Saturday, 25 July 2015

Golongan Marhaen Teras Perjuangan Politik Islam

(2) RISALAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

GOLONGAN MARHAEN TERAS PERJUANGAN POLITIK ISLAM

Akhiran ini segelintir masyarakat begitu teruja dengan sokongan golongan profesional, bijak pandai, bangsawan dan berstatus tinggi dalam masyarakat terhadap Parti Islam Semalaysia PAS sehingga kelihatan seolah memperkecilkan pula peranan golongan marhaen yang istiqamah membantu perjuangan.

Berlegar ungkapan "dulunya Parti Islam hanya didokong oleh pak lebai kampung", "dulunya hanya parti orang kampung" dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa sejarah para Anbiya' menunjukkan teras perjuangan Islam didokong oleh golongan yang dianggap lemah fikiran dan rendah status kehidupannya sehingga perjuangan tersebut dihina oleh musuh-musuh para Nabi.

  قَالُوا أَنُؤْمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الْأَرْذَلُونَ .

Maksudnya: "Berkata kaum Nuh; Adakah wajar kami beriman dengan kamu sedangkan yang mengikut kamu adalah golongan yang rendah statusnya?" (Surah Syu'ara': 111)

Nabi Nuh dihina oleh kaumnya kerana pendokongnya ialah golongan marhaen. Allah berfirman:

فَقَالَ الْمَلاُ الّذِينَ كَفَرُواْ مِن قِوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلاّ بَشَراً مّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتّبَعَكَ إِلاّ الّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرّأْيِ وَمَا نَرَىَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنّكُمْ كَاذِبِينَ

Maksudnya: "Lalu berkata pemuka kaum dan bangsawan golongan yang kufur di kalangan kaum Nuh; kami tidak melihat kamu melainkan hanya manusia seperti kami juga. Kami tidak melihat kamu diikuti melainkan oleh golongan hina kami yang cetek pemikiran. Dan kami tidak melihat bagi kamu sebarang kelebihan berbanding kami malah kami merasakan kamu adalah pembohong" (Surah Hud: 27)

Dalam surah Yasin ayat 20-21 menceritakan apabila pendakwah utusan Rasul dihantar untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat bandar datang seorang lelaki dari ceruk pinggiran bandar mengajak masyarakat memberikan dokongan kepada utusan-utusan Rasul itu. Allah menceritakan;

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ

Maksudnya: "dan datanglah dari ceruk pinggiran bandar seorang lelaki berlari-lari sambil berkata "wahai kaumku ikutlah utusan-utusan ini. Ikutlah orang yang tidak meminta daripada kamu sebarang upah sedang mereka diberi petunjuk".

Menurut Ibnu Asyur dalam Tafsir Tahrir wa Tanwir, Hikmah disebut seorang lelaki dari pinggiran bandar sebagai satu isyarat bahawa keimanan kepada Allah zahir dan menyerlah di pinggiran bandar sebelum ia berkembang di tengah bandar. Hal ini kerana pusat bandar adalah kediaman para pemerintah dan cendekiawan Yahudi. Mereka sangat jauh untuk menginsafi dan meneliti kebenaran seruan para Nabi dan Rasul. Kebanyakan penduduk bandar menjadi pengikut kepada para pembesar kerana mereka bergantung dengan para pembesar dan bimbangkan tekanan para pembesar. Ini berbeza dengan penduduk pinggiran bandar yang lebih merdeka dan berdikari kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri.

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam Qasas al-Anbiya ;
"Realitinya selalunya kebenaran itu tidak diikuti melainkan oleh golongan marhaen yang lemah. Selalunya golongan yang mempunyai kedudukan dan golongan bangsawan mencanggahi kebenaran sebagaimana firman Allah dalam surah Saba ayat 34;

وَمَا أَرْسَلْنَا فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ
"Dan tidaklah Kami utuskan di satu kampung mana-mana Nabi pemberi amaran melainkan berkata golongan kelas atasan kampung itu; sesungguhnya kami dengan apa yang kamu diutuskan kami engkari"

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّقْتَدُونَ
Maksudnya: dan demikianlah Kami tidak utuskan sebelum kamu pada satu kampung mana-mana pemberi amaran melainkan golongan atasan yang mewah berkata; kami mendapati nenek moyang kami berada di atas satu cara hidup dan kami pasti mengikuti jejak langkah mereka. (Surah Zukhruf: 23).

Apabila Hercules Raja Rom bertanya kepada Abu Sufyan tentang sifat Nabi saw, antaranya;

أَشْرَافُ النَّاسِ اتَّبَعُوهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ

"adakah beliau diikuti oleh golongan atasan atau golongan marhaen? Abu Sufyan menjawab; diikuti oleh golongan marhaen.

