Tuesday 16 August 2016

*SYARIKAT MILIK, BERKAITAN KERAJAAN RUGI : RAKYAT TUNTUT PENJELASAN*

*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

16 Ogos 2016 | 13 Zulkaedah 1437H

*SYARIKAT MILIK, BERKAITAN KERAJAAN RUGI : RAKYAT TUNTUT PENJELASAN*

1. Prestasi kewangan beberapa syarikat GLC menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan serius menjadikannya sebagai aset ekonomi bagi negara. Kerajaan perlu memberi penjelasan kukuh dan terbuka kepada rakyat sebab-sebab kegagalan di saat syarikat-syarikat milik korporat boleh mencapai kejayaan yang membanggakan.

2. Syarikat milik atau berkaitan Kerajaan (GLC) dibentuk bertujuan untuk bertanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi membantu meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

3. Namun, terdapat banyak GLC yang mempunyai masalah prestasi kewangan sehingga mengalami kerugian yang besar justeru tidak dapat mencapai objektif asal pembentukannya. Antaranya ialah :

(a) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – pembangunan infrastruktur perkhidmatan pengangkutan awam – mencatatkan kerugian berjumlah RM885.6 juta pada 2014. Prasarana juga telah mengalami kerugian 15 tahun selama 17 tahun penubuhannya.

(b) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014 merekodkan kerugian berjumlah RM665.3 juta. Tambah, turut didakwa mempunyai hutang dianggarkan berjumlah RM42 bilion.

(c) Proton Holdings Berhad (PROTON) dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion (atau 72 sen sesaham) pada tahun kewangan ketiga 2016 sehingga mempengaruhi rugi bersih yang dialami oleh DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) berjumlah RM821.3 juta. Bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016, DRB-Hicom merekodkan rugi bersih berjumlah RM991.90 juta, juga disebabkan prestasi PROTON yang lemah sehingga berkemungkinan DRB-Hicom akan menjual saham PROTON kepada pelabur asing.

4. Rakyat menuntut Kerajaan memberikan penjelasan punca banyak GLC mengalami kerugian sedangkan pengaruh yang dimiliki oleh Kerajaan dalam hal-hal melantik, meluluskan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan sepatutnya dapat memastikan ia diterajui oleh barisan pengurusan yang berkaliber dan kompeten.

5. Rakyat sangat khuatir dengan pengaruh politik yang wujud dalam proses tersebut serta terserlahnya budaya kronisme dan nepotisme menjadikan GLC hanya sebagai platform untuk mengkayakan individu atau pihak tertentu yang ‘dirasmikan’ atas nama "perbelanjaan syarikat" justeru menyumbang kepada kerugian yang telah berlaku ini.

6. Rakyat juga menuntut Kerajaan menjelaskan kewajaran memberikan subsidi dan mengekalkan syarikat-syarikat yang mengalami kerugian berterusan seperti MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) and Prasarana. Alasan ketidakcukupan pendapatan syarikat-syarikat ini untuk menanggung beban kadar faedah seperti yang dinyatakan oleh Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, dilihat tidak konkrit dan boleh manyebabkan salah urustadbir boleh terus berlaku.

Sekian.

_*“Inilah Penyelesaian Kita”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Parlimen Kuala Nerus /
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Facebook :
_https://www.facebook.com/drkhairuddin_

Blog :
_http://drtakiri.blogspot.my/_

No comments:

Post a Comment