Saturday 26 July 2014

Mat Sabu- Kenyataan Hadi bukan pendirian muktamad PAS, hanya pandangan peribadi -

Kenyataan Hadi bukan pendirian muktamad PAS, hanya pandangan peribadi - Mat Sabu

Share on facebookShare on twitterShare on emailShare on print
pada 26-07-2014 08:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan pemimpin nombor satu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung polemik jawatan Menteri Besar sebagai pandangan peribadi dan bukan keputusan rasmi parti itu.

Sebaliknya Mohamad yang mesra dengan panggilan 'Mat Sabu' ini berkata pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor akan diputuskan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Ujar beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos depan bagi membincangkan perkara tersebut.

"Itu pandangan peribadi, kita akan mesyuarat 10 Ogos. Pada 10 Ogos nanti keputusan parti.

"10 Ogos mesyuarat (dan) kita patuh pada keputusan mesyuarat," katanya kepada Antarapos.

Semalam Abdul Hadi mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

"Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.

"Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila di Marang, Terengganu.

Abdul Hadi berkata, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lalu menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid  dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Tiada apa, saya nak raya dulu.  Tunggu selepas hari raya," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya turut berkata, alasan pihak yang mahu menukar menteri besar Selangor tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.

"Kalau beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan lain, itu kita boleh urus tetapi bukandengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.

"Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," katanya

No comments:

Post a Comment