Thursday, 26 April 2018

*Ikuti SIRI (1) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)* oleh *Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*

*Ikuti SIRI (1) UCAPAN PERBAHASAN BAJET DI DEWAN RAKYAT (2013 - 2017)*
oleh
*Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*

Tarikh : *6 November 2013, 4.25 petang*

_Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh._

*Kunci Keberkatan Negara*

1. Allah SWT berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

maksudnya, “Sekiranya penduduk kampung itu beriman dan bertakwa kepada Allah, pasti Kami akan buka untuk mereka keberkatan-keberkatan daripada langit dan juga bumi, akan tetapi sayangnya mereka tidak percaya. Lalu Kami hukum mereka disebabkan apa yang mereka telah perolehi”. (Surah al-A'raf ayat 96)

2. Ayat ini menjelaskan kepada kita panduan kepada sebuah negara untuk mendapatkan keberkatan hasil mahsul negara dan juga perbelanjaan negara iaitu dua anak kunci yang mesti diambil perhatian oleh setiap kerajaan. *Pertamanya beriman kepada Allah, yang keduanya bertakwa kepada Allah*.

3. Antara makna beriman ialah yakin bahawa *rezeki datang daripada Allah SWT.* Oleh kerana itu mestilah segala perbelanjaan yang kita dapat dibelanjakan pada tempat-tempat yang diredai oleh Allah SWT untuk diberikan rezeki yang berterusan, yang baik oleh Allah SWT.

4. Kedua bertakwa, bererti *sikap berhati-hati dalam membelanjakan setiap perkara, harta yang diberikan oleh Allah SWT.* Apatah lagi harta merupakan perkara yang awal dihisab oleh Allah pada hari akhirat.

5. Seperti mana sabda Nabi SAW riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban,

لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ 
mafhumnya, “Akan terus dua kaki anak Adam tidak berganjak pada hari kiamat hingga disoal empat perkara. Antaranya tentang hartanya dari manakah punca dia dapat dan ke manakah dibelanjakan?"

*Petunjuk Al-Quran Mengenai Prinsip Belanjawan*

6. Dalam kita bincang tentang persoalan perbelanjaan atau bajet pada tahun 2014, perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah bagaimanakah konsep belanjawan yang diajar oleh Allah SWT? Saya petik dua ayat Allah SWT.

7. Pertamanya firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 67

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
yang bermaksud “Orang-orang yang apabila mereka berbelanja, mereka tidak boros. Mereka juga tidak kedekut dan adalah perbelanjaan ini pertengahan antara keduanya”.

8. Kedua, Allah Taala berfirman dalam surah al-Tolaq ayat 7

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

maksudnya, “Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya. Dan barang siapa yang disempitkan rezekinya oleh Allah, maka hendaklah ia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah SWT”.

9. Dua ayat ini menjelaskan kepada kita dua prinsip. Pertama sekali, *berbelanja berdasarkan kemampuan*. Kedua, *berbelanja secara berhemah*. Dua prinsip inilah yang saya lihat gagal untuk dihayati oleh Bajet 2014 dan juga dihayati oleh bajet-bajet sebelumnya yang dibentangkan oleh kerajaan.

*Pembaziran dan Ketirisan Punca Defisit*

10. Ini kerana apa yang kita saksikan ialah belanjawan yang dibentangkan masih lagi bersifat defisit hingga RM40 bilion. Defisit ini kalau ia berlaku untuk kali pertama, tidak mengapa. Akan tetapi, ia telah berlaku juga tahun lepas, dua tahun lepas, tiga tahun lepas, dan begitulah seterusnya berlaku defisit yang berpanjangan.

11. *Adakah defisit ini berlaku kerana kekurangan hasil? Jawapannya tidak.* Ini kerana kalau kita lihat kepada Laporan Audit Negara, menunjukkan kepada kita bahawa di sana *berlaku banyak pembaziran dalam pengurusan harta negara.* Seperti disebut oleh Ketua Audit Negara di awal laporan buku berkaitan Kerajaan Persekutuan- Siri 1 dan Siri 2 menyatakan dengan jelas antaranya persoalan pembaziran yang berlaku.

12. Oleh itu bila kita katakan berlakunya pembaziran, maka kita mengajak kerajaan untuk *menangani terlebih dahulu pembaziran yang berlaku kerana pembaziran yang berlaku itu menarik barokah daripada Allah SWT.*

*Keberkatan Syarat Kecukupan*

13. Hari ini kita kata rezeki kita tidak cukup, duit tidak cukup untuk tampung pelbagai perbelanjaan. Perlu kita ingat......
*... bersambung SIRI 2*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1958608040815883&id=569086473101387

No comments:

Post a Comment