Monday, 1 May 2017

Menilai Fatwa Kebangsaan Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)*

*Menilai Fatwa Kebangsaan Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)*

oleh
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Kenyataan Ketua Pengarah Jakim menjelaskan kembali keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke 106 pada 21-22 Oktober 2014 menyebut bahawa "kerajaan melaksanakan GST ini adalah bagi memenuhi tujuan ekonomi, tujuan sosial dan kepentingan rakyat meliputi aspek kesihatan, pendidikan, tempat rekreasi, kebajikan dan keselamatan. Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi kepentingan umum (maslahah) ini."

2. *Dengan penuh hormat, kasih dan sayang serta pengiktirafan terhadap kewibawaan dan keilmuan anggota Muzakarah*, saya berpandangan bahawa *Fatwa ini adalah lemah, longgar dan tidak tepat pada penghujahan* yang menatijahkan hasil pandangan yang tersilap dan tersasar.

3. Kesilapan itu berlaku kerana fokus Muzakarah hanya pada *tujuan cukai dikutip* tapi tidak melihat kepada *bagaimana cukai itu dikutip*.

4. Penentuan boleh atau tidak mengenakan cukai tambahan kepada rakyat bukan hanya dilihat pada tujuannya sahaja tetapi hendaklah dilihat pada bagaimana ia dikutip.

5. Dalilnya ialah hadis Nabi saw

“لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ
"Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari Kiamat hingga disoal tentang empat perkara..... *tentang hartanya; daripada mana ia diperolehi dan pada apa ia dibelanjakan.*"
Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Tirmizi.

6. Ulamak Islam telah membicarakan topik cukai dalam tulisan-tulisan mereka sepanjang sejarah pemerintahan Islam selama 13 kurun. Antaranya Imam Ghazali, Imam Syatibi, Ibnu Abidin, Ibnu Taimiyah dan Ibu Hazm. 

7. Secara umumnya para Ulamak menegaskan beberapa syarat untuk membolehkan cukai dikutip iaitu:

a) Apabila kerajaan kehabisan sumber pendapatan atau tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menguruskan keperluan negara

b) Kekurangan pendapatan itu tidak berlaku disebabkan salah urus kerana penyelewengan, ketirisan dan pembaziran.

c) Cukai itu hanya diambil daripada orang-orang kaya sahaja bukannya daripada orang kaya dan miskin juga.

*Cukai Daripada Orang Kaya*

8. Antara syarat utama pengambilan cukai ialah hanya diambil daripada orang kaya yang mempunyai lebihan kewangan.

8. Dalilnya ialah sabda Nabi saw

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

"diambil daripada orang kaya mereka dan dipulangkan kepada orang miskin mereka".
Hadis Sahih Bukhari

9. *Syarat inilah tidak dapat dipenuhi oleh sistem percukaian GST kerana ia dikenakan berdasarkan perbelanjaan yang tidak boleh membezakan antara kaya dan miskin*,  bukannya berdasarkan pendapatan yang boleh dibezakan antara golongan yang mempunyai lebihan pendapatan dengan yang kurang.

10. Apabila cukai diambil juga daripada orang miskin yang tidak berkemampuan maka berlakulah kezaliman. BRIM yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak mampu memulangkan semula setiap sen yang mereka bayar. 

11. Apatah lagi percukaian GST juga telah menyebabkan kenaikan harga barang di semua peringkat yang menambahkan lagi bebanan rakyat miskin.

12. Imam Syatibi berkata:

إذا قدرنا إمامًا مطاعًا مفتقرا على تكثير الجنود لسد حاجة الثغور، وحماية الملك المتسع الأقطار، وخلا بيت المال، وارتفعت حاجات الجند إلى ما لا يكفيهم، فللإمام إذا كان عدلاًَ أن يوظف على الأغنياء ما يراه كافيًا لهم في الحال إلى أن يظهر مال في بيت المال

"Apabila kita andaikan seorang pemerintah yang ditaati mempunyai keperluan meramaikan tentera bagi memenuhi keperluan sempadan dan melindungi kerajaan yang luas kawasannya, sedang Khazanah Negara (Baitul Mal) kekosongan dana, di saat meningkatnya keperluan tentera terhadap perbelanjaan yang tidak mencukupi MAKA bolehlah pemerintah itu sekiranya beliau seorang yang ADIL *untuk mengenakan cukai terhadap ORANG-ORANG KAYA dengan amaun yang mencukupi* untuk mereka ketika itu sehinggalah terserlah dana dalam khazanah negara" (al-I'tisam juz 2/358)

13. Imam Ghazali berkata:

" إذا خلت الأيدي من الأموال، ولم يكن من مال المصالح ما يفي بخراجات العسكر، ولو تفرق العسكر، واشتغلوا بالكسب لخيف دخول العدو ديار المسلمين، أو خيف ثوران الفتنة من أهل الشر في بلاد الإسلام، جاز للإمام أن يوظف على الأغنياء مقدار كفاية الجند."

