Saturday 26 March 2022

Memupuk Mesej Kesejahteraan dan Kedamaian

Memupuk Mesej Kesejahteraan dan Kedamaian

1. Islam agama yang membawa kesejahteraan dan kedamaian dalam masyarakat. Lafaz Assalamu 'Alaikum yang menjadi ucapan penghormatan setiap muslim apabila bertemu saudaranya membawa mesej kesejahteraan dan kedamaian.

Menurut Imam Qurtubi ucapan salam bermaksud doa agar Allah sejahterakan agama dan diri kamu. Kata Imam Nawawi ia bermaksud berlindung diri dan berbenteng dengan Allah dengan maksud sejahtera dan selamat atas diri kamu. 

Ia juga bermaksud sejahteralah kamu, tiada gangguan daripada diriku terhadap kamu dan juga tiada yang sepatutnya mengganggu kamu.

Justeru itu ucapan salam diarah untuk disebarkan. Nabi saw bersabda

يا أيُّها النَّاسُ أفشوا السَّلامَ بينَكُم وأطعِموا الطَّعامَ وصِلوا الأرحامَ وصلُّوا والنَّاسُ نيامٌ تدخلوا الجنَّةَ بسلامٍ
"Wahai manusia. Sebarkan lah ucapan salam sejahtera sesama kamu, berilah makan pada manusia, sambunglah rahim dan solatlah kamu di saat manusia tidur pasti kamu memasuki syurga dengan sejahtera"
(Hadis Hasan)
 
2. Kesejahteraan dan kedamaian dipupuk menerusi semangat persaudaraan kemanusiaan sejagat yang bermula daripada bapa dan ibu yang satu iaitu Adam dan Hawa. Allah berfirman

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)
"Wahai sekelian manusia. Sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa) dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan kabilah untuk kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha pakar"
(Surah al-Hujurat Ayat 13) 

3. Kesejahteraan dan kedamaian juga disuburkan atas semangat persaudaraan  seagama sebagaimana firman Allah

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Sebenar-benar orang beriman adalah bersaudara. Maka damaikanlah antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu dirahmati"
(Surah al-Hujurat Ayat 10)

Maka menjadi tanggungjawab masyarakat sama ada pemimpin dan rakyat untuk sentiasa menyebarkan dan menyuburkan kesejahteraan dan kedamaian dalam bermasyarakat.

Dr Khairuddin Takiri
Jumaat 18.3.2022

No comments:

Post a Comment