Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
*Nasihat Agama & Wasiat Iman*
*Umpatan di Aplikasi Media Sosial Halal atau Haram?*
Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam Bab *Haram Mengumpat*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
"Daripada Abi Hurairah radiyallahu anhu bahawa Rasulullah saw bertanya; "tahukah kamu apa itu mengumpat?
Para sahabat menjawab;
"Allah dan RasulNya lebih mengetahui."
Kata baginda; *"iaitu kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya"*
Hadis Sahih ini secara jelas menerangkan tentang definisi *mengumpat* iaitu *menyebut tentang seseorang di belakangnya* atau di saat ketiadaannya sesuatu yang *tidak disukainya* sama ada keburukannya atau kekurangannya, sama ada ia melibatkan jasad dirinya atau agamanya atau akhlaknya.
Mungkin ada yang berkata; saya *tidak mengumpat* kerana sememangnya keburukan dan kecacatan itu ada pada dirinya.
Sebenarnya, perkara yang sama dilontarkan oleh sahabat kepada baginda saw;
أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ
قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ
وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ
"Apa pandangan kamu sekiranya pada saudaraku terdapat apa yang saya sebutkan itu?"
Baginda saw menjawab; *"sekiranya pada dirinya terdapat apa yang kamu katakan maka kamu telah mengumpat dirinya. Dan sekiranya tidak ada pada dirinya perkara itu bererti kamu telah mereka-reka cerita tentang dirinya"*
Dunia hari ini menyaksikan ruang komunikasi antara manusia yang sangat luas tanpa batasan menerusi pelbagai aplikasi internet. Ia memudahkan manusia berkomunikasi dan berbicara menerusi tulisan hanya dengan jari jemari tanpa batasan masa dan waktu.
Tanpa sedar kita telah berbicara tentang keburukan pelbagai peribadi manusia di saat ketiadaannya lalu disambut dengan penuh rancak oleh rakan-rakan yang lain.
*Mengumpat adalah HARAM*. Ia mengaib dan merosakkan maruah serta kehormatan manusia.
Apakah aplikasi whatsapp, facebook, twitter serta komen di blog berita menjadi lesen menghalalkan umpatan???
Moga Allah pelihara iman kita dan jari jemari kita daripada maksiat kepada Allah dan dosa terhadap manusia.
Sekian.
Disediakan oleh _al-faqir ilallah_:
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 14 hb Mei 2016
Jam 4 pg.
No comments:
Post a Comment