Tuesday, 14 January 2014

Menggalas Perjuangan Dakwah & Pemerintahan Nabi SAW

Perutusan Maulid Rasulillah SAW
Menggalas Perjuangan Dakwah & Pemerintahan Nabi SAW

Maulid Rasulullah saw yang selalunya diperingati pada bulan Rabi'ul sepatutnya menyedarkan umat kepada perlunya kembali kepada Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam. 3 perkara inilah yang diperjuangkan oleh Nabi saw sepanjang hayat dakwah baginda selama 23 tahun dengan 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Aqidah Islam menuntut umat Islam meletakkan Allah sebagai tempat pergantungan dan syurga sebagai impian. Tidak wajar manusia diper"tuhan"kan sehingga mengenepikan perintah dan larangan Allah. Rezki bukan di tangan manusia tetapi Allah yang empunya sehingga meletakkan kita dalam ketakutan mempertegaskan hukum dan perintah Allah apabila berhadapan dengan manusia khususnya penguasa.

Syariat Islam yang diterjemahkan dalam pemerintahan Baginda saw di Madinah adalah sebaik-baik jalan penyelesaian bagi kemelut kehidupan yang sedang dirasai oleh masyarakat khususnya di Malaysia hari ini. Kemelut ekonomi dan sosial yang menggugat kebahagiaan hidup hanya dapat diselesaikan dengan dasar-dasar pemerintahan Islam yang adil yang menolak monopoli ekonomi, sistem percukaian yang zalim, ketirisan disebabkan oleh rasuah dan pemborosan perbelanjaan negara yang meletakkan negara dalam krisis kewangan sehingga menanggung hutang negara melebihi 500 Bilion. Akhirnya rakyat terpaksa dibebankan dengan penarikan subsidi petrol. Kebajikan rakyat terbela dengan sistem pemerintahan Rasulullah yang berasaskan konsep "Negara Hidayah" dan bukan Negara Jibayah cukai". Hari ini rakyat Malaysia ditekan dan ditindas dengan percukaian tinggi pada keperluan asas seperti kereta yang "merompak" pendapatan rakyat tanpa sedar. Krisis ekonomi meletakkan rakyat dalam kadar hutang isi rumah yang tinggi melebihi 500 Bilion. Apatah lagi di saat GST akan dikenakan nanti meliputi seluruh rakyat termasuk yang tidak berkemampuan. GST adalah bayaran yang perlu dibayar oleh rakyat hasil pemborosan pemerintah yang gagal menguruskan kewangan negara secara berhemah menurut sunnah Rasulillah saw.

Akhlak Islam yang ditunjuk dan disebarluaskan oleh Nabi saw sepanjang kehidupan dakwah di Mekah dan menjadi ciri keistimewaan warga Madinah di saat pemerintahan Islam sewajarnya menjadi tonggak kehidupan bersosial rakyat Malaysia. Kehidupan berkeluarga yang harmoni saling menyayangi, kejiranan yang saling bantu-membantu, masyarakat kaya yang prihatin pada golongan miskin, anak muda yang menghormati orang tua dan orang tua yang menyayangi golongan muda. Gejala rempit anak muda, zina yang berleluasa, buang bayi, jenayah yang meningkat khususnya pembunuhan dan rompakan adalah petanda kepincangan kehidupan bersosial akibat meninggalkan akhlak Rasulullah saw.

Maka marilah sempena Maulid Rasul SAW ini seluruh ummat meningkatkan azam dan tekad untuk menjadi sebahagian jaringan pejuang-pejuang yang menggalas perjuangan dakwah Nabi saw ke arah pemerintahan Islam yang adil dan membahagiakan.

YB Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Majlis Syura Ulamak
Ahli Parlimen Kuala Nerus
12 Rabi'ul Awwal 1435H bersamaan 14hb Jan 2014

No comments:

Post a Comment