Hercules lalu menjawab:
هُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُل
mereka adalah pengikut rasul-rasul". Hadis Sahih Bukhari

(Rujuk Qasas al-Anbiya ms 80 )

Imam Bukhari dalam kitab Hadis Sahihnya meletakkan satu Bab bertajuk "Bab Sesiapa Yang Meminta Bantuan Marhaen dan Orang Soleh dalam Peperangan". Antaranya beliau meriwayatkan Hadis

«هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ».
"Tidakkah kamu diberi kemenangan dan diberi rezki melainkan dengan kehadiran golongan marhaen kamu?"

Kata Imam Bukhari; "maksudnya dengan keberkatan mereka dan doa mereka kerana sucinya isi hati mereka dan kurang kebergantungan mereka terhadap perhiasan dunia. Justeru mereka selalunya ikhlas tulus dalam beribadah dan doa mereka diterima" 

وعَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ ظَنَّ أَنَّ لَهُ فَضْلًا عَلَى مَنْ دُونَهُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا، بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ».

Daripada Mus'ab bin Sa'ad daripada bapanya bahawa dia menyangka beliau mempunyai kelebihan berbanding orang lain di kalangan sahabat-sahabat Nabi saw. Lalu Nabi saw bersabda: "Hanyasanya Allah memberi kemenangan kepada umat ini dengan sebab golongan lemah mereka menerusi doa mereka, solat mereka dan keikhlasan mereka"
Hadis Sahih Bukhari

Usahlah terpedaya dengan kayu ukur manusia dalam menilai perjuangan dan kemenangan. Sesungguhnya perjuangan Islam mempunyai kayu ukurnya tersendiri yang tidak akan diimani dan dijiwai melainkan oleh golongan yang bersama dalam saf perjuangan tersebut. Bersabarlah!!!

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 9 Syawal 1436 H / 25 Julai 2015 M

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Rasionalkah Harga Petrol Ogos Ini?

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

“RASIONAL”KAH HARGA PETROL BULAN OGOS INI?

1. Penetapan harga petrol pada setiap bulan memang akan sentiasa mendapat perhatian rakyat. Perubahan walapun sekadar dalam kiraan sen, ia tetap memberikan kesan yang sangat signifikan kepada para pengguna.

2. Ini kerana terdapat 780,000 buah kenderaan berdiesel dan 18 juta buah kenderaan berpetrol di atas jalan raya di Malaysia. Sejumlah 23% daripada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia pula adalah dibelanjakan untuk pengangkutan.

3. Pada harga runcit petrol sekarang, sekurang-kurangnya golongan berpendapatan rendah membelanjakan RM322.50 dan golongan berpendapatan sederhana membelanjakan RM645.00 sebulan untuk menanggung kos bahan api kenderaan mereka sahaja belum termasuk kos tol dan penyelenggaraan.

4. Berikut adalah sedikit sorotan isu penentuan harga runcit minyak di negara kita :

(i) 29 September 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa sistem baru rasionalisasi subsidi minyak akan dilaksanakan bermula Januari 2015 bagi diesel dan April 2015 bagi petrol. Sehingga September 2014, RON95 dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter selepas kedua-duanya mengalami kenaikan sebanyak 20 sen bermula September 2013.

(ii) 1 Oktober 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel berkuatkuasa serta merta bermula 2 Oktober 2014 menjadikan harga runcit bagi kedua-kedua bahan api itu meningkat kepada RM2.30 dan RM2.20 masing-masing untuk bulan Oktober dan November.

(iii) 21 November 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi untuk RON95 dan diesel akan dihapuskan bermula 1 Disember 2014 dan harga kedua-dua bahan api ini akan ditentukan secara sistem harga apungan terkawal (managed float system) sama seperti yang digunakan untuk menentukan harga runcit RON97 yang telah dihapuskan subsidinya bermula 16 Julai 2010. Sehingga Februari 2015, rakyat berpeluang menikmati harga runcit minyak yang rendah iaitu RM1.70 bagi RON95 dan diesel.

5. Namun, rakyat hanya dapat mengecapinya hanya buat sementara waktu sahaja. Itupun berikutan kesan kejatuhan harga minyak mentah global. Keupayaan harga minyak mentah global untuk kembali mengukuh adalah positif dalam perkiraan Kerajaan walapun sehingga buat masa ini ia masih belum stabil. Kesempatan inilah subsidi dihapus dan harga runcit minyak pula diapung berdasarkan harga minyak mentah global. Maknanya beban kewangan ini Kerajaan serahkan langsung kepada rakyat untuk ditanggung.

6. Bermula 1 Mac 2015, RON97, R0N95 dan diesel mula mengalami kenaikan. Jika pada Mac 2015 harga runcit masing-masing ialah RM2.25, RM1.95 dan RM1.95, namun pada Julai 2015 harganya ialah RM2.55, RM2.15 dan RM2.05 iaitu kenaikan sebanyak 55 sen, 45 sen dan 35 sen seliter masing-masing.

7. Ditambah dengan kenaikan ini lagi ialah pelaksanaan cukai GST bermula April 2015, kenaikan pelbagai kos sara hidup dan nilai matawang Ringgit yang semakin melemah iaitu kini berada pada paras RM3.81 dan dijangka mencecah RM4.01 bagi setiap USD1 menjelang September ini.

8. Kesannya, rakyat tidak mempunyai lebihan wang untuk menyimpan, pendapatan boleh guna juga semakin berkurang dan kuasa membeli semakin mengecut justeru inflasi semakin meningkat. Tekanan dan bebanan ini amat dirasai oleh rakyat Malaysia.

9. Skandal berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama negara dan syarikat-syarikat milik Kerajaan sehingga mencetuskan spekulasi pasaran mengeruhkan lagi persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa negara kita.

10. Dalam keadaan ‘worst case scenario’ sekalipun dengan ramalan Ringgit bernilai RM3.9983 bagi setiap USD1 dan harga minyak mentah dunia pula USD56 setong, sekurang-kurangnya RON95 boleh dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter bagi bulan Ogos ini dan saya percaya sebenarnya ia boleh berharga lebih rendah daripada itu.

11. Persoalannya ialah kenapa bebanan kos bahan api ini dibebankan sepenuhnya kepada rakyat sedangkan rakyat telah menikmati subsidi sejak puluhan tahun? Adakah kerana "rasionalisasi" sebagaimana bahasa manis yang digunakan oleh Kerajaan atau kerana pendapatan negara terbesar yang bersumber daripada hasil minyak ini telah digunakan pada tempat dan cara yang tidak patut? Rakyat berhak menilainya dengan penuh prasangka. Sama-sama kita nantikan “rasional”kah harga petrol bulan ogos ini?

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 24 Jul 2015 | 8 Syawal 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Thursday, 23 July 2015

Islam Sebagai Pedoman Bernegara

RISALAH PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Islam Sebagai Pedoman Bernegara

  لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
"Sememangnya bagi negeri Saba' di kediaman mereka terdapat mercu tanda iaitu dua taman di sebelah kanan dan kiri. Makanlah kamu sebahagian rezki yang diberikan Rabb kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Sebuah negara yang baik beserta Rabb yang Maha pengampun." (Surah Saba ayat 15)

Tugasan para Nabi sepanjang zaman termasuklah Nabi kita Muhammad saw ialah mengajak manusia menjadi hamba kepada Allah menerusi Islam kerana itulah kunci kebahagian.

Tugasan dakwah disambung oleh para Sahabat Nabi saw dan para Ulamak yang datang selepas mereka dengan menyebarkan Islam kepada seluruh umat manusia sehingga Islam menjadi paksi pemerintahan dan pentadbiran yang memberikan keadilan dan keharmonian hidup.

Nabi saw telah menjadi teladan yang unggul dalam menguruskan negara Madinah yang harmoni dan adil berasaskan Islam. Ia disambung oleh para Khulafa' selepas baginda saw sehingga Islam mendasari pemerintahan kawasan yang sangat luas di seluruh dunia. Legasi pemerintahan Islam bertapak kukuh ratusan tahun sehinggalah berakhirnya Khilafah Uthmaniyah pada 1924 di Timur Tengah dan penyusutan kuasa Kesultanan Islam di alam Melayu dengan yang terakhirnya Terengganu pada 1919.

Antara tugasan besar umat hari ini ialah mengajak manusia untuk memerintah negara dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis dalam semua aspek keperluan hidup.

Ekonomi perlu diuruskan dengan cara Islam yang menolak sistem riba yang berleluasa dan menguasai pengurusan ekonomi dan perniagaan hari ini. Sistem ekonomi kapitalis yang memberi peluang si kaya menindas si miskin dan melebarkan jurang antara kaya dan miskin perlu ditukar dengan sistem ekonomi Islam.

Sistem sosial bermasyarakat perlu berlandaskan Islam yang memupuk perpaduan antara kaum, kejiranan yang baik, bahu-membahu, keprihatinan pada masyarakat, tidak bersifat keakuan, ketinggian akhlak dan budi, menolak kezaliman dan memberikan hak kepada yang berhak.

Sistem kehakiman dan Undang-undang jenayah yang digubal oleh para penjajah dan terbukti gagal menjadikan penjenayah kembali kepada Allah dan gagal mengurangkan kadar jenayah perlu ditukar dengan undang-undang jenayah Islam merangkumi Hudud, Qisas dan Ta'zir.

Pembangunan kebendaan dengan perspektif dunia yang sempit dan mengecilkan kepentingan pembangunan keperibadian insan dan sumber manusia perlu diperluaskan kepada pembangunan jiwa, akhlak dan sakhsiyah yang melihat keluasan Akhirat, syurga dan pahala.

