Thursday 23 January 2014

Kenyataan Media 23 hb Jan 2013 Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Rakyat Mangsa Igauan Status Negara Maju

Kenyataan Media Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 23 hb Januari 2014

Rakyat Mangsa Igauan Status Negara Maju

1. Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya. Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

2. Empat bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (September), Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen. Sebulan selepas kenaikan itu (Oktober), harga pula dinaikkan sebanyak 34 sen. Menjelang tahun 2014 (Disember), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen.

Adakah ‘pakej kenaikan’ ini munasabah? Walaupun perbahasan kenaikan ini agak kompleks, cukuplah jika ia dikatakan adalah berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi untuk mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi 6 tahun lagi.

3. Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan.
Persoalannya, beban kewangan negara yang sedang dipikul oleh kerajaan hari ini siapakah penyebabnya? Beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden. Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan sebanyak RM 12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu? Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM 1.5 bilion? Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat dari tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM 502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK? Setiap rakyat menanggung hampir RM 17,000. Mengapa indeks komposit FTSE Bursa Malaysia jatuh sebanyak 22.46 mata pada Julai lalu? Mengapa dalam tempoh yang hampir sama, nilai ringgit ditutup pada kadar paling rendah berbanding dolar Amerika sejak 3 tahun lalu?

4. Tiba masanya rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana dan dipraktikakan oleh kerajaan . Pilihanraya masih jauh. Namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku. Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat!!!

Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Rakyat jadi mangsa igauan status negara maju - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/25141-rakyat-jadi-mangsa-igauan-status-negara-maju

No comments:

Post a Comment