Monday 13 March 2023

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Saya difahamkan ada NGO yang menganjurkan program dengan mengajak anak muda Islam ke gereja. 

Kita mengalu-alukan sebarang program yang boleh membina persefahaman dan toleransi beragama dalam masyarakat. Ia boleh dianjur dan dipupuk dengan banyak cara menerusi program sosial, kebajikan dan pendidikan. 

Namun, ia tidak sesuai dilaksanakan dalam bentuk menjemput anak muslim ke gereja kerana ia boleh mendedahkan orang Islam kepada usaha dakyah ajaran kristian kepada orang Islam yang termasuk dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Kita juga memperingatkan NGO-NGO yang mempromosi program sebegini dengan enakmen kesalahan jenayah Selangor sebagai contoh yang melarang sebarang usaha mendedahkan orang Islam kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam.

ENAKMEN 1 TAHUN 1988
ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988

Seksyen 6. Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---
(a) mengunjungi; atau

(b) mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan; atau

(c) dengan apa-cara lain pun menghubungi,
seorang berugama Islam bagi maksud mendedahkan orang berugama Islam itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(2) Seseorang yang melakukan kesalalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
13.3.2023

No comments:

Post a Comment