Segala urus tadbir kementerian mestilah berasaskan prinsip Islam sama ada kementerian pendidikan, sumber manusia, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pelancongan dan kebudayaan,  pertanian, perdagangan, hal ehwal dalam negeri, hal ehwal luar negeri, pertahanan, pembangunan wanita, belia dan sukan, hal ehwal pengguna, sumber asli dan alam sekitar, tenaga, komunikasi, kemajuan luar bandar dan lain-lain.

Pelbagai kemelut yang dirasai oleh rakyat Malaysia hari ini sama ada melibatkan ketidakstabilan politik, ketirisan pengurusan kewangan negara, kepincangan pengurusan ekonomi yang tergambar menerusi inflasi, kejatuhan nilai mata wang, cukai yang zalim dan kerosakan sistem sosial, hubungan kemanusiaan, kekeluargaan dan kejiranan semuanya berpunca daripada meninggalkan Islam.

Maka tiba saatnya seruan unuk kembali kepada sistem pemerintahan Islam dilaungkan dan dinobatkan. Seruan perkauman yang sempit, rebutan kuasa dan kebobrokan parti-parti politik tidak berlandaskan Islam dan gaya berpolitik kepartian yang merosakkan negara sewajarnya menjadi pemangkin untuk dakwah Islam terus diperkasakan.

"Istiqamah Hingga Menang"

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 7 Syawal 1436 H / 23 Julai 2015 M

Wednesday, 15 July 2015

RESPONSE KEPADA TULISAN YB AHLI PARLIMEN SEPANG BERKAITAN GHB

RESPONSE KEPADA TULISAN YB AHLI PARLIMEN SEPANG BERKAITAN GHB.

PAS Sepang memandang serius terhadap perkembangan muttakkhir yang berlaku di dalam PAS. Kami amat mendokong kebebasan dalam menyatakan pendapat dan komentar. Tetapi komentar dan tulisan berbentuk memburuk dan menegakkan pendapat sendiri yang mesti diikuti adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan. Lebih-lebih lagi seorang yang masih mengaku ahli PAS, yang pernah sebaris dengan pimpinan utama sebelum Muktamar Kali Ke 61.

Tindakan setelah tidak terpilih sebagai pimpinan untuk sesi baru, kami PAS Sepang juga terasa terperanjat terhadap keputusan pemilihan tersebut. Dalam waktu yang sama perasaan kagum berada dalam diri kami kerana para perwakilan seluruh negara sebenarnya lebih bijak dalam menentukan pimpinan yang mereka mahu. Bagi PAS Sepang terpilih atau tersingkir dalam pemilihan PAS bukan soalnya, kerana kami sebagai orang kerdil di bawah akan sedaya mungkin melaksanakan amanah dalam ruang lingkup dan kawalan kami.

Sesungguhnya keputusan pemilihan muktamar sudah ditentukan. Apapun alasan untuk menafikan keputusan itu adalah sikap ego diri yang sentiasa memandang rendah kebolehan oran lain. Soal perancangan, memang bagi mereka yang ingin berkhidmat dan melakukan pembaikan dalam jamaah perancangan adalah kewajipan untuk mencapai cita-cita. Sama juga mereka yang merancang untuk menguasai kepimpinan tertinggi dan bercita-cita menidakkan kepimpinan ulamak, pastinya teknik perancangannya lebih licik sehingga meratibkan gelaran UG, jumud, mundur dsbnya.

Ketika ini adalah lebih wajar untuk semua pihak dalam kepimpinan dan mantan pemimpin bermuhasabah diri masing-masing. Ahli PAS yang hebat, sebenarnya mereka yang melaksanakan kerja-kerja di grass root walaupun mereka bergelar pimpinan. Mana mungkin nama hebat pemimpin PAS hanya hebat di pentas dan kelompok kepimpinan tanpa punyai cawangan ataupun kawasan? Jangan menidakkan sokongan dan pengorbanan ahli-ahli PAS Sepang ketika PRU13 lalu.

Ada yang mengatakankan bahawa GHB diwujudkan untuk menentang UMNO/BN, tetapi sedarkah mereka mewujudkan atau menyokong GHB juga telah merosakkan ukhuwah dan kesatuan gerakkan dalam PAS?. Jika nak lawan UMNO/BN, PAS konsisten menentang kezaliman UMNO/BN malah apapun nama parti. Apakah kewajaran wujudnya GHB kalau tidak kerana jawatan dan kedudukan yang sekaligus usaha memecahkan PAS dan beri nafas kepada UMNO/BN?

