Friday 3 October 2014

RASIONALISASI SUBSIDI & GST : KERAJAAN LEBIH GALAK BERBOROS -Tantawi

RASIONALISASI SUBSIDI & GST : KERAJAAN LEBIH GALAK BERBOROS
Oleh :
NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI
Ahli Parlimen Temerloh

[ Tarikh : 02 Oktober 2014 ]

1. Pelaksanaan GST bermula April 2015 dikatakan akan menambah pendapatan negara sebanyak RM23 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama dan boleh mencecah sehingga RM32 bilion dalam tempoh setahun berikutnya. Menurut Datuk Seri Idris Jala pula, mekanisme percukaian baharu itu boleh menjamin tambahan pendapatan negara antara RM20 bilion sehingga RM27 bilion apabila matang.

2. Pada 29 September 2014, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan bahawa sistem rasionalisasi subsidi dengan mekanisme yang baharu bagi diesel (melibatkan 780,000 buah kenderaan) yang akan dilaksanakan bermula Januari 2015 dan bagi petrol (melibatkan 18 juta buah kenderaan) yang akan dilaksanakan bermula April 2015 dikatakan memberikan penjimatan sebanyak RM6 bilion hingga RM7 bilion.

3. Pelbagai kebaikan (advantages) telah dikemukakan oleh Kerajaan kepada rakyat bagi menjelaskan tentang keperluan melakukan rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) yang kesemuanya akan berkuatkuasa pada tahun hadapan, 2015. Antara alasan yang dibentangkan itu ialah – mendidik rakyat supaya tidak bergantung kepada bantuan Kerajaan; mengawal kedudukan fiskal negara dengan lebih berkesan; bantu tangani masalah defisit fiskal yang dialami sejal lebih satu dekad; pengstrukturan cukai menjadi lebih berkesan; dan menambahkan pendapatan negara bagi membolehkan Kerajaan memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

4. Lebih mengejutkan, petang semalam (1 Oktober 2014) pula, tiba-tiba KPDNKK membuat pengumuman bahawa “subsidi untuk petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter”, berkuatkuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014. Walaupun bahasa yang digunakan ialah rasionalisasi, penyelarasan dan pengurangan  subsidi, tetapi hakikatnya sebenarnya ialah harga petrol RON95 dan diesel dinaikan sebanyak 20 sen seliter.

5. Olahan alasan yang diperlihatkan positif ini tidak lebih daripada untuk mengkaburi dan menutup mata rakyat dan menampakkan secara jelas sindrom penafian oleh Kerajaan terhadap permasalahan yang lebih akar berkenaan isu pengurusan ekonomi negara ini iaitu perbelanjaan Kerajaan dan perbelanjaan mengurus yang meningkat berkali ganda serta isu-isu kebocoran dan ketirisan dalam membelanjakan wang negara.

6. Sebagai contoh, jumlah perbelanjaan Kerajaan meningkat daripada RM113.5 bilion pada tahun 2003 kepada RM196 bilion pada tahun 2008. Perbelanjaan mengurus pula  meningkat lebih dua kali ganda kepada RM15.1 bilion pada tahun 2008 daripada RM75.2 bilion pada tahun 2003. Malah, ia meningkat lagi sebanyak RM15.8 bilion daripada RM201.9 bilion pada tahun 2013 kepada RM217.7 bilion pada tahun 2014. Saban tahun pula, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan pelbagai ketirisan yang berlaku dalam pengurusan perbelanjaan wang negara.

7. Secara teori, kerajaan dengan pendapatan yang lebih banyak akan cenderung untuk berbelanja dengan jumlah yang lebih besar. Dalam keadaan sikap dan kualiti urus tadbir Kerajaan yang ada pada hari ini yang boleh dipertikaikan, saya yakin bahawa akan berlaku lebih banyak pemborosan dan pembaziran duit rakyat pada tahun hadapan. Sebanyak mana pun jumlah yang berjaya dipungut atau “dijimatkan” dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi diesel dan petrol, jika Kerajaan tidak berintegriti dan tidak beramanah dalam menguruskannya, jumlah itu tidak bernilai lagi dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat serta kebaikan kepada rakyat.

8. Jangan kerana keangkuhan dan kesombongan untuk tidak mahu berubah bagi memperbetulkan kesilapan, serta tidak bersyukur dengan hasil bumi yang telah Allah kurniakan kepada negara kita, akhirnya Allah mendatangkan musibah seperti yang ditimpakan ke atas Kerajaan Saba’ sehingga meruntuhkan empangan akibat banjir besar yang melanda. Hilang sumber air dan terjejas sektor pertanian mereka. Kebun-kebun yang mengeluarkan buah yang berkualti tinggi sebelumnya menjadi hutan yang ditumbuhi pokok liar dan kasar (rujuk surah Saba’, ayat 16) :

"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sidikit pohon-pohon bidara."

Kita harus belajar dan mengambil pengajaran daripadanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment