Tuesday, 5 May 2015

SELAMAT MENGUNDI UNTUK SATU PERUBAHAN KEPADA RAKYAT ROMPIN

Dewan Ulamak PAS Pusat

SELAMAT MENGUNDI UNTUK SATU PERUBAHAN KEPADA RAKYAT ROMPIN

1.Hari ini rakyat Rompin akan mengundi untuk menyumbang kepada usaha menentukan masa depan agama, negara, negeri dan parlimen Rompin.

2. Kepimpinan adalah amanah. Bukan hanya amanah untuk membangunkan negara dari sudut kebendaan tetapi lebih utama amanah untuk memimpin manusia untuk mendapat redha Allah dalam kehidupan seharian. Rakyat Rompin bakal memilih pemimpin yang terbaik untuk melaksanakan amanah tersebut.

3. Rakyat Rompin sedang berhadapan isu pembangunan yang masih belum lengkap walaupun telah merdeka 58 tahun. Lebuhraya atau jalan raya yang lapang dan luas yang boleh menjimatkan masa pergerakan antara parlimen Rompin yang luas dan menghubungkannya dengan bandar-bandar utama seperti Kuantan sepatutnya telah dinikmati oleh rakyat Rompin sekian lama. Ia tentu membantu pertumbuhan ekonomi setempat. Malangnya ia bukan milik mereka.

4. Isu pemberian hak milik tanah khususnya di Kuala Rompin sewajarnya menjadi pertimbangan pengundi. Islam menegaskan hak rakyat yang telah membuka tanah apatah lagi puluhan tahun untuk mendapatkan hak milik mereka yang sah. Menafikan hak mereka untuk mendapat geran adalah satu penindasan dan kezaliman. Sejak puluhan tahun janji pemberian hak milik tanah didendangkan setiap kali pilihanraya maka wajarlah kali ini rakyat Kuala Rompin menghantar satu signal protes menerusi undi.

5. Peneroka Felda adalah antara rakyat teramai di Rompin. Masa depan mereka dalam keadaan suram dengan pelbagai isu melengkari FGV dan Felda sendiri. Tentunya ini peluang para peneroka untuk menghantar isyarat protes kepada BN.

6. Cukai GST tentunya dirasai kesannya oleh rakyat Rompin yang masih ramai berhadapan dengan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan. Cukai yang dikenakan kepada golongan yang tiada kemampuan meskipun dengan amaun yang kecil adalah satu penindasan yang tidak diredhai oleh Islam. Desakan rakyat Malaysia supaya kerajaan menghapuskan cukai GST terbeban di bahu rakyat Rompin hari ini. Kekalahan BN dalam PRK Rompin adalah isyarat jelas daripada rakyat yang menolak GST.

Untuk itu, Dewan Ulamak PAS Pusat merayu para pengundi di Rompin untuk memanfaatkan kuasa undi mereka dalam PRK kali ini. Moga ianya menjadi satu kebaktian kita untuk agama, bangsa dan negara tercinta.

Selamat Mengundi. UNDI UNTUK 1 PERUBAHAN.

Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

5hb Mei 2015

No comments:

Post a Comment