Sedarkah YB Ahli Parlimen Sepang bahawa keberadaan YB di Sepang adalah atas tolak ansur PAS Sepang pada PRU13 lepas  dalam soal meletakkan calon. PAS Sepang sentiasa akur kehendak dan arahan kepimpinan PAS Pusat walaupun pada ketika itu ramai pemimpin PAS Sepang rasa sedikit kecewa. Kami terima keputusan dan bergerak maju melaksanakan amanah untuk mencipta sejarah kemenangan PAS Sepang. Soal kedudukan kami ketepikan demi untuk maruah PAS dan kepimpinan parti ketika itu. Alhamdulillah, PAS berjaya letakkan title YB bagi kerusi Ahli Parlimen Sepang.

PAS Sepang ingin bertanya kepada YB Ahli Parlimen Sepang, berapa kali hadir bersama dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dan  Pas Kawasan Sepang?. Berapa banyak duit yang dikorbankan ketika kempen PRU13 lalu? Siapa yang mengurus dan merancang jentera kawasan PRU13 dan urusan kelengkapan pejabat? Kalau tidak semua oleh ahli-ahli PAS Sepang.

Oleh itu PAS Sepang, mohon agar YB Ahli Parlimen Sepang kembali kepada usaha perkukuhkan jamaah. Jangan disebabkan ego diri, mulut kata sayangkan PAS, sanggup mewujudkan atau menyokong penubuhan gerakan baru yang mengakibatkan PAS berpecah. Alangkah baiknya, walaupun tidak lagi duduk sebagai pemimpin PAS, tawarkan diri untuk berkhidmat sebagai agen memperkukuhkan jamaah. Kami lebih yakin YB akan lebih dihormati.

Tetapi sekiranya YB Ahli Parlimen Sepang masih lagi menongkah arus kepimpinan semasa PAS  dan tidak selesa berada sebagai ahli PAS adalah lebih wajar untuk undur diri segera dari berada dalam jamaah ini dan dengan hormatnya dipohon meletakkan jawatan sebagai YB Ahli Parlimen Sepang.

Walau apapun, PAS Sepang akan tetap berdiri teguh bersama PAS dan kepimpinan parti yang telah dimuktamadkan dalam Muktamar Kali Ke 61 untuk sesi 2015-2017. Semoga Allah membantu seluruh barisan kepimpinan PAS mengemudi bahtera perjuangan ini dengan penuh keredhaanNya, Insya Allah.

Istiqamah Hingga Kemenangan.

YB. IR. MOHD HASLIN HASSAN
YDP PAS Kawasan Sepang
28 Ramadhan 1436H/15 Julai 2015M

ISTIQAMAH DENGAN PAS; USAH TERPEDAYA HASUTAN SYAITAN

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

ISTIQAMAH DENGAN PAS; USAH TERPEDAYA HASUTAN SYAITAN

1. Dewan Ulamak PAS Pusat meneliti dengan penuh keprihatinan tindakan sebahagian ahli dan bekas kepimpinan Parti Islam Semalaysia PAS yang sedang mengusahakan wadah politik baru dan secara terbuka berkempen mengajak ahli-ahli PAS keluar daripada parti untuk bersama dengan wadah baru bagi memecah-belahkan kesatuan PAS.

Sementelah pula premis parti juga digunakan untuk melancarkan kempen keluar daripada parti oleh mereka yang masih memegang jawatan-jawatan dalam parti.

2. Sunnah kejadian seumpamanya telah berlaku dalam sejarah kehidupan Baginda saw yang dirakamkan oleh al-Quran iaitu pembinaan "Masjid Dhirar dan Tafriq" yang bermaksud masjid yang menimbulkan mudharat dan kerosakan serta perpecahan.

3. Masjid adalah tempat sujud kepada Allah. Pembinaannya tentulah secara zahirnya memberi kebaikan kepada Islam. Namun, niat disebalik pembinaan masjid tersebut adalah untuk menimbulkan kemudharatan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Maka dengan perintah Allah masjid tersebut diarahkan untuk dirobohkan oleh baginda dan umat Islam dilarang oleh Allah untuk solat di dalamnya.

4. Pembinaan "Masjid Dhirar dan Tafriq" diusahakan oleh golongan munafikin yang menjadi musuh dalam selimut Nabi saw. Ia pula ditaja dan dibiayai di belakangnya oleh musuh Islam dan Nabi iaitu Rom yang beragama Kristian. Tujuannya agar ia menjadi tapak untuk mereka melancarkan serangan serta melemahkan kekuatan Nabi saw dan Islam di Madinah.

