*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus
7 September 2016 | 5 Zulhijjah 1437H
*WAJIBKAN PEKERJA ASING HADIR, LULUS KURSUS ASAS BAHASA MELAYU*
1. Berdasarkan statistik rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU), pada 2015, terdapat 2.135 juta pekerja asing di negara ini yang berkerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.
2. Selain pekerja-pekerja dari Indonesia (74.8%) yang boleh bertutur menggunakan Bahasa Melayu, pekerja-pekerja dari Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India yang diambil berkerja di negara ini tidak boleh bertutur menggunakan bahasa rasmi negara ini.
3. Sekalipun jumlah perkerja asing yang tidak boleh bertutur menggunakan Bahasa Melayu ini tidak lebih 25.2%, namun keperluan dan kepentingan untuk mereka mengetahui dan mempunyai kemampuan untuk menggunakan bahasa ini adalah sangat penting bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan dengan mereka sekaligus dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu.
4. Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan menerusi kementerian yang berkenaan mewajibkan pekerja-pekerja asing yang akan atau sedang berkerja di negara ini menghadiri serta lulus kursus asas Bahasa Melayu khususnya bagi yang terlibat di sektor perkhidmatan dan pembantu rumah.
5. Pengawal-pengawal keselamatan yang diambil berkerja dari Nepal dan dua lagi negara sumber yang akan diumumkan nanti juga merupakan golongan yang penting untuk dipastikan mereka boleh bertutur dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik kerana golongan ini merupakan individu pertama yang akan dijumpai oleh rakyat negara ini di pejabat-pejabat atau premis-premis untuk urusan-urusan tertentu. Jika golongan ini tidak boleh berbahasa Melayu, sedikit sebanyak ia menyusahkan rakyat negara ini dan menjejaskan imej pihak-pihak berkenaan.
Sekian.
_*"Inilah Penyelesaian Kita"*_
*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Perlimen Kuala Nerus
No comments:
Post a Comment