Saturday 26 July 2014

KEADILAN BERPEGANG KEPADA KEPUTUSAN RASMI MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT 23 JULAI 2014

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT

KEADILAN BERPEGANG KEPADA KEPUTUSAN RASMI MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT 23 JULAI 2014

Keputusan KEADILAN untuk mencalonkan presiden parti, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor telah dibentangkan dan diterima di dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 23 Julai 2014.

Proses itu adalah mekanisme membuat keputusan tertinggi di dalam Pakatan Rakyat yang telah dihormati sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan. Setiap parti diwakili oleh pimpinan tertinggi yang diberi mandat untuk menyampaikan keputusan parti masing-masing di peringkat Pakatan Rakyat.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bertarikh 23 Julai 2014, PAS diwakili oleh:

1. YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS
2. YBhg Dato’ Mustapha Ali, Setiausaha Agong PAS
3. YBhg Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS
4. YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS
5. YBhg Saudara Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PAS
6. YB Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, PAS dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar adalah dari KEADILAN.

Oleh yang demikian, KEADILAN akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor. Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini telah digunakan dalam menentukan Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Malah, dalam pergolakan membabitkan jawatan Menteri Besar Kedah sebelum Pilihanraya Umum ke-13, KEADILAN mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Kedah adalah dari PAS walaupun ada pelbagai permintaan dari pimpinan Pakatan Rakyat yang lain supaya KEADILAN turut menyatakan pendirian sama ada mahu Menteri Besar ditukar atau tidak.

Saya percaya semangat ukhuwwah dan saling menghormati prinsip pencalonan sebegini akan terus menguatkan Pakatan Rakyat. Ia adalah salah satu tiang seri yang menjadi tonggak persefahaman Pakatan Rakyat, makanya semangat menghormati prinsip pencalonan sebegini perlu dipertahankan demi mempertahankan Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, saya percaya kepimpinan PAS akan melalui proses dalaman dan mengambil kira pendapat semua pimpinannya serta komitmen yang telah dinyatakan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai 2014 yang lalu apabila Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat pada 10 Ogos 2014, seperti yang telah dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.



DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong KEADILAN

26 Julai 2014

No comments:

Post a Comment