Tazkirah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Zaman di mana pembohong dipercayai, orang amanah dianggap khianat, orang jahil berbicara perkara besar
1. Nabi saw bersabda;
سيأتِي على الناسِ سنواتٌ خدّاعاتٌ ، يُصدَّقُ فيها الكاذِبُ ، ويُكذَّبُ فيها الصادِقُ ، ويُؤتَمَنُ فيها الخائِنُ ، ويخونُ الأمينُ ، وينطِقُ فيها الرُّويْبِضَةُ . قِيلَ : وما الرُّويْبِضةُ ؟ قال : الرجُلُ التّافِهُ يتَكلَّمُ في أمرِ العامة
ِ
Maksudnya: "akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh tipu daya di mana dipercayai para pembohong dan orang yang bercakap benar dianggap pembohong. Pengkhianat diberikan amanah. Orang yang amanah dianggap khianat. Sementara "Ruwaibidoh" berbicara. Baginda ditanya; apa itu Ruwaibidoh? Nabi saw menjelaskan "Orang yang bodoh dan dangkal berbicara tentang perkara besar melibatkan orang ramai"
Hadis dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani rahimahullah.
2. Hadis diatas adalah sebahagian mukjizat Nabi saw. Baginda saw menjelaskan zaman mendatang yang akan dilalui oleh umat manusia selepas baginda saw.
3. Di zaman dunia maklumat tanpa sempadan menerusi media maya pelbagai berita dan tuduhan dengan mudah berlegar dan dipercayai oleh orang ramai. Akibatnya para pembohong di alam maya dipercayai perkhabaran mereka. Golongan yang bercakap benar pula dipertikaikan kebenarannya dan dianggap berbohong.
4. Kesan media baru dan pemberitaan maya yang diterima semua pemberitaannya tanpa tapisan dan penyelidikan akan berlakulah mereka yang amanah dihukum pembohong manakala golongan pembohong yang berulang kali berbohong dianggap bercakap benar.
5. Nabi saw mengajar kepada kita untuk tidak berbicara dan menyebarkan semua berita yang didengari sebagai satu cara berhati-hati dan menapis maklumat. Nabi saw bersabda:
كفى بالمرءِ كذبًا أن يُحَدِّثَ بكلِّ ما سمِع
Maksudnya: "cukuplah pembohongan seseorang apabila menceritakan kepada orang lain semua apa didengarinya".
Hadis diriwayat oleh Muslim di awal kitab Hadis Sahihnya.
Menyebarkan setiap berita yang didengari tanpa tapisan adalah satu pembohongan kerana barangkali berita itu adalah satu kepalsuan.
6. Pelbagai tuduhan yang mencarikkan reputasi golongan amanah disebarkan tanpa batasan. Sebaliknya orang awam menerima tuduhan sebagai satu kesalahan. Maka tertuduh sudah dinilai bersalah sebelum dibuktikan bersalah.
7. Islam mengajar kaedah pertuduhan iaitu "bukti dan keterangan menjadi kewajipan orang yang mendakwa dan sumpah penafian menjadi kewajipan orang yang menafikan dakwaan". Juga "seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah".
8. Islam mengajar kaedah menerima pemberitaan iaitu jangan menerima berita daripada golongan fasik melainkan selepas diselidiki kebenarannya dan diselidiki hakikat sebenar yang berlaku daripada sesuatu kejadian yang diberitakan.
9. Maksudnya asas kepada pemberitaan golongan fasik ialah ditolak pemberitaannya sehingga diselidiki dan diminta penjelasan. Jika penyelidikan gagal dilakukan maka kekallah berita itu tanpa dapat diterima. Jika penjelasan gagal diperolehi maka kekallah berita itu tertangguh tidak diterima.
10. Allah berfirman;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: "wahai orang-orang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasik dengan satu berita maka dapatkankah penjelasan (dan bukti) bimbang kamu timpakan satu kaum disebabkan satu kejahilan lalu kamu menjadi orang yang menyesali atas apa yang kamu lakukan"
Surah al-Hujuraat; 6َ
11. Ayat di atas menggunakan ungkapan "tabayyanu" yang bermaksud dapatkanlah penjelasan. Hal ini kerana barangkali berita itu benar berlaku tetapi hakikat sebenar di sebalik berita itu ialah luar daripada sangkaan kita.
12. Dalam satu Qiraat lain menggunakan ungkapan "tathabbatu" yang bermaksud hendaklah diselidiki kebenarannya. Ia bermaksud setiap berita perlu diselidiki adakah ia benar-benar berlaku. Kemudian, berita itu mungkin juga benar-benar berlaku tetapi hakikat sebenar di sebalik apa yang berlaku di luar daripada sangkaan seseorang.
13. Justeru, apabila datang sebarang berita daripada orang fasik maka selidikilah kebenaran berita dan dapatkanlah penjelasan dan pencerahan terhadap sesuatu berita yang diterima.
14. Hari ini, sekeping gambar dilontarkan di alam maya oleh orang politik untuk membentuk satu spekulasi. Maka berbicaralah orang ramai dengan pelbagai spekulasi. Inilah satu pembohongan. Spekulasi adalah pembohongan.
Nabi saw bersabda;
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ
Maksudnya: "jauhikanlah sangkaan kerana sangkaan adalah bicara yang paling bohong".
Hadis Sahih Bukhari
Apa yang perlu dilakukan ialah bersangka baik atau dapatkan penjelasan daripada sekeping gambar.
15. Media melontarkan pemberitaan tuduhan lalu menunggu orang yang tertuduh menjawab. Sementara menanti jawapan tertuduh, pelbagai komentar diberikan oleh orang awam berasaskan keyakinan mereka terhadap tuduhan. Kesannya tertuduh dizalimi haknya. Reputasinya tercalar.
16. Di media maya hari ini setiap orang membuat komentar berasaskan maklumat yang dangkal. Semua orang ingin berbicara hatta dalam perkara besar melibatkan pengurusan dan pentadbiran negara yang mereka tiada ilmu tentangnya. Inilah yang disebut oleh Nabi saw sebagai "Ruwaibidoh".
Moga Allah menyelamatkan kita daripada terperangkap dengan suasana ini.
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Isnin 11 ogos 2014
No comments:
Post a Comment