5. Al-Quran merakamkan cerita ini dan memberi beberapa panduan bertindak kepada Nabi saw dalam surah Taubah ayat 107-108;

( وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ( 107 ) لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ ( 108 ) )

Maksudnya; "Dan mereka yang menjadikan masjid bertujuan memudaratkan (dhirar), keengkaran (kufur), perpecahan di kalangan orang-orang beriman dan sebagai mata-mata tinjauan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan mereka pasti bersumpah "tidak ada yang kami hasratkan melainkan kebaikan" sedangkan Allah memberi kesaksian bahawasanya mereka adalah sebenar-benar pembohong. Janganlah kamu berdiri (solat) di dalamnya selama-lamanya. Pastinya masjid yang dibina atas asas taqwa daripada hari pertamanya lagi lebih layak untuk kamu berdiri (solat) di dalamnya (kerana) di dalam masjid itu terdapat lelaki-lelaki yang sentiasa mahu menyucikan diri sedang Allah sangat cintakan golongan yang sentiasa menyucikan diri".

Antara pedoman yang perlu diambil daripada ayat di atas ialah;

1. Meskipun pembinaan masjid selalunya bertujuan untuk menjadi tempat perhambaan diri kepada Allah namun ada yang dibina dengan tujuan yang salah dan jahat iaitu;

i) bertujuan memudharatkan Islam, umat Islam dan kepimpinan Nabi saw serta negara Islam.

ii) bertujuan kufur kepada Allah dan engkar terhadap Nabi saw.

iii) bertujuan memecah-belahkan kesatuan orang-orang yang benar-benar beriman dan mengikut perintah Allah bersama Nabi saw.

iv) bertujuan menjadi tapak kepada musuh yang memerangi Allah dan Rasul-Nya untuk mereka meninjau dan memerhatikan pergerakan Islam dan kekuatannya.

2. Golongan yang bertindak mengusahakan "Masjid Dhirar" ini sentiasa bersumpah untuk meyakinkan orang lain bahawa mereka berniat baik. Tak ada tujuan lain melainkan kebaikan. Sumpah selalunya menjadi benteng bagi orang-orang yang diragui kebenaran mereka.

3. Namun, Allah menegaskan bahawa mereka sebenarnya adalah sebenar-benar pembohong dan pendusta. Maka segala kenyataan dan pengakuan mereka yang disertakan dengan sumpah tidak boleh dipercayai.

4. Mereka yang mengusahakan Masjid Dhirar berkempen agar orang Islam solat di dalam masjid mereka. Maka Allah Taala melarang keras Nabi saw mengerjakan  solat di dalamnya.
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ
"Janganlah kamu berdiri (solat) di dalamnya selama-lamanya."

5. Alasan yang ditegaskan oleh Allah ialah masjid mestilah dibina daripada awal lagi atas dasar ketaqwaan. Masjid yang sebegini lebih layak dan berhak dimakmurkan.

Allah berfirman;

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا

"Pastinya masjid yang dibina atas asas taqwa daripada hari pertamanya lagi lebih layak untuk kamu berdiri (solat) di dalamnya (kerana) di dalam masjid itu terdapat lelaki-lelaki yang sentiasa mahu menyucikan diri "

6. Masjid yang dibina seawalnya atas asas takwa mempunyai tonggak dan tunjang yang kuat serta pendokong tegar iaitu golongan yang sentiasa cintakan Allah yang tergambar menerusi amalan seharian mereka. Golongan ini disayangi dan dicintai oleh Allah. Golongan ini tentulah mempunyai aqidah dan syariat pegangan Islam yang jelas berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

NASIHAT

1. PAS sebagai sebuah gerakan Islam sedari awal penubuhannya pada 1951 adalah bertujuan menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran serta memperjuangkan politik dan kuasa Islam. Ia tidak pernah berganjak daripada matlamat tersebut. Ia lebih layak dan berhak untuk dimakmurkan berbanding wadah baru yang dibina atas dasar kekecewaan semata-mata. Sementelah jika ia didalangi pula oleh mereka yang menentang keras usaha-usaha menegakkan undang-undang Allah.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru ahli-ahli PAS untuk terus ISTIQAMAH SEHINGGA MENANG dengan bahtera PAS yang terbukti tegas dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam dalam menentang kemungkaran politik pemerintah dan menegakkan pemerintahan Islam yang adil lagi berkebajikan.

3. Ahli-ahli PAS tidak perlu terpedaya dengan bisikan syaitan-syaitan yang mengajak keluar dari perjuangan politik Islam menerusi Parti Islam Semalaysia PAS yang berpandukan al-Quran dan al-Sunah, Ijma' dan Qiyas dengan pelbagai janji hiasan kejayaan yang palsu sama ada oleh syaitan di kalangan jin mahupun manusia kerana menjadi sunnah para Nabi dimusuhi oleh syaitan-syaitan jin dan manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-An'aam ayat 112;

( وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ ( 112 )

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi musuh iaitu Syaitan-syaitan jin dan manusia yang mengilhamkan antara satu sama lain kata-kata indah dengan tujuan memperdayakan. Dan jika Rabb kamu mahu mereka tidak melakukannya maka biarkanlah mereka beserta rekaan cerita dan pembohongan mereka."

