KENYATAAN MEDIA AHLI
PARLIMEN KUALA NERUS
Khamis 22hb Oktober 2015
Penubuhan Jawatankuasa
Penasihat Syariah dalam Pindaan Akta KWSP (2015) di Dewan Rakyat
Sidang Dewan Rakyat pada 20, 21dan 22 Oktober membahaskan Rang
Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan 2015). Antara perkara
penting yang dicadangkan untuk dipinda ialah penubuhan Jawatankuasa Penasihat
Syariah bagi menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan
akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mematuhi prinsip Shariah, termasuk
caruman, pelaburan dan dividen. Nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah pula
adalah mengikat Lembaga dan Panel Pelaburan menurut seksyen 23D (2).
Pelaburan Haram KWSP
Selama 3 hari perbahasan saya
berpeluang untuk berucap dan mencelah ketika penggulungan Timbalan Menteri
terbabit. Dalam ucapan perbahasan, saya menyokong usaha pindaan ini kerana ia
bakal menyelamatkan caruman orang-orang Islam daripada terlibat dengan
pelaburan yang haram. Pelaburan KWSP ialah dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan
Instrument Pasaran Wang yang kedua-duanya berasaskan faedah Riba. Begitu juga
pinjaman korporat yang sebahagiannya berasaskan faedah Riba. Pelaburan dalam
Ekuiti juga ada yang tidak mematuhi Shariah.
Untuk tahun 2014 pelaburan KWSP
berjumlah RM597 bilion. Sebanyak RM157 bilion (26%) dilaburkan dalam Sekuriti
Kerajaan Malaysia, RM13 bilion dalam Instrument Pasaran Wang, RM154 bilion (25%)
dalam Pinjaman dan Bon Korporat, RM257 bilion (43%) dalam Ekuiti dan RM14
bilion dalam Hartanah.
Pencarum di kalangan muslim yang
prihatin dengan hukum-hakam Islam terpaksa membersihkan Dividen yang mereka
terima kerana sebahagiannya adalah daripada hasil keuntungan pelaburan yang
tidak patuh Shariah.
Zakat KWSP
KWSP adalah tabung simpanan wang yang tentunya terikat dengan
hukum zakat bagi wang simpanan menurut Islam namun KWSP sebagai pengurus dana sebelum
ini tidak membayar zakat bagi wang tersebut.
Fatwa-fatwa yang ada oleh Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa Negeri lebih fokus kepada tanggungjawab pencarum yang tidak
mempunyai kuasa penuh atau sempurna milik terhadap caruman mereka. Berdasarkan
situasi itu, fatwa-fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Jawatankuasa
Fatwa beberapa negeri menfatwakan bahawa pencarum tidak perlu membayar zakat
melainkan apabila mengeluarkan caruman mereka daripada KWSP.
Alasan Shariahnya ialah wang caruman
dalam pemilikan KWSP “tidak sempurna milik” bagi pencarum. Hal ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh KWSP untuk mengeluarkan
caruman menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan
tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba
masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah ditetapkan oleh pihak
kerajaan. Ia hanya sempurna milik apabila
dikeluarkan oleh pencarum sekiranya cukup nisab. Justeru, kewajipan membayar
zakat ialah apabila pencarum mengeluarkannya daripada KWSP.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
pada 1982 dan jawatankuasa fatwa negeri seperti Selangor pada 2001 dan Johor pada
2008 dan 2012 mensyaratkan zakat dikeluarkan selepas cukup “haul” setahun wang
tersebut dikeluarkan.
Tetapi fatwa terakhir oleh Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2006 dan Selangor
pada 2007 ialah menggalakkan pencarum membayarnya sebaik dikeluarkan tanpa
menunggu tempoh setahun.
Apa yang dijelaskan di atas ialah
berhubung tanggungjawab pencarum di saat mereka tidak mempunyai milik penuh
terhadap pengurusan wang simpanan mereka. Bagaimana pula dengan KWSP sendiri
sebagai pemegang amanah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan caruman
tersebut? Jika mahu, mereka mampu bertindak bagi pihak pencarum bagi
mengeluarkan zakat simpanan para pencarum yang sepatutnya dibayar.
Bayangkan sekiranya KWSP mengambil
tanggungjawab membayar zakat bagi wang simpanan orang Islam yang diuruskan oleh
mereka. Sekiranya diandaikan 600 bilion dana pelaburan KWSP sekarang dengan 60%
nya adalah milik caruman orang Islam tentu sahaja zakat tahunan yang boleh
dimanfaatkan oleh mereka yang layak untuk mendapat zakat setiap tahun
menjangkau 9 bilion setahun. Zakat ini boleh digunakan untuk manfaat pencarum
KWSP yang termasuk dalam Asnaf Zakat.
Jawatankuasa Syariah Perlis pernah menfatwakan pada 1
Disember 1990 bahawa KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak
pencarum Islam. Teks fatwanya ialah: “Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) seperti yang berkuatkuasa sekarang ini tidak diwajibkan zakat ke atas
pencarumannya kerana wang tersebut bukan milik sempurna bagi pencarum seperti
yang dijelaskan oleh wakil KWSP Encik Roslan bin Putih dalam perbincangan
dengan ahli-ahli Jawatankuasa Syariah pada 22 Jamadil Awam 1411 bersamaan 1
Disember 1990. Oleh kerana jumlah wang tersimpan dalam KWSP adalah
melebihi nisab dan mencukupi haul maka ianya tetaplah wajib zakat. Oleh itu
Jawatankuasa Syariah berpendapat pihak KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat
bagi pihak pencarum-pencarum Islam sepertimana yang diamalkan oleh Lembaga
Urusan dan Tabung Haji.”
Saya dimaklumkan oleh Timbalan
Menteri terbabit dalam perbincangan di luar Dewan Rakyat bahawa tabungan KWSP
tidak dikenakan cukai oleh kerajaan. Justeru, secara dasarnya tiada peruntukan
untuk dikenakan zakat. Oleh itu saya mengambil peluang dalam sesi celahan
penggulungan oleh Timbalan Menteri pada petang ini mencadangkan agar pindaan
akta berkaitan jika perlu wajar dibuat untuk membolehkan KWSP membayar zakat. Ia
bukan sahaja memudahkan urusan pencarum melibatkan tanggungjawab zakat malah memberi
keuntungan kepada umat Islam khususnya pencarum sendiri yang mungkin
sebahagiannya termasuk dalam kategori yang layak menerima bantuan zakat.
Sekian.
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
No comments:
Post a Comment