Wednesday 1 February 2023

Mutiara FIQH: Hukum Membaca 3 Qul Sebelum Tidur Dalam Keadaan Berjunub

Mutiara FIQH
Hukum Membaca 3 Qul Sebelum Tidur Dalam Keadaan Berjunub

1. Membaca al-Quran adalah ibadah yang disunatkan namun bagi orang yang berjunub, ia tidak dibenarkan berdasarkan beberapa Hadis antaranya Hadis;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلِمَةَ قَالَ : أَتَيْتُ عَلِيًّا أَنَا وَرَجُلَانِ ، فَقَالَ : ( كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ مِنْ الْخَلَاءِ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ ، وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ ، وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ عَنْ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ )

"Daripada Abdullah bin Salamah katanya; saya menemui Ali (r.a) bersama dua lelaki lalu Ali (r.a) berkata; Adalah Rasulullah saw keluar daripada Qada Hajat lalu baginda membaca al-Quran dan makan bersama kami daging. Tidak pernah menghalang baginda daripada al-Quran satu perkara pun kecuali berjunub"
(Hadis dinilai Hasan Sahih oleh Tirmizi. Ia dinilai Sahih oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim)

2. Namun, orang yang berjunub dibolehkan membaca ayat-ayat yang bertujuan "isti'zah" iaitu memohon perlindungan daripada Allah seperti Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.

3. Begitu juga, seorang yang berjunub boleh membaca 3 Qul sebelum tidur dan ditiupkan pada dua telapak tangan sebelum disapukan ke seluruh badan, dilakukan sebanyak 3 kali. 

4. Amalan membaca 3 Qul sebelum tidur itu adalah sunnah yang wajar diamalkan sebagaimana sabit dalam Hadis Bukhari bahawa Aisyah radiyallahu anha meriwayatkan: 
 أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم كانَ إذا أوَى إلى فِراشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَع كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِما، فَقَرَأَ فِيهِما: {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ}، و{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ}، و{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ}، ثُمَّ يَمْسَحُ بهِما ما اسْتَطاعَ مِن جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بهِما علَى رَأْسِهِ ووَجْهِهِ وما أقْبَلَ مِن جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذلكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ
"Bahawa Nabi saw apabila mendatangi katilnya setiap malam, baginda mencantumkan kedua belah telapak tangan baginda kemudian meniup pada keduanya lalu membaca Surah 3 Qul. Kemudian disapu kedua tapak tangan itu pada apa yang boleh daripada jasadnya. Baginda mulakan dengan menyapu kedua tapak tangan itu ke atas kepala, muka dan bahagian depan jasad. Baginda lakukan sebanyak 3 kali"

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
Rabu 1hb Februari 2023

No comments:

Post a Comment