KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Kenyataan Sempena Hari Kebangsaan
MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN MEMPERKASAKAN ISLAM
1. Kemerdekaan menurut
Kamus Dewan bermaksud bebas daripada penjajahan. Jika ia dimaksudkan sebagai
bebas daripada penjajahan fizikal maka ia telah dinikmati oleh rakyat
Persekutuan Tanah Melayu sejak 31 ogos 1957. Namun, jika ia diertikan sebagai
bebas daripada penjajahan pemikiran dan undang-undang maka ia perlu
diperkasakan sebagai satu agenda mengisi kemerdekaan.
2. Antara pemikiran
tinggalan penjajah ialah memisahkan Islam daripada sebahagian undang-undangnya
yang mencakupi segala aspek kehidupan individu masyarakat dan negara.
3. Islam telah diberi
takrifan yang sempit iaitu hanya merujuk kepada persoalan ibadah dan munakahat.
Manakala undang-undang muamalat, jinayat dan pentadbiran tanah serta cukai dianggap
urusan keduniaan yang berada di bawah pentadbiran Inggeris.
Sejarah Perundangan Islam Sebelum Penjajahan
1. Kesultanan Islam
Melaka sebelum dikuasai Portugis pada tahun 1511 dan 9 Negeri-negeri Melayu
sebelum campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan pemerintahan bermula 1874
adalah negeri-negeri Islam yang menjadikan Islam sebagai rujukan pentadbiran
dan pemerintahan.
2. Di Melaka, Undang-undang
Qanun Melaka yang merujuk kepada undang-undang Islam berasaskan Mazhab Syafie telah
digubal bermula zaman Sultan Muhammad Syah (1422-1444 M) dan dilengkapkan pada zaman
Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1450 M). Ia meliputi bidang yang luas termasuk
acara keterangan, jenayah, mu’amalat seperti jua-beli, bangkrap dan pinjam
meminjam, keluarga dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Selepas kejatuhan
Melaka, ia dipraktikkan pula untuk menjadi rujukan Kerajaan Johor yang bangkit
menggantikan kerajaan Melaka.
3. Di Perak, di zaman
Sultan Ahmad Tajuddin Shah (1577-1584) dimulakan pengenalan undang-undang 99
Perak yang secara asasnya merujuk kepada undang-undang Islam.
4. Pahang memperkenalkan
Hukum Kanun Pahang sebagai rujukan pemerintahan Sultan Pahang ke 12, Sultan
Abdul Ghafur Muhayiddin Syah (1592-1614). Ia mengandungi undang-undang jenayah
seperti membunuh, mencuri, merompak, menyamun dan menceroboh, undang-undang
muamalat seperti jual-beli dan sewa menyewa di samping undang-undang keluarga
dan perkahwinan
5. Kedah memperkenalkan undang-undang
Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan yang berlandaskan Syariah dengan perintah Sultan
Dhiauddin Mukarram Shah 1 (1661-1668) dan Undang-Undang Pelabuhan Kedah 1311 H/1893
M.
6. Majalah
Ahkam Johor yang diambil daripada Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah yang digunakan
oleh kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah telah diisytiharkan terpakai pada tahun 1913
oleh kerajaan Johor. Ianya mengandungi hukum syariah Islam, sebahagiannya
berkaitan dengan muamalah berkaitan dengan jual beli, sewa, kafalah, hiwalah,
al-rahn, amanah, hibah, sharikah, wakalah dan sebahagian kecil berkaitan
institusi kehakiman.
7. Terengganu
menggubal Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamakan Itqaanul
Muluk bi Ta’dilis Suluk pada
1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang
berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:
Sesungguhnya
telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu
ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan
maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut
agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan
masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.
BAGAIMANA PENJAHAN DITERJEMAHKAN?
1.
Penjajahan Ingeris diterjemahkan menerusi pelbagai
undang-undang Inggeris yang diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang Islam. Diantara undang-undang yang
diperkenalkan ialah Kanun Jenayah(Penal
Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam
yang berkaitan dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya.
2.
Hakim-hakim Inggeris
ditugaskan sebagai hakim di Tanah Melayu yang membuat penghakiman kes berdasarkan
undang-undang Inggeris bagi membentuk rujukan bagi penghakiman terkemudian.
3.
Undang-undang
Inggeris menjadi rujukan utama apabila Inggeris menggubal Enakmen Undang-undang
Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang menetapkan bahawa mahkamah
di Tanah Melayu perlu menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang digunapakai
di England dan juga Common Law di England. Dalam hal ini, seseorang
hakim akan merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti
bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 untuk
negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak. Penguatkuasaan itu
menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang Inggeris.
4.
Malah Inggeris telah mula campur tangan dalam urusan
undang-undang perkahwinan orang Islam dengan memperkenalkan pada tahun 1880 Muhammedan
Marriage Ordinance bagi menetapkan sejauh mana Undang-undang
Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah
5.
Ordinan ini
menyaksikan cita-cita dan usaha British berjaya untuk memisahkan antara urusan
sivil dan urusan keagamaan yang telah dirancang semenjak kedatangannya ke Tanah
Melayu.
TANGGUNGJAWAB
RAKYAT MERDEKA
1.
Setelah
59 tahun merdeka, rakyat mempunyai tanggungjawab memperkasakan kembali hak
Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
2.
Peruntukan
yang kabur dalam menjelaskan hak sebenar Islam perlu diberikan penjelasan seperti
Perkara 3 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa :
“Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”
3.
Tafsiran
para hakim terhadap peruntukan tersebut menzalimi hak Islam apabila ia hanya
ditafsirkan merujuk kepada Islam dengan maknanya yang sempit yang tidak
merangkumi perundangan jenayah dan muamalat Islam.
KEPERLUAN MEMINDA AKTA 355
YANG MENZALIMI ISLAM
1.
Pada masa ini, bidang
kuasa jenayah terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965
(Pindaan) 1984, yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan
hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu
ringgit atau sebat tidak lebih enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman
itu.
2.
Kuasa ini tidak
selaras dengan Islam dan menzalimi Mahkamah Syariah. Malah bidang kuasa ini
masih rendah atau sempit jika dibandingkan dengan bidang kuasa Mahkamah
Majistret Kelas Pertama.
3.
Akta Mahkamah Rendah
1948 memberi bidangkuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama
menjatuhkan hukuman sehingga sepuluh tahun penjara atau rotan 12 kali atau
gabungan kedua-dua.
4.
Bagi membolehkan
Mahkamah Syariah diperkasakan dengan diberikan haknya untuk berhukum menurut
Syariat Islam maka Akta tersebut perlulah dipinda.
5.
Pada bulan mei 2016
di Dewan Rakyat, PAS menerusi YB Ahli Parlimen Marang telah mengambil inisiatif
mengemukakan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta 355 dan
sekaligus memperkasakan Mahkamah Syariah.
6.
Pindaan adalah
bertujuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum
berdasarkan hukum Syariah dan tidak lagi terikat sebagaimana sekarang. Ia dijangka
dibahas untuk diundi dan diluluskan dalam sidang Dewan rakyat terdekat nanti.
7.
Pengisian erti merdeka
menuntut seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam memberi sokongan
penuh terhadap usaha pindaan ini bagi memberikan hak yang sebenar kepada Islam
tanpa menjejaskan hak-hak rakyat bukan Islam.
8.
Ahli-ahli Parlimen
Islam khususnya perlu didesak oleh rakyat di kawasan parlimen mereka untuk
memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi demi memperkasakan Islam dan
memperkasakan Mahkamah Syariah.
Sekian
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Rabu 31hb Ogos 2016
No comments:
Post a Comment