Wednesday, 7 May 2014

PANDANGAN SAHIBUS SAMAHAH DATO MUFTI PAHANG MENGELIRUKAN DALAM ISU CUKAI GST DAN HIMPUNAN BANTAH GST MENURUT ISLAM

Sila sebarkan

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

PANDANGAN SAHIBUS SAMAHAH DATO MUFTI PAHANG MENGELIRUKAN DALAM ISU CUKAI GST DAN HIMPUNAN BANTAH GST MENURUT ISLAM

Pandangan Sahibus Samahah Dato' Mufti Kerajaan Pahang sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian Sabtu 3 Mei di halaman 10 berhubung isu GST dan hukum demonstrasi menurut Islam sangat mengelirukan.

KAEDAH KUTIPAN CUKAI GST SELARAS DENGAN ISLAM?

Sahibus Samahah dipetik berkata bahawa "apa sahaja bentuk kutipan cukai, tidak menyalahi hukum selagi hasil diperolehi disalurkan kepada golongan yang layak untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan ekonomi."

ULASAN:

1. Kenyataan dan kaedah menilai hukum oleh Sahibus Samahah Mufti ini sangat mengelirukan dan tersasar daripada kaedah pengeluaran hukum. Penetapan sesuatu hukum percukaian dalam Islam tidak hanya melihat kepada bagaimana hasil cukai dibelanjakan tetapi juga kepada bagaimana kaedah cukai itu diperolehi.

2. Kaedah umum yang ditetapkan oleh Islam ialah hasil dan cara perbelanjaan akan dipersoal di hari Qiamat. Dalilnya ialah Sabda Nabi SAW:
لا تزال قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع عن ماله من أين اكتسبه وفيما أنفقه
Maksudnya: Tidak berganjak dua kaki anak Adam pada hari Qiamat sehinggalah dia disoal tentang 4 perkara....(antaranya) tentang hartanya DARIMANAKAH DIPEROLEHI dan PADA APAKAH DIBELANJAKAN."

3. Jelas daripada hadis di atas bagaimana sesuatu hasil pendapatan termasuk pendapatan negara diperolehi mesti dipersoalkan adakah menepati Syarak atau pun tidak. Sekiranya ia menyalahi Syarak maka ianya adalah haram meskipun dibelanjakan untuk maslahat umat.

4. Isunya ialah adakah kaedah kutipan cukai GST bertepatan dengan Islam?

5. Saya berhujah bahawa kaedah kutipan cukai GST adalah bercanggah dengan Islam dari dua sudut iaitu;

Pertama:

A. Kaedah cukai yang dibenarkan dalam Islam ialah dikenakan kepada golongan berkemampuan yang mempunyai lebihan pendapatan untuk akhirnya digunakan untuk maslahah golongan tidak berkemampuan.
تؤخذ من أغنيائهم وتعطى فقراءهم

B. Cukai GST tidak dikenakan berasaskan pendapatan rakyat tetapi dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat.
Ini bercanggah dengan konsep percukaian Islam. Cukai yang dibenarkan oleh Islam mestilah diambil berasaskan pendapatan dan bukan perbelanjaan.

C. Ini kerana cukai yang diambil berasaskan perbelanjaaan tidak akan membezakan tahap kemampuan kewangan pembayar cukai. Ini menjadikan golongan yang tidak berkemampuan juga dikenakan cukai atas perbelanjaan mereka.

D. Sementelah lagi Islam meletakkan antara syarat-syarat bagi membolehkan cukai dikenakan kepada rakyat yang berkemampuan ialah tidak berlaku sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan wang negara yang membawa kerajaan kepada krisis kewangan.

HIMPUNAN BANTAH GST HARAM?

Sahibus Samahah Dato' Mufti dilaporkan berkata: "kalau lihat dari segi syarak, tindakan membantah kerajaan adalah seperti berpaling tadah dan haram. Saya tengok lebih daripada 100 hadis menceritakan bahawa haram menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi"

ULASAN

1. Kenyatan Sahibus Samahah ini sangat mengelirukan. Saya teruja untuk melihat 100 hadis yang dikatakan menceritakan bahawa haram menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi sekiranya ada.

2. Saya bimbang Sahibus Samahah terkeliru memahami hadis-hadis yang tidak membenarkan rakyat menentang pemerintah menggunakan senjata atau disebut dalam kitab Fiqh sebagai "bughah" tetapi sebaliknya menegaskan kewajipan rakyat mengengkari dengan hati dan lidah.

3. Antaranya Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih Muslim:

ستكونُ أمراءُ . فتعرفونَِ وتُنْكرونَ . فمن عَرِف بَرِئ . ومن نَكِرَ سَلِمَ . ولكن من رَضِي وتابعَ قالوا : أفلا نقاتلهُم ؟ قال : لا . ما صلوا
Maksudnya: "nanti akan ada pemerintah-pemerintah. Kamu suruh mereka melakukan makruf dan kamu bantah kemungkaran mereka. Maka sesiapa yang membenci (dengan hati) dia terlepas (dari dosa). Sesiapa yang membantah (dengan lidah) dia selamat (dari dosa). Tetapi sesiapa yang redha dan menurut (dia tidak terlepas dan selamat)."

Para Sahabat pun bertanya: "apakah tidak boleh kami memerangi mereka?

Tegas baginda: "Tidak boleh selagimana mereka solat."

4. Hadis di atas sangat jelas menunjukkan 2 hukum:

A. Pemerintah yang melakukan kemungkaran perlu ditegur dan dibantah. Mereka yang membantah dengan hatinya terlepas dari dosa. Mereka yang membantah dengan lidahnya terselamat dari dosa.

B. Memerangi pemerintah yang melakukan kemungkaran dengan senjata tidak dibolehkan selagi mana mereka solat dan menegakkan ibadah solat dalam masyarakat Islam sebagaimana sabit dalam satu riwayat hadis yang lain

5. Maka hadis di atas menjadi dalil keharusan dan tanggungjawab membantah pemerintah menggunakan lidah apabila berlaku kemungkaran. Sekiranya tidak mampu dengan lidah perlu dibantah sekurang-kurangnya dengan hati. Himpunan Bantah GST adalah himpunan bantahan dengan lidah bukannya dengan senjata. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan disunatkan. Namun, membantah dengan hati tetap menjadi kewajipan.

6. Salah seorang Tabi'i besar iaitu Abu Muslim al-Khaulani rahimahullah pernah membantah secara berdepan di khalayak ramai tindakan Khalifah Mu'awiyah radiayallahu anhu (r.a) sahabat Nabi yang menjadi pemerintah negara Islam, membekukan agihan wang negara yang sepatutnya kepada rakyat. Tindakannya tidak dianggap sebagai penderhakaan terhadap Mu'awiyah r.a. selaku pemerintah negara umat Islam malah Mu'awiyah r.a. memperakui teguran terbuka Abu Muslim  lalu menarik kembali polisi pembekuan agihan itu.

7. Sementelah pula Himpunan GST adalah himpunan yang berlangsung secara aman yang dibenarkan menurut lunas undang-undang negara sebagai satu mekanisma rakyat menyampaikan pandangan dan bantahan terhadap dasar-dasar kerajaan.

8. Saya secara peribadi dengan rendah dirinya bersedia jika berpeluang untuk berbincang secara akademik dan ukhuwwah bersama Sahibus Samahah Dato' Mufti yang saya hormati keilmuannya dan jasanya kepada umat Islam di Pahang bagi merungkaikan dua isu ini bagi kebaikan umat Islam.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 3 hb Mei 2014

No comments:

Post a Comment