*Akhlak dan Motivasi Daripada Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz*
oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen KUALA NERUS
1. Tragedi kebakaran pada awal pagi khamis 14 september 2017 yang mengorbankan lebih 20 orang anak-anak yang sedang berjihad menghafaz Kalam Allah tentu sahaja meruntun hati setiap insan. Namun, perginya mereka ke rahmatullah sebagai Syuhada Akhirat akibat kebakaran sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud, yang diberikan kemuliaan oleh Allah menjadi pengubat hati kepada waris kaum keluarga yang terlibat.
2. Kita wajar mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas musibah ini. Kata-kata dan tindakan yang membenihkan kesabaran di hati mereka adalah sebahagian daripada skop takziah buat mereka sebagaimana pengajaran Islam.
3. Tidak perlu dikesali musibah yang telah berlaku dengan pelbagai andaian berunsur "kalau" kerana ia membuka pintu bisikan jahat Syaitan yang bertujuan menambahkan kesedihan. Nabi saw bersabda:
ْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
"Dan sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah maka janganlah menyebut: "kalau saya sebelum ini lakukan demikian tentulah demikian demikian", tetapi sebutlah: *"Allah telah menentukan. Apa yang Dia mahu Dia lakukan"*, kerana sesungguhnya ungkapan "kalau" itu membuka tindakan Syaitan." Hadis riwayat Muslim.
4. Dalam masa yang sama hati dan perasaan kita juga bersama pengasas dan guru-guru pusat Tahfiz tersebut. *Mereka telah berjihad dengan masa, tenaga dan harta mereka belasan tahun untuk menyediakan pusat ilmu untuk anak-anak Islam*. Dalam tempoh itu mereka telah berjaya melahirkan puluhan para Huffaz yang menjadi kebanggaan masyarakat. Kejayaan mereka ini sewajarnya dititipkan dengan pujian dan kata semangat. *Namun, dalam kerangka kejayaan itu ada ujian yang mendatang*. Mereka diuji dengan musibah yang meruntun dan merungsingkan hati dan perasaan mereka. Tentu sahaja ia boleh mematahkan semangat jihad pendidikan mereka. Maka di saat inilah mereka memerlukan motivasi yang berterusan memberikan sinar harapan. Malah, jika ada sebarang kelemahan yang menjadi sebab memungkinkan berlakunya musibah ia boleh dijadikan motivasi pengajaran untuk mendatang.
5. Bagi pihak berkuasa pula, musibah ini sewajarnya menjadi pemangkin untuk mereka terus melipat-gandakan usaha membantu pusat Tahfiz dan pusat-pusat pengajian Islam dengan dana pembangunan dan nasihat serta panduan keselamatan yang berterusan. Tidak wajar musibah ini diiringi dengan ugutan terhadap pengusaha-pengusaha institusi Tahfiz yang lain yang sedang berjihad di alam pendidikan dengan seribu macam kepayahan. Ia bukan premis untuk mengancam dan mengecam tetapi medan untuk saling membantu dan bekerjasama untuk kebaikan.
6. Inilah juga masanya bagi masyarakat awam memperkukuhkan dokongan terhadap institusi pendidikan agama seumpama Tahfiz ini. *Sangkaan baik kita terhadap mereka ialah mereka berjihad di bidang pendidikan demi Allah dan Rasul dan demi mencari syurga di alam abadi*. Membuat andaian dengan sangkaan buruk terhadap guru-guru dan pengurus pusat ilmu ini bukan akhlak umat beriman. Membuat tuduhan melulu dengan andaian penyelewengan dana yang mungkin berlaku di kalangan guru-guru yang berjihad mengusahakan pusat ilmu ini adalah akhlak yang sangat jelek, apatah lagi jika datang dari mereka yang dianggap ilmuwan. *Kemungkinan dan kebarangkalian baik dan jahat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada jawatan dan amanah apa sekalipun*. Tragedi ini bukannya lesen untuk membenihkan persepsi negatif dan jahat meskipun secalit.
7. Marilah kita bersama menjadikan tragedi ini sebagai rahmah buat ummah di sebalik musibah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
_"Dan pasti Kami menguji kamu dengan sesuatu berupa kebimbangan, kelaparan dan kekurangan sebahagian harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah KHABAR GEMBIRA kepada orang-orang yang SABAR. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan: sesungguhnya kita milik Allah dan kita kepada-Nya pasti kembali."_
Sekian.
Sabtu 16hb September 2017 / 24 Zulhijjah 1438 H.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1714437018566321&id=569086473101387
No comments:
Post a Comment