Sekian.

"ISTIQAMAH SEHINGGA MENANG"

Disediakan oleh;
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Rabu 28 Ramadhan 1436 H / 15 Julai 2015

Rujuk; www.drtakiri.blogspot.com

Saturday, 4 July 2015

Di Balai Polis K Trg

Harini ke Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu mengiringi YB Dr Alias Razak membuat laporan polis agar siasatan dibuat atas dakwaan kononnya sejumlah amaun yang besar dikaitakan dengan 1MDB telah dikreditkan terus ke akaun peribadi PM

PENCEMARAN BAUKSIT : HENTI SEGERA PERLOMBONGAN, KENAKAN TINDAKAN KE ATAS PENGUSAHA

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

PENCEMARAN BAUKSIT : HENTI SEGERA PERLOMBONGAN, KENAKAN TINDAKAN KE ATAS PENGUSAHA

1.DUPP memandang serius dengan masalah pencemaran bauksit yang berlaku di sekitar jalan menghala ke Pelabuhan Kuantan dan kawasan perindustrian Gebeng sehingga mengakibatkan para penduduk mengalami masalah kegatalan kulit, batuk dan demam serta berdepan dengan masalah kualiti udara yang terjejas teruk di kawasan tersebut.

2.Pencemaran ini dikatakan berpunca daripada aktiviti perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh. Lebih teruk lagi, lori-lori yang sering keluar masuk dalam keadaan yang sangat kotor, berhabuk dan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, juga telah menyebabkan jalan menjadi rosak. Kekotoran yang berlaku juga boleh dilihat dengan jelas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) iaitu dari Plaza Tol Kuantan ke Plaza Tol Jabor gara-gara lori yang beroperasi tanpa kawalan.

3.DUPP juga ingin melahirkan kebimbangan terhadap nasib para peneroka Felda Bukit Goh yang memberi keizinan kepada syarikat tertentu untuk melombong di tanah milik mereka setelah ditawarkan pulangan sejumlah RM1.8 juta seorang daripada 10 ekar tanah milik mereka yang dilombong.

4.Walaupun khabar angin yang tersebar pada Ramadan tahun lalu tentang penemuan bauksit di kawasan tersebut tidak diendahkan oleh penduduk pada mulanya, namun setelah ada syarikat melombong mula mengadakan pertemuan dengan mereka dan menerangkan cadangan untuk melombong di kawasan itu serta perkiraan perkongsian keuntungan antara mereka dan syarikat tersebut, mereka mula membuat keputusan terhadap perjanjian yang ditawarkan itu. Persoalannya adalah adakah mereka juga telah diterangkan risiko serta implikasi daripada aktiviti perlombongan itu; termasuklah terhadap diri dan alam sekitar.

5.DUPP juga ingin mempersoalkan adakah aktiviti perlombongan bauksit di kawasan tersebut telah mendapat kebenaran Kerajaan Negeri Pahang dan adakah ia telah mengikuti dan mematuhi prosedur yang sepatutnya seperti pemilik tanah perlu memohon lesen terlebih dahulu, mendapatkan tanda tangan setiap penama pemilik tanah dan mendapatkan laporan daripada konsultan cari gali mineral sebelum tanah itu diberikan hak untuk dilombong.

6.Sekalipun sekiranya semua prosedur ini telah dipatuhi, DUPP juga ingin melahirkan kekesalan terhadap Kerajaan Negeri Pahang kerana gagal menguruskan dan mengambil tindakan terhadap pencemaran yang berlaku akibat aktiviti perlombongan bauksit ini. Sedangkan sebelum ini, YAB Menteri Besar Pahang, DS Adnan Yaakob telah menyatakan komitmen untuk menghentikan semua kerja-kerja perlombongan tersebut jika masalah pencemaran tidak juga diselesaikan.

7.Pada awal Februari tahun ini juga, DS Adnan Yaakob telah mengumumkan ketetapan bahawa pengusaha bauksit di negeri ini hanya dibenar menggunakan Jalan Gebeng-Bypass sahaja bagi mengangkut bauksit dan bijih besi ke pelabuhan serta telah mengumumkan bahawa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan membersihkan kawasan berkenaan dengan kos pembersihannya ditanggung oleh pengusaha kira-kira RM130,000. Malangnya, sehingga hari ini tiada apa-apa perubahan yang dilihat berlaku.