"Apabila pemerintah kehabisan wang sedangkan harta khazanah negara tidak mencukupi untuk perbelanjaan tentera, sekiranya anggota tentera berpecah ke sana sini dan sibuk mencari rezki pasti dibimbangi kemasukan musuh ke negeri orang Islam atau bimbang pemberontakan golongan yang jahat dalam negara maka *harus bagi pemerintah untuk mengenakan cukai terhadap orang kaya kadar yang cukup untuk tentera*"
(al-Mustashpa 1/426)

14. Menurut Dr Syauqi Allam, Mufti Mesir
إلا أنه ينبغى أن يراعى فى فرض الضرائب عدم زيادة أعباء محدودى الدخل وزيادة فقرهم، وأن تحصل الضرائب أصالة من الفئات التى لا يجهدها ذلك؛ كطبقة المستثمرين، ورجال الأعمال الذين يجب عليهم المساهمة فى واجبهم تجاه الدولة.(28)

"tetapi wajarlah diraikan dalam menetapkan pengambilan cukai itu *tidak menambah bebanan rakyat yang berpendapatan terhad dan menambahkan kemiskinan mereka* dan wajarlah *cukai itu dihasilkan asasnya daripada golongan yang tidak tertekan dengan bebanan tersebut seperti golongan pelabur dan golongan korporat ahli perniagaan* yang wajib  menyumbang tanggungjawab mereka terhadap negara"

15. Oleh kerana itu PAS menerusi Dokumen Hijau mencadangkan alternatif cukai terhadap orang kaya yang selaras dengan Islam iaitu *cukai simpanan korporat dan cukai keuntungan jual beli saham.* Ia adalah alternatif kepada percukaian GST.

16. Cukai sebagai sumber kewangan negara dibahaskan oleh para alim ulamak Islam sebagai satu sumber tambahan yang bersifat pengecualian. Ia bermaksud cukai asasnya tidak dibenarkan.  Namun dibenarkan sebagai pengecualian hukum dengan syarat-syaratnya.

17. Saya mengalu-alukan kenyataan Sahibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan oleh media pada 29 hb April 2017 berpendapat bahawa *pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak sewajarnya dikenakan kepada rakyat negara ini berikutan kaedah tersebut hanya membebankan.*

18. Beliau berkata, kaedah pencukaian sebenarnya tidak wujud dalam hukum syarak dan kerajaan tidak sewajarnya mengenakan GST kepada rakyat yang terbeban dengan pelaksanaan itu bagi memberi keuntungan kepada negara.

19. Dewan Ulamak PAS Pusat seawal 2013 telah membuat Usul dalam Muktamar menegaskan bahawa GST adalah percukaian yang bercanggah dengan Syariat Islam.

20. Saya mencadangkan untuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengadakan Muzakarah Ilmu secara ukhuwwan dan mahabbah dengan para ulamak dalam PAS bagi mencerna isu percukaian GST lebih mendalam untuk kebaikan masyarakat.

Sekian

Isnin 1 hb Mei 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1561817267161631&id=569086473101387

1 comment:

  1. SILA BACA!!!! SILA BACA!!!! SILA BACA!!!! SILA BACA!!!!

    Hey Guys !!! Am amat gembira saya mendapat lombong dari Luana. kad ATM kosong saya boleh mengeluarkan $ 2000 setiap hari. Saya dapat dari minggu lepas beliau dan sekarang saya mempunyai $ 14,000 secara percuma. Kosong ATM mengeluarkan wang dari mana-mana mesin ATM dan tidak ada nama di atasnya, ia tidak boleh dikesan dan kini saya mempunyai wang untuk perniagaan dan wang yang cukup untuk saya dan keluarga saya untuk hidup .Saya amat gembira i bertemu Annie kerana saya bertemu dua orang sebelum beliau dan mereka mengambil wang saya tidak mengetahui bahawa mereka adalah penipuan. Tetapi gembira sekarang. Annie menghantar kad melalui DHL dan saya mendapat dalam dua hari. Dapatkan kad anda sendiri dari dia kini dia tidak seperti scammer lain berpura-pura mempunyai kad ATM, Beliau memberi ia keluar secara percuma untuk membantu orang walaupun ia adalah menyalahi undang-undang tetapi ia membantu banyak dan tiada siapa yang mendapat terperangkap. im berterima kasih kepada Annie kerana dia berubah cerita saya dengan tiba-tiba. kad ini berfungsi di semua negara kecuali, Mali dan Nigeria. Alamat e-mel Annie adalah atmhacker2015@gmail.com

    ReplyDelete