Mutiara HADIS; Menjaga Lidah
فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ فَقَالَ: كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟! قَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا مُعَاذُ، وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ قَالَ: عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟
"Lantas baginda (saw) memegang lidah baginda lalu bersabda; tahanlah atas diri kamu lidah ini. Saya (Muaz bin Jabal) bertanya; adakah kita akan dihukum berdasarkan apa yang kita bicarakan? Kata Nabi saw Aduhai Muaz, tidakkah wajah manusia ditelungkupkan ke dalam neraka melainkan hasilan lidah mereka"
(Hadis Targhib wa Targhib. Dinilai Sahih Lighairih oleh Albani)
Fiqh Hadis
Lidah dan pertuturan adalah nikmat besar yang diberikan oleh Allah. Dengan lidah seseorang itu melakukan pelbagai ibadah seperti zikir dan solat. Dengan lidah juga manusia berhubung dengan manusia lain untuk melunaskan pelbagai keperluan hidup. Namun, dalam urusan kemanusiaan menjaga lidah daripada kata-kata yang kotor dan keji adalah antara akhlak mulia seorang Mukmin. Seorang Mukmin menjaga lidahnya dengan tidak menuduh orang lain, tidak melaknat, tidak bercakap kotor, lucah dan keji.
Nabi saw bersabda
ليسَ المؤمنُ بالطَّعَّانِ ولا اللَّعَّانِ ولا الفاحشِ ولا البذيءِ
"Tidaklah mukmin itu seorang yang kuat membuat tuduhan, tidak juga kuat melaknat, tidak lucah dan tidak berkata keji"
(Hadis riwayat Tirmizi dan dinilai Sahih oleh Albani)
Semoga Allah memelihara kita semua dari lidah yang panjang mudah mengata dan mengecam, menghina dan mengeji manusia lain.
Sekian
Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 26.3.2022
Jeddah, Saudi Arabia
No comments:
Post a Comment