KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus
GARIS PANDUAN HIBURAN –
LANGKAH PROAKTIF BENDUNG MASALAH SOSIAL, MENDISIPLINKAN BUDAYA HIBURAN DALAM NEGARA
1. Saya menyokong penuh tindakan proaktif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap usaha menerbitkan dan mewartakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 pada 10 hingga 11 Februari 2015 lalu.
2. Bagi saya, Garis Panduan Hiburan ini adalah tersangat penting untuk membendung gejala sosial di peringkat awal lagi memandangkan trend anak muda sekarang amat mudah tertarik dan terpengaruh dengan lima (5) aspek utama yang digariskan dalam garis panduan ini iaitu artis, persembahan, lagu, penganjuran program hiburan dan klip video.
3. Oleh itu, apabila kelima-lima aspek ini diatur dengan suatu garis panduan yang tepat dengan ajaran agama dan adat tempatan, ia akan sekaligus dapat mendisiplinkan budaya hiburan di negara kita justeru mengelakkan daripada berlakunya masalah sosial dalam masyarakat kita.
4. Saya juga berpendapat adalah amat tidak tepat dan tidak wajar sekali apabila ada dalam kalangan penggiat seni dan pengajur program hiburan membantah dan mengkritik keras garis panduan yang disediakan ini semata-mata kerana tidak bersetuju dengan larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa mengadakan latihan atau raptai; dan larangan percampuran antara lelaki dan perempuan di kalangan penonton.
5. Seharusnya pihak pengajur program hiburan meneliti garis panduan ini secara holistik, mengakui kewajaran penguatkuasaannya dan memikul tanggungjawab bersama dengan pihak berkuasa untuk membendung masalah sosial yang kian semakin meruncing di negara kita.
6. Tanpa menafikan bahawa bahawa pembentukan karakter dan sikap generasi muda atau remaja bermula dari rumah, namun mesti diakui juga bahawa mereka amat terkesan dengan pengaruh rakan sebaya, persekitaran dan hiburan. Ini bererti, rakan sebaya yang dikenali, persekitaran yang dinikmati dan hiburan yang dihayati di konsert-konsert yang dianjurkan itu – jika tidak dipandu dengan suatu garis panduan yang tepat – sangat berupaya memesongkan nilai-nilai baik yang sedia wujud dalam diri seseorang seterusnya nilai negatif itu akan sebati menjadi nilai baru dalam diri mereka.
7. Apa yang dibimbangkan ialah mutakhir ini banyak sangat penganjuran berbentuk hiburan. Konsert mega ‘Life in Color’ yang dijadualkan pada 19 April 2014 nasib baik dibatalkan berikutan tragedi MH370 dan begitu juga dengan ‘Topless Friday Beach Party’ yang dibatalkan setelah mendapat bantahan orang ramai.
8. Malangnya tetap ada lagi konsert lain seperti konsert ‘Future Music Festival Asia’ yang telah meragut beberapa nyawa anak muda Islam akibat pengambilan dadah. Selepas itu ada lagi program hiburan yang sangat memalukan maruah umat Islam setelah terdapat insiden gadis Melayu-Islam dipeluk dan memeluk; dicium dan mencium artis dari Korea.
9. Suka untuk saya pertegaskan juga ialah Islam tidak sedikit pun melarang budaya berhibur. Cumanya Islam menggariskan bahawa hiburan mestilah secara terkawal dan terarah dan bukannya satu cara untuk mencari keseronokan semata-mata dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
10. Sekali lagi saya ingin menyatakan sokongan terhadap Garis Panduan Hiburan ini dan semoga usaha ini diberkati dan diramati oleh Allah s.w.t. Tahniah JAKIM.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : 21 April 2015 / 2 Rejab 1436H
__________
Sila lawati dan like page facebook serta blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri di -
Facebook : https://www.facebook.com/drtakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/