Wednesday, 31 August 2016

RAHSIA SOLAT SUBUH - siri nasihat Agama & Wasiat Iman

NASIHAT AGAMA & WASIAT IMAN

Oleh Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri


31 Ogos 2016

RAHSIA SOLAT SUBUH

عن جندب بن عبدالله رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
مَن صَلَّى الصُّبحَ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ ، فَلا يَطلُبَنَّكُمُ اللَّهُ مِن ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ فَيُدرِكَهُ فَيَكُبَّهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh maka dia berada dalam zimmah Allah (jaminan Allah). Maka janganlah sampai kamu dituntut oleh Allah daripada sebarang jaminan-Nya lalu Dia nanti mendapatkannya lantas dihumbannya ke dalam Neraka Jahanam.” Hadis riwayat Muslim

Hadis di atas menunjukkan kelebihan orang yang mengerjakan solat Subuh.

Menurut Imam Nawawi (meninggal 676 H/1277 M); Zimmah bermaksud jaminan. Ada pandangan ia bermaksud keselamatan.

Kebanyakan Ulamak bersetuju bahawa maksud hadis ialah peringatan kepada mereka yang menyakiti orang yang mengerjakan solat Subuh.

Kata Ibnul Jauzi (meninggal 597 H) dalam Kasful Musykil; maksud hadis ialah sesiapa yang mengerjakan solat Subuh maka dia telah mengambil daripada Allah pemeliharaan dan jaminan (dalam Bahasa Arab disebut sebagai zimmah). Oleh itu tidak wajar bagi sesiapa pun menyakitinya dengan sebarang bentuk kezaliman. Sesiapa yang menzalimi orang yang solat Subuh nescaya Allah akan menuntutnya.

Menurut Imam Tiibiy (meninggal 743 H) dalam Syarah Misykaat al-Masobiih; disebut solat Subuh secara khusus kerana ia mengandungi kepayahan dan kesukaran. Mengerjakannya adalah petanda ketulusan dan keikhlasan seseorang. Begitu juga dengan imannya. Sesiapa yang menjadi mukmin yang tulus lagi ikhlas maka dia berada dalam zimmah (jaminan dan peliharaan Allah)

Sekian


No comments:

Post a Comment