Monday, 16 July 2012

Abu Muslim al-Khaulani menegur Khalifah Mu`awiyah

Harta khazanah negara bukanlah milik pemimpin negara tetapi hak rakyat yang mesti diagihkan secara adil kepada yang berhak. Pemerintah yang gagal mengagihkan khazanah negara secara betul perlu ditegur oleh ulama walaupun secara berdepan dan di khalayak ramai. Pemimpin yang baik pula tidak akan bertindak terhadap ulama tetapi segera bertindak membetulkan kesilapannya. renungilah kisah teguran Abu Muslim al-Khaulani terhadap Khalifah Mu`awiyah seperti berikut:

Abu Muslim al-Khaulani merupakan salah seorang Tabi`in besar berasal dari Yaman. Nama sebenarnya menurut pendapat majoriti Ulama ialah Abdullah bin Thaub. Beliau memeluk Islam ketika Rasulullah saw masih hidup tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah saw. 

Menurut al-Zahabi dalam Siyar A`lam Nubala', pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq beliau menjadi antara penentang utama al-Aswad al-`Anasi yang mengaku menjadi Nabi di Yaman sehingga beliau dibakar oleh al-`Anasi tetapi selamat tanpa sebarang kecederaan dengan izin Allah. Lantaran itu beliau diusir keluar dari Yaman dan  berhijrah ke Madinah. 

Apabila tiba di Madinah beliau masuk ke Masjid Nabawi sebelum zohor dan mengerjakan solat.Apabila dilihat oleh Umar bin al-Khattab, beliau segera menyapa dan bertanyakan tentang kisah lelaki yang dibakar oleh al-`Anasi tetapi diselamatkan oleh Allah. Setelah diperkenalkan bahawa beliaulah orangnya, Umar segera memeluk beliau sambil menangis sebelum membawanya bertemu dengan Abu Bakar al-Siddiq.  Abu Bakar lalu berkata: "Alhamdulillah, segala puji syukur milik Allah yang tidak mematikan daku sehinggalah Allah perlihatkan kepadaku seorang yang telah diperlakukan oleh Allah sebagaiman diperlakukan kepada nabi Ibrahim alaihissalam". Beliau meninggal dunia di bumi Rom pada tahun 62 hijrah.

Antara kisah menarik beliau ialah teguran beliau terhadap sahabat Nabi saw, iaitu Khalifah Mu`awiyah bin Abi Sufyan radiyallahu `anhuma di khalayak ramai. 

Satu ketika, Khalifah Mu`awiyah (r.a) telah menyekat pemberian kepada orang ramai. Abu Muslim al-Khaulani lantas menegur Mu`awiyah (r.a) yang sedang berada berucap di atas mimbar di khalayak ramai: "Wahai Mu`awiyah! Harta tersebut bukanlah hasil usaha kamu, juga bukan hasil usaha bapak kamu, malah juga bukan hasil usaha ibu kamu!"
Mu`awiyah (r.a) lantas murka teramat sangat. Beliau lalu turun dari mimbar sambil berkata kepada orang ramai; "teruskan berada di tempat kamu sekarang".  Beliau menghilangkan diri sebentar kemudian keluar semula bertemu mereka lalu berkata: "Sesungguhnya Abu Muslim telah bercakap sesuatu yang menimbulkan kemarahanku. Saya pula telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Marah itu daripada syaitan. Syaitan pula dicipta daripada api. Api hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu sekiranya seseorang kamu merasa marah maka hendaklah dia mandi." Sesungguhnya saya telah masuk ke dalam sebentar tadi dan mandi. Benarlah kata-kata Abu Muslim. Ia bukanlah hasil usahaku. Bukan juga hasil usaha bapaku/ Oleh itu bersegeralah kamu mengambil agihan-agihan kamu."

Tuesday, 10 July 2012

Bagaimana Cara Menegur Pemerintah Dalam Islam

Menegur pemerintah yang melakukan kemungkaran adalah wajib berdasarkan hadis sahih yang banyak. Antaranya Nabi bersabda bermaksud; "akan ada pemerintah, kamu kenali ( kemungkaran mereka) dan kamu engkari mereka. Sesiapa yang mengenali (kemungkaran pemerintah lalu membenci dengan hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari (dengan lidah) dia selamat tetapi (yang tidak terlepas dan selamat ialah) yang redha dan menurut. Hadis Sahih Muslim.

Sekiranya kemungkaran pemerintah melibatkan peribadinya yang tidak merosakkan umat dan negara teguran perlu dibuat secara diam- diam untuk memelihara kehormatan. Ini sesuai dengan hadis bermaksud; sesiapa yang menutup aib seorang beriman Allah menutup aibnya di hari qiamat.

Apabila pemerintah melakukan kemungkaran terang-terangan dan pula melibatkan maslahat negara dan ummat, teguran boleh dibuat secara terang-terangan. Ini telah ditunjukkan oleh banyak ulama Islam sepanjang zaman seperti dibuat oleh Abu Muslim al-Khaulani terhadap satu kesilapan Muawiyah sebagai Khalifah Islam dan juga oleh al-Izz bin Abd Salam yang digelar sebagai Sultan Ulama terhadap pemerintah Dimasq di zamannya pada tahun 638.

Namun haram memberontak mengunakan senjata menentang pemerintah yang melakukan kemungkaran sebagaimana sabit dalam banyak hadis sahih. Ini kerana ia membawa kepada pertumpahan darah muslim. Yang wajib dilaksanakan ialah menegur dan membangkang dengan hati dan lidah serta kuasa yang ada.

Bagaimana cara menegur pemerintah dalam Islam

Menegur pemerintah yang melakukan kemungkaran adalah wajib berdasarkan hadis sahih yang banyak. Antaranya Nabi bersabda bermaksud; "akan ada pemerintah, kamu kenali ( kemungkaran mereka) dan kamu engkari mereka. Sesiapa yang mengenali (kemungkaran pemerintah lalu membenci dengan hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari (dengan lidah) dia selamat tetapi (yang tidak terlepas dan selamat ialah) yang redha dan menurut. Hadis Sahih Muslim.  

Sekiranya kemungkaran pemerintah melibatkan peribadinya yang tidak merosakkan umat dan negara teguran perlu dibuat secara diam- diam untuk memelihara kehormatan. Ini sesuai dengan hadis bermaksud; sesiapa yang menutup aib seorang beriman Allah menutup aibnya di hari qiamat. 

Apabila pemerintah melakukan kemungkaran terang-terangan dan pula melibatkan maslahat negara dan ummat, teguran boleh dibuat secara terang-terangan. 

Ini telah ditunjukkan oleh banyak ulama Islam sepanjang zaman seperti dibuat oleh Abu Muslim al-Khaulani terhadap satu kesilapan Muawiyah sebagai Khalifah Islam dan juga oleh al-Izz bin Abd Salam yang digelar sebagai Sultan Ulama terhadap pemerintah Dimasq di zamannya pada tahun 638. 