Friday 25 February 2022

Mutiara FIQH (2) : Solat Sunat Tahiyyatul Masjid

Mutiara FIQH (2)
Solat Sunat Tahiyyatul Masjid

Ketahuilah wahai saudara, antara adab memasuki masjid ialah hendaklah dilakukan solat dua rakaat yang dipanggil Tahiyyatul Masjid sebelum duduk. 

Hal ini berdasarkan Hadis Sahih Muslim berikut:

عن أبي قتادة الأنصاري
دَخَلْتُ المَسْجِدَ وَرَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ جَالِسٌ بيْنَ ظَهْرَانَيِ النَّاسِ، قالَ: فَجَلَسْتُ، فَقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: ما مَنَعَكَ أَنْ تَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجْلِسَ؟ قالَ: فَقُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، رَأَيْتُكَ جَالِسًا وَالنَّاسُ جُلُوسٌ، 

"Daripada Abi Qatadah al-Ansari, saya masuk ke dalam masjid sedangkan Nabi saw duduk di kalangan orang ramai lalu saya pun duduk. Nabi saw lantas menegur: "Apa yang menghalang kamu untuk rukuk solat dua rakaat sebelum duduk? Saya menjawab: wahai Rasulallah, saya melihat kamu telah duduk dan orang ramai pun duduk"

قالَ: فَإِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فلا يَجْلِسْ حتَّى يَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ.
Sabda Nabi saw
"Maka apabila seseorang kamu memasuki maka janganlah dia duduk sehingga dia rukuk sebanyak dua rakaat".
(Hadis Muslim) 

Soalan:
Adakah ia terpakai pada waktu yang dilarang dan dimakruhkan mengerjakan solat sunat?

Jawapannya:
Solat Tahiyyatul Masjid ketika memasuki masjid perlu dilakukan walaupun pada waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat mutlak kerana solat ini bersebab iaitu sebabnya kerana memasuki masjid. Larangan mengerjakan solat pada waktu tertentu hanyalah melibatkan solat sunat mutlak tanpa bersebab. 

Ini pendapat Imam Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad berbeza dengan pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali yang tidak membenarkan solat pada waktu larangan solat sunat. 

Soalan: 
Adakah arahan juga meliputi Masjid Haram?

Jawapannya: 
Tidak, kerana Tahiyyatul Masjid bagi Masjid Haram ialah mengerjakan Tawaf. 

Soalan: 
Bagaimana pula apabila memasuki masjid sedang Imam telah berkhutbah Jumaat?

Jawapannya: 
Hendaklah ditunaikan juga solat sunat Tahiyyatul Masjid tetapi dengan ringkas dan cepat. Ini bersandarkan Hadis Nabi saw menegur Sulaik al-Ghatfani yang terus duduk apabila memasuki masjid sedang Nabi berkhutbah. 

Jabir bin Abdullah radiyallahu anhuma meriwayatkan
جَاءَ سُلَيْكٌ الغَطَفَانِيُّ يَومَ الجُمُعَةِ، وَرَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ،فَقالَ له
Sulaik al-Ghatfani datang pada hari Jumaat sedang Rasulullah saw berkhutbah lalu dia duduk. Lantas Nabi saw bersabda: 

يا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

"Wahai Salik. Bangkitlah kamu berdiri lalu rukuk lah dua rakaat dan percepatkan lah pada kedua rakaatnya."

ثُمَّ قالَ:
 إذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَومَ الجُمُعَةِ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا.

Kemudian Nabi saw bersabda kepada orang ramai: "Apabila datang seseorang kamu pada hari Jumaat sedang Imam berkhutbah maka hendaklah dia rukuk dua rakaat dan peringankanlah pada keduanya"
(Hadis Muslim)

Inilah pendapat mazhab Syafie dan Hambali. 

Sekian. 

Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Penasihat, NADWAH Ilmuwan Muslim
Jumaat 25.2.2022

No comments:

Post a Comment