RISALAH PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Islam Sebagai Pedoman Bernegara
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
"Sememangnya bagi negeri Saba' di kediaman mereka terdapat mercu tanda iaitu dua taman di sebelah kanan dan kiri. Makanlah kamu sebahagian rezki yang diberikan Rabb kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Sebuah negara yang baik beserta Rabb yang Maha pengampun." (Surah Saba ayat 15)
Tugasan para Nabi sepanjang zaman termasuklah Nabi kita Muhammad saw ialah mengajak manusia menjadi hamba kepada Allah menerusi Islam kerana itulah kunci kebahagian.
Tugasan dakwah disambung oleh para Sahabat Nabi saw dan para Ulamak yang datang selepas mereka dengan menyebarkan Islam kepada seluruh umat manusia sehingga Islam menjadi paksi pemerintahan dan pentadbiran yang memberikan keadilan dan keharmonian hidup.
Nabi saw telah menjadi teladan yang unggul dalam menguruskan negara Madinah yang harmoni dan adil berasaskan Islam. Ia disambung oleh para Khulafa' selepas baginda saw sehingga Islam mendasari pemerintahan kawasan yang sangat luas di seluruh dunia. Legasi pemerintahan Islam bertapak kukuh ratusan tahun sehinggalah berakhirnya Khilafah Uthmaniyah pada 1924 di Timur Tengah dan penyusutan kuasa Kesultanan Islam di alam Melayu dengan yang terakhirnya Terengganu pada 1919.
Antara tugasan besar umat hari ini ialah mengajak manusia untuk memerintah negara dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis dalam semua aspek keperluan hidup.
Ekonomi perlu diuruskan dengan cara Islam yang menolak sistem riba yang berleluasa dan menguasai pengurusan ekonomi dan perniagaan hari ini. Sistem ekonomi kapitalis yang memberi peluang si kaya menindas si miskin dan melebarkan jurang antara kaya dan miskin perlu ditukar dengan sistem ekonomi Islam.
Sistem sosial bermasyarakat perlu berlandaskan Islam yang memupuk perpaduan antara kaum, kejiranan yang baik, bahu-membahu, keprihatinan pada masyarakat, tidak bersifat keakuan, ketinggian akhlak dan budi, menolak kezaliman dan memberikan hak kepada yang berhak.
Sistem kehakiman dan Undang-undang jenayah yang digubal oleh para penjajah dan terbukti gagal menjadikan penjenayah kembali kepada Allah dan gagal mengurangkan kadar jenayah perlu ditukar dengan undang-undang jenayah Islam merangkumi Hudud, Qisas dan Ta'zir.
Pembangunan kebendaan dengan perspektif dunia yang sempit dan mengecilkan kepentingan pembangunan keperibadian insan dan sumber manusia perlu diperluaskan kepada pembangunan jiwa, akhlak dan sakhsiyah yang melihat keluasan Akhirat, syurga dan pahala.
Segala urus tadbir kementerian mestilah berasaskan prinsip Islam sama ada kementerian pendidikan, sumber manusia, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pelancongan dan kebudayaan, pertanian, perdagangan, hal ehwal dalam negeri, hal ehwal luar negeri, pertahanan, pembangunan wanita, belia dan sukan, hal ehwal pengguna, sumber asli dan alam sekitar, tenaga, komunikasi, kemajuan luar bandar dan lain-lain.
Pelbagai kemelut yang dirasai oleh rakyat Malaysia hari ini sama ada melibatkan ketidakstabilan politik, ketirisan pengurusan kewangan negara, kepincangan pengurusan ekonomi yang tergambar menerusi inflasi, kejatuhan nilai mata wang, cukai yang zalim dan kerosakan sistem sosial, hubungan kemanusiaan, kekeluargaan dan kejiranan semuanya berpunca daripada meninggalkan Islam.
Maka tiba saatnya seruan unuk kembali kepada sistem pemerintahan Islam dilaungkan dan dinobatkan. Seruan perkauman yang sempit, rebutan kuasa dan kebobrokan parti-parti politik tidak berlandaskan Islam dan gaya berpolitik kepartian yang merosakkan negara sewajarnya menjadi pemangkin untuk dakwah Islam terus diperkasakan.
"Istiqamah Hingga Menang"
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 7 Syawal 1436 H / 23 Julai 2015 M
No comments:
Post a Comment