuliah setiap pagi jumaat di Kg Bukit Tok Beng, Seberang Takir.

6. Saya mula menghadiri kuliah ilmu almarhum setiap pagi Jumaat di Bukit Tok Beng pada usia 13 tahun pada tahun 1986 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan sekampung dan sesekolah Zainal Abidin Ladang. Seterusnya secara lebih aktif pada usia 16 tahun. Rakan-rakan saya di Sek Men Agama Sultan Zainal Abidin,  Batu Burok selalunya ke Masjid Rusila setiap pagi Jumaat mengikuti kuliah Tafsir dan Hadis Riyad Solihin Tuan Guru Hj Abdul Hadi, tapi saya di samping ke sana, lebih kerap pulang ke Seberang Takir dengan mengayuh basikal semata-mata untuk mengikuti pengajian Tafsir, kitab fiqh Sabilul Muhtadin dan kitab tauhid Aqidah Najihin yang disampaikan oleh almarhum. Terlalu banyak mutiara kata dan cerita yang masih saya ingat ketika berguru dengan almarhum.

7. Dalam parti beliau pernah menjawat jawatan sebagai AJK  Badan Perhubungan PAS Terengganu1968 - 2001, YDP PAS Kuala Nerus 1971 -2001, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu sejak 1987-2001, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu 1981-1982 dan Ajk Dewan Ulamak PAS Pusat 1995-1999.

8. Dalam politik pilihanraya almarhum diamanahkan bertanding sebagai calon PAS  dalam pilihanraya kecil Batu Rakit 1971, PRU 1974,1978, 1982, 1986 dan 1990. Almarhum menjadi ADUN Jeram 1974-1978 dan sekaligus Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Terengganu kerana ketokohan almarhum di bidang Fiqh.

9. Almarhum terkenal sebagai tokoh pidato yang hebat dan lantang sehingga digelar "tukul besi". Pidatonya membangkitkan semangat jihad para pendengar untuk menentang kemungkaran. Ketegasan prinsip dalam menyatakan sesuatu pandangan dihormati oleh rakan dan masyarakat. Fiqhnya sangat terbuka dengan perbandingan pelbagai mazhab dan tidak terikat dengan mazhab Syafie. Pandangannya terhadap amalan bida'ah sangat tegas terutamanya melibatkan amalan bida'ah seperti kenduri kematian. Amalan talqin yang diamalkan oleh masyarakat kampung Melayu di kubur ditinggalkan dan diganti dengan zikir dan bacaan al-Quran.

10. Antara kenangan manis saya dengan almarhum ialah pertemuan di Mekah ketika beliau menunaikan umrah. Saya ketika itu masih menuntut di Jordan. Saya bertanyakan satu amalan yang beliau tidak pernah tinggalkan. Jawab beliau amalkanlah berzikir dengan membaca ayat Kursi!!!

11. Moga Allah merahmati beliau. Segala jasa perjuangannya diwarisi oleh para pejuang selepasnya. Bumi subur Kuala Nerus yang telah disemai dan dibaja oleh almarhum dengan ilmu dan dakwah akan terus disiram dan disemarakkan oleh jenerasi seterusnya. Hari ini saya mengambil inspirasi ketokohan beliau dengan menghidupkan kuliah Jumaat di Seberang Takir dan kuliah mingguan Jumaat malam Sabtu di Masjid Taqwa dengan harapan untuk meneruskan legasi ilmu dan dakwah beliau.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
2.30 pm 4hb April 2014

JASA / KHIDMAT MASYARAKAT

1. TENAGA PENGAJAR MASJID/SURAU
2. PENGASAS SEKOLAH RENDAH DARUL TAQWA BATU 6
3. PENGASAS MASJID TAQWA BATU 6
4. AHLI LEMBAGA PENGARAH SEKOLAH RENDAH ISLAM (DAR-DAR)
5. PEMIDATO YANG LANTANG DENGAN GELARAN “ TUKUL BESI”

ANUGERAH YANG DIPEROLEHI

1. PINGAT JASA KEBAKTIAN (PJK)
2. TOKOH PAS TERENGGANU 2001 (SEMPENA JUBLI EMAS PAS PUSAT)
3. TOKOH PAS TERENGGANU 2006 (SEMPENA JUBLI EMAS PAS TERENGGANU)

PERISTIWA HEBAT DALAM PERJUANGAN 

1. PENCERAMAH HEBAT AKHIR 70-AN HINGGA AWAL 80 –AN SEHINGGA DIGELAR US AWANG TUKUL BESI.
2. DAPAT MEMBANGKITKAN SEMANGAT JUHAD / PENGORBANAN DI DALAM CERAMAH YANG DISAMPAIKAN SEHINGGA ADA YANG TERUJA DENGAN CERAMAHNYA
3. CERAMAH DAN PENGAJIANNYA DI ‘TAPE’KAN TETAPI TIDAK DIBUKUKAN

DISEDIAKAN OLEH

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

KERJASAMA

DEWAN ULAMA PAS NEGERI TERENGGANU

02/05/2009
إنا لله وإنا إليه راجعون
Guru saya dan Mursyid saya Al-Fadhil Tuan Guru Hj Awang Abu Bakar atau dikenali juga Tuan Guru Awang Jidin bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu telah kembali ke rahmatullah semalam. Jenazahnya akan disolatkan jam 11 nanti. Jasanya mengembangkan kerja Jihad dan Dakwah Islam di Terengganu khususnya di parlimen Kuala Nerus dengan menghidupkan Masjid Taqwa Batu 6 dan kuliah jumaat di Bukit Tok Beng Seberang Takir selama puluhan tahun sebagai pusat perkembangan ilmu insyallah menjadi amalan pahalanya yang berpanjangan. Beliau juga adalah bekas AJK Dewan Ulamak PAS Pusat dan bekas exco Negeri Terengganu

Dr Khairuddin at-Takiri

No comments:

Post a Comment