Wednesday, 16 May 2018

*GURU MURABBI RAKYAT & NEGARA*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1980420878634599&id=569086473101387

*Perutusan Khas Hari Guru*

*GURU MURABBI RAKYAT & NEGARA*

oleh:
*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

16 Mei 2018 | 30 Syaaban 1439H

Sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini, suka untuk saya menyampaikan pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kepada para guru dan semua warga pendidik yang dirakamkan dalam firmanNya yang berikut :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَات

Maksudnya : _"...pasti Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat..."_

(Surah al-Mujaadalah : 11)

Golongan yang berilmu ini diangkat kedudukannya di sisi Allah adalah kerana kemuliaan ilmu itu sendiri dan peri pentingnya peranan golongan ini terhadap pembangunan tamadun kemanusiaan. Tamadun mana pun, jika tidak memuliakan ilmu dan tidak menghormati guru, pasti akan rebah binasa menyembah bumi.

Para guru yang dimuliakan,

Pada era ini, guru mestilah kembali menjadi teladan yang terbaik kepada masyarakat. Kederasan arus globalisasi dan tsunami  informasi tanpa sempadan pada hari ini menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dengan kefahaman dan budaya yang lebih banyak menatijahkan keburukan.

Para guru mesti menekankan pengajaran agama dan menerapkan nilai-nilai agama dalam diri pelajar sebagai asas dan teras dalam diri mereka supaya dapat menjadi sumber tenaga manusia yang berintegriti kepada negara pada masa hadapan dalam semua sektor.

Munculnya para pemimpin korupsi adalah sangat malang kepada kita semua dan merupakan bukti kemuncak sesuatu tamadun sedang berada di ambang kejatuhan.

Warga pendidik yang dihormati,

Pasca PRU14 ini pelbagai aspek landskap negara sedang mengalami perubahan. Pun begitu, aspek pendidikan mesti tetap dipastikan menjadi bidang terpenting dalam pembangunan rakyat dan negara ini.

Peranan dan pengaruh warga pendidik ini tidak setakat di dalam bilik darjah bahkan mestilah dibawa sehingga ke dewan Parlimen.

Warga pendidik sekalian mesti berani ke hadapan; menonjolkan diri dan menguatkan suara bagi menyampaikan pandangan dan cadangan serta mengemukakan kritikan.

Individu yang dililih untuk menerajui kementerian berkaitan mesti dipastikan adalah dalam kalangan warga pendidik yang mempunyai pengalaman yang luas dan pengetahuan yang mendalam mengenai sektor pendidikan.

Dasar dan polisi berkaitan pendidikan mesti dipastikan adalah demi kebaikan rakyat dan negara; bukannya lagi untuk kepentingan pemimpin dan parti politik tertentu.

Guru-guru sekalian,

Inilah hakikat sebenar seorang murabbi. Tidak hanya mengajarkan subjek, tetapi membina, memelihara dan memacu kecemerlangan rakyat dan negara sehingga diberkati Tuhan sekalian alam.

Terima kasih CIKGU kerana telah mengasuh dan mendidik kami semua.

Selamat Hari Guru.

Sekian.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

No comments:

Post a Comment