Friday, 20 January 2023

Mutiara TAFSIR (105)Memahami Sifat Allah Al-Aziz dan Al-Ghafur


Mutiara TAFSIR (105)
Memahami Sifat Allah Al-Aziz dan Al-Ghafur

Allah berfirman
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
"(Tuhan) yang mencipta kematian dan kehidupan untuk Dia menguji kamu siapakah kalangan kamu yang paling elok amalannya sedang Dialah yang bersifat Al-Aziz lagi Al-Ghafur.
(Surah al-Mulk: 1)

HURAIAN

1. Antara Nama dan Sifat Allah yang baik ialah "al-Aziz" dan al-Ghafur". al-Aziz boleh diberi makna sebagai Maha Megah, Maha Kuat Perkasa, Maha Teguh lagi Maha Penguasa. Manakala al-Ghafur bermaksud Maha Pengampun.

2. Menurut al-Zubaydi dalam Taj al-Arus
العَزيز : مَأْخُوذٌ من العِزّ، وَهُوَ الشِّدَّة والقَهْر، وسُمِّي بِهِ الملك؛ لِغَلَبَتِه على أهلِ مَمْلَكَتِه "
"al-Aziz diambil daripada perkataan al-Izz iaitu kuat teguh dan menguasai. Raja digelar al-Aziz kerana penguasaannya terhadap penduduk dalam kerajaannya"

3. Menurut al-Sa'di pula al-Aziz mempunyai 3 makna:
( العزيز ): الذي له العزة كلها ؛ عزة القوة، وعزة الغلبة وعزة الامتناع
"al-Aziz adalah yang memiliki izzah kemegahan sepenuhnya iaitu pertamanya "izzah quwwah" bermaksud kemegahan kekuatan, keduanya "izzah ghalabah" bermaksud kemegahan penguasaan dan ketiganya " izzah imtina' " bermaksud kemegahan keteguhan, ketahanan dan kekebalan.

4. Kesimpulannya Allah yang bersifat al-Aziz adalah Tuhan yang Maha Megah dengan keagungannya.
Dia Maha Kuat, Gagah Perkasa.
Dia Maha Penguasa tiada yang boleh menguasainya.
Dia Maha Teguh dan Tahan, tiada yang boleh menggoyahkannya.

5. Sifat al-Aziz pada Allah Taala adalah bersifat menggerunkan makhluk atau disebut "tarhib" (ترهيب) dalam bahasa Arab. Namun, sifat menggerunkan yang ada pada Allah diiringi pula dengan sifat yang menggalakkan dan menggemarkan manusia kepada-Nya atau disebut sebagai "targib" (ترغيب) dalam bahasa Arab. Justeru, disebut pula sifat Allah yang mengemarkan dan menggalakkan manusia iaitu al-Ghafur yang bermaksud Maha Pengampun.

6. Demikianlah gaya bahasa al-Quran, bicara "tarhib" sentiasa seiringan dengan "targhib" agar manusia sentiasa merasa gerun lalu menjauhi larangan Allah dan dalam masa yang sama dirangsang dan digalakkan untuk melakukan ketaatan. 

7. al-Ghafur bermaksud Allah bersifat dengan "maghfirah". Maghfirah pula dalam bahasa Arab bermaksud kemaafan dan penutupan. Dalam konteks ini ia bermaksud menutup dosa dan keaiban hambanya dengan memberikan pengampunan dosa. Maka Allah Maha Pengampun menerima segala taubat hamba dengan menutup segala kesalahan mereka.

8. Maka Allah yang bersifat Maha Megah, Kuat, Perkasa, Penguasa boleh menghukum manusia yang melakukan kesalahan dan dosa adalah juga Maha Pengampun menutup dosa dan menerima taubat hambanya yang kembali kepada-Nya dengan penuh kasihan belas.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
3.10.2022

No comments:

Post a Comment