8.Oleh itu, DUPP mendesak supaya Kerajaan Negeri Pahang bertindak tegas dengan membatalkan atau menggantung semua kebenaran kerja-kerja perlombongan itu, megambil tindakan undang-undang ke atas semua pengusaha yang terlibat dan menyegerakan usaha-usaha membersihkan semula jalan-jalan dan kawasan-kawasan yang telah tercemar. Majlis Tanah Negara yang diurusetiakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga mesti memberikan perhatian serius terhadap isu ini.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 3 Julai 2015 / 16 Ramadan 1436H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Kelulusan lombong bauksit jadi tanda tanya | Free Malaysia Today - http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/07/03/kelulusan-lombong-bauksit-jadi-tanda-tanya/

Henti segera perlombongan bauksit, ambil tindakan - http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36251-henti-segera-perlombongan-bauksit-ambil-tindakan

bauxite kuantan - Google Search - https://www.google.com/search?q=bauxite+kuantan&client=ms-android-sonymobile&espv=1&tbm=isch&tbo=u&sboxchip=Images&source=univ&fir=pw8yTFOP_2M4rM%253A%252CTpHe3d8z2v2UgM%252C_%253BxzQBjgQkR0uE1M%253A%252CfKGa6WewE86TNM%252C_%253B_45zSeQR_veXIM%253A%252CVv2Apfn-dTRbkM%252C_&usg=__Z6qgC5NE7N8sM82L0O6kPUbqM-c%3D&sa=X&ei=786SVbLdOeWrmAW20rvgBQ&ved=0CEMQ7Ak

Thursday, 2 July 2015

MINYAK NAIK : JANGAN SAMPAI RAKYAT ‘NAIK MINYAK’

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

MINYAK NAIK : JANGAN SAMPAI RAKYAT ‘NAIK MINYAK’

1. DUPP memberi amaran kepada Kerajaan Malaysia supaya segera menyediakan mekanisme bagi mengekang kenaikkan harga runcit (retail price) petrol dan memastikan ia berada pada harga “mampu milik” untuk ditanggung oleh pengguna-pengguna dalam kalangan rakyat.

2. Penyerahan sepenuhnya penentuan harga runcit petrol berdasarkan kepada harga minyak mentah dunia melalui ‘managed float mechanism’ ditambah pula dengan polisi baru yang diumumkan oleh Menteri KPDNKK, DS Hasan Malek semalam iaitu pemberitahuan perubahan harga minyak hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak pada setiap hujung bulan tanpa ada lagi pengumumam rasmi kepada awam, menjadikan rakyat sebagai mangsa pemerasan.

3. Lebih mengecewakan, kenaikkan harga minyak ini ditetapkan serta diumumkan dalam keadaan tidak lama lagi akan tiba musim perayaan. Sedangkan sebahagian besar rakyat sekarang ini telah pun merasai bebanan kenaikkan pelbagai harga barangan khususnya bahan makanan. Ini pun berlaku kerana langkah pencegahan dan kawalan oleh pihak KPDNKK sendiri yang kurang berkesan. Kenaikkan sebanyak 10 sen bagi RON95 dan 20 sen bagi RON97 ini pasti akan menambahkan lagi parah kepada rakyat akibat kesan berantai daripada kenaikkan harga petrol di pasaran.

4. Sebagai satu jaminan terhadap ketelusan dan kewibawaan Kerajaan mendahulukan rakyat, DUPP mendesak supaya Kerajaan :

(i) Mendedahkan kepada awam harga purata rujukan minyak mentah dunia yang digunapakai dan kos produk yang dibuat berdasarkan ‘Means of Platt Singapore’ yang digunapakai dalam ‘automatic pricing mechanisme’ bagi menentukan harga runcit petrol dalam negara. Adalah suatu yang amat mencurigakan apabila harga minyak mentah dunia bagi bulan Jun mengalami trend menurun, tiba-tiba Kerajaan menaikkan harga runcit petrol.

(ii) Menetapkan harga siling bagi harga runcit petrol dan Kerajaan mesti menampung lebihan kos daripada harga siling tersebut dengan subsidi. Ini kerana penentuan harga petrol berdasarkan sistem apungan terkawal sentiasa mendedahkan rakyat kepada kenaikkan harga petrol secara berterusan. Keadaan ini jika dibiarkan akan melemahkan ekonomi rakyat sekaligus memberi kesan kepada ‘velocity of money’ dalam negara.

(iii) Menarik semula polisi bahawa pemberitahuan perubahan harga minyak hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak. Perubahan harga ini mesti diberitahu kepada rakyat kerana rakyat yang akan menanggung bebanan itu khususnya apabila ia mengalami kenaikkan, bukannya pengusaha minyak.

5. Sekali lagi DUPP ingin menegaskan agar Kerajaan berwaspada terhadap kenaikkan harga minyak ini memandangkan sebahagian besar pendapatan isi rumah iaitu kira 13.4% adalah digunakan untuk tujuan pengangkutan selain 23% untuk makanan dan 18.9% untuk perumahan. Jangan sampai harga minyak yang naik ini menyebabkan rakyat “naik minyak”.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Tarikh : 2 Julai 2015 / 15 Ramadan 1436H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::