Tuesday 7 March 2017

Meminda Akta 355 Adalah Kewajipan Syarie

Meminda Akta 355 Adalah Kewajipan Syarie

1. Sebagaimana yang telah saya tegaskan dalam ucapan dan tulisan saya sebelum ini, Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 adalah wajib dipinda. Hal ini kerana Akta itu menghalang 3 kesalahan Syariah iaitu minum minuman memabukkan, Qazaf dan Zina daripada dihukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 kali sebatan.

2. Oleh kerana itu PAS menerusi YB Marang membawa Usul Persendirian di Dewan Rakyat untuk meminda Akta tersebut pada 26 Mei 2016 yang teksnya menyebut:

_"Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan *hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah* yang berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati."_

3. Setelah pelbagai pihak memberikan pandangan, cadangan teks Usul Persendirian telah dipinda dan dibawa ke Dewan Rakyat pada 24 November 2016. Teks cadangan baru ialah:

"Pindaan Seksyen 2

Akta Mahkamah Syariah (BidangKuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali”* dengan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah”*.

Teks asal Akta 355 ialah
Seksyen 2
"Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian *tidaklah boleh dijalankan* berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum *"penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.*

4. Usul Persendirian ini telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari ini sebagai Usul ke tujuh iaitu Usul Persendirian pertama selepas Usul Kerajaan.

5. Cadangan pindaan Akta 355 daripada 6 kali sebatan kepada 100 sebatan ini adalah "hukuman yang dibenarkan oleh Undang-undnag Syariah" sebagaimana yang dimaksudkan dalam cadangan awal draf pindaan Akta 355 pada 26 Mei 2016.
Apabila diluluskan Usul ini nanti membolehkan tiga kesalahan Syariah iaitu minum minuman memabukkan, Qazaf dan Zina dihukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

6. Cadangan pindaan Akta 355 daripada 3 tahun penjara kepada tidak lebih 30 tahun penjara dan daripada 5 ribu ringgit denda kepada tidak lebih 100 ribu ringgit denda adalah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syariat Islam kepada pemerintah dalam kesalahan Takzir. Ketika perbahasan di Dewan Rakyat nanti pelbagai pihak boleh memberikan pandangan sebelum ianya diluluskan menjadi undang-undang negara.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Selasa 7hb Mac 2017

htpp://www.facebook.com/drtakiri/

No comments:

Post a Comment