https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2511376475539034&id=569086473101387
*BICARA Ramadhan 01*
oleh Dr Khairuddin Takiri
*TUNAIKAN IBADAH "QIYAM RAMADHAN"*
1. Bulan Ramadhan bukan hanya bulan puasa tetapi bulan ibadah. Ibadah maksudnya pengabdian diri kepada Allah. Ia bermaksud Ramadhan menjadi bulan untuk umat Islam lebih memperhambakan diri kepada Allah dengan ibadat wajib dan ibadat sunat yang khusus disamping ibadah umum dalam kehidupan seharian dengan menjaganya sentiasa selaras dengan hukum dan peraturan Allah.
2. Ibadah khusus yang utamanya ialah *berpuasa di siang hari* yang menjadi wajib dan *"Qiyam Ramadhan" di malam hari* yang merupakan amalan sunat yang digalakkan.
3. Apa maksud Qiyam Ramadhan?
Ada dua pandangan ulamak.
Pertama, ia merujuk kepada ibadah menghidupkan malam Ramadhan dengan solat termasuk solat Tarawih sebagaimana kata Ibnu Hajar al-'Asqalani (meninggal 852H/1449M) dalam Fathul Bari .
Kata Imam Nawawi (meninggal 676H/1277M), Qiyam Ramadhan tertunai dengan solat Tarawih.
Kedua, ia hanya merujuk kepada solat Tarawih. Tokoh ulamak, al-Kirmani (meninggal 786H/1384 M), sebagaimana dinukilkan oleh pengarang 'Umdatul Qari huraian Sahih Bukhari mendakwa, ulamak sepakat bahawa maksud Qiyam di dalam hadis merujuk kepada solat Tarawih.
4. Nabi saw bersabda menjelaskan kelebihan puasa Ramadhan
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
"Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala diampunkan untuknya dosa-dosa yang lalu."
5. Baginda bersabda lagi menjelaskan kelebihan ibadah Qiyam Ramadhan dengan ganjaran yang sama seperti puasa
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
" Sesiapa yang mengerjakan Qiyam Ramadhan (solat Tarawih) kerana keimanan dan mengharapkan pahala diampunkan untuknya dosa-dosa yang lalu."
(Kedua-dua hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
6. Tidak sedikit yang berpuasa tetapi mengabaikan Qiyam Ramadhan.
Sebahagiannya bersemangat di awal Ramadhan memenuhi masjid dan surau menunaikan Qiyam Ramadhan secara berjamaah namun semakin surut di pertengahan Ramadhan. Tunaikanlah Qiyam walaupun dengan dua rakaat solat tahajjud bersendiri.
Moga Allah menjadikan kita dikalangan hambaNya yang memelihara ibadah Qiyam Ramadhan disamping menunaikan ibadah puasa.
Sekian.
Isnin 1 Ramadhan 1440/6hb Mei 2019
No comments:
Post a Comment