Saturday, 5 July 2014

Rasulullah SAW Paling Berkebajikan pada bulan Ramadhan

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 3)
Rasulullah SAW Paling Berkebajikan di Bulan Ramadhan

عن عبدالله بن عباس رضي الله عنهما قال : " كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن ، فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة " . رواه البخاري

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas radiyallahu 'anhuma berkata; "Adalah Rasulullah saw orang paling berkebajikan ( أجود ). Baginda bersifat paling berkebajikan ( أجود ) pada bulan Ramadhan ketika baginda saw bertemu Jibril. Baginda bertemu Jibril pada setiap malam Ramadhan lalu bertadarus menyemak bacaan al-Quran. Rasulullah benar-benar lebih berkebajikan ( أجود )
melakukan kebaikan berbanding angin yang diutuskan"

Hadis Sahih Bukhari

Pengajaran Hadis

1. Sifat berkebajikan ( الجود )menurut Syara' ialah  memberi apa yang patut dan wajar kepada orang yang patut dan wajar. Ia lebih luas berbanding dermawan sedekah. Sedekah lebih terhad kepada harta namun berkebajikan merangkumi segala bentuk bantuan tenaga dan juga harta.

2. Tadaarus al-Quran atau menyemak bacaan al-Quran bermaksud seorang membaca manakala orang lain mendengar bacaan tersebut. Hikmahnya ialah memperbaharui semangat dan motivasi untuk menjadi orang yang lebih kaya jiwa dan cintakan Akhirat khususnya apabila memahami cerita dan pengajaran al-Quran. Kaya jiwa dan cinta Akhirat adalah peransang yang mendorong seseorang melakukan kebajikan.

3. Analogi dengan "angin yang diutuskan" adalah simbolik kepada:

a. Simbolik sifat berkebajikan yang berterusan tidak terputus-putus serta istiqamah kerana angin sifatnya ialah sentiasa datang dan bergerak menolak awan yang membawa hujan rahmat tanpa henti.

b. Simbolik Kebajikan yang merangkumi semua pihak kerana hujan yang berlaku disebabkan angin memberi manfaat kepada semua sama ada manusia atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Juga merangkumi mereka yang beriman dan kufur, mukmin mahupun fasik.

c. Simbolik kepada bersegera melakukan kebajikan sebagaimana angin begitu laju dan cepat meniupkan awan yang membawa hujan.

4. Moga Allah jadikan kita di kalangan orang-orang yang paling berkebajikan sepanjang Ramadhan.

5. Jika kebajikan tidak mampu dilunaskan dengan harta maka lunaskanlah dengan tenaga mahupun fikiran. Jika harta tak mampu disediakan maka jadilah wakil-wakil dan orang-orang tengah yang mengusahakan harta sumbangan daripada orang yang mampu dan salurkan ia ke jalan Allah.

Disediakan oleh:
YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 7 Ramadhan 1435
5hb Julai 2014

Sunday, 29 June 2014

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 2)

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

1. Berbuka puasa adalah sebahagian ibadah bagi orang yang berpuasa. Setiap ibadah mestilah dilaksanakan berdasarkan sunnah Rasulullah saw untuk mendapatkan semaksima pahala daripada Allah. Sunnah Nabi saw dalam berbuka adalah seperti berikut:

A. Nabi saw berbuka dengan Rutob (kurma masak yang masih basah, lembut dan manis). Kalau tiada Rutob diambilnya Tamar (kurma yang sudah mula kering, mengecut dan keras). Jika tiada juga maka dimulakan dengan air.

Perkara ini dijelaskan oleh Hadis riwayat Abu Dawud daripada Anas bin Malik r.a.

عن أنس بن مالك يقول: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي، فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات، فإن لم تكن حساً حسوات من ماء
Maksudnya: "Rasulullah saw berbuka dengan beberapa biji Rutob sebelum mengerjakan solat. Jika tidak ada Rutob diambilnya Tamar. Jika tiada juga baginda saw mengambil beberapa teguk air"

Hadis ini juga menolak pandangan yang menyatakan didahulukan air zamzam ketika berbuka jika di Mekah.

B. Nabi saw menyegerakan berbuka sebaik sahaja tenggelamnya matahari sebelum mengerjakan solat Maghrib sepertimana sabda Nabi saw dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Maksudnya: "Orang ramai dalam keadaan baik selagi mana mereka menyegerakan berbuka."

Menurut Imam at-Tibi, barangkali sebab Allah menyukai orang yang menyegerakan berbuka kerana apabila seseorang berbuka sebelum solat maka dia boleh menunaikan solat dalam keadaan hati yang hadir. Ia juga menyanggahi pelaku-pelaku Bidaah yang menyatakan wajib melewatkan berbuka. (Syarh Mishkat al-Masabih juz 4 hlm 183)

Adat kebiasaan orang Melayu ialah berbuka dengan hidangan berat iaitu nasi. Saya berpandangan sekiranya makanan tersebut telah terhidang sebaiknya dimakan terlebih dahulu kemudian barulah dikerjakan solat.

Tetapi sekiranya dijamah hidangan menyebabkan kelewatan keterlaluan pada solat Maghrib yang pendek masanya maka eloklah didahulukan dengan berpuasa yang ringan yang boleh menghilangkan lapar yang asas agar terjaga khusuk solat, kemudian dikerjakan solat seterusnya diikuti dengan hidangan berat tersebut jika perlu. Ini sesuai apabila berhadapan dengan majlis iftar yang ramai jamaah di surau dan masjid.

C. Nabi saw tidak memenuhkan perut baginda dengan makanan dan minuman apabila makan. Nabi saw bersabda dalam Hadis Hasan riwayat Ahmad, Tirmizi dan  Ibnu Majah:
ما ملأ آدمي وعاء شراً من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه، فإن كان لا محالة، فثلث لطعامه، وثلث لشرابه، وثلث لنفسه
Maksudnya: "Tidak memenuhi seorang anak Adam satu bekas lebih buruk daripada perut. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suapan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak dapat tidak maka jadikanlah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya."

Daripada penjelasan di atas wajarlah setiap orang yang berbuka berpada-pada dengan makanan yang disediakan untuk berbuka. Makanan yang terlalu banyak kerana mengikutkan kehendak nafsu ketika masih berpuasa boleh membawa kepada pembaziran yang diharamkan.

D. Berdoa dengan apa sahaja doa sebelum berbuka.
Nabi saw bersabda dalam Hadis riwayat Tirmizi yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani:
ثلاثة لا ترد دعوتهم الصائم حين يفطر
Maksudnya: "3 golongan tidak ditolah doa mereka antaranya orang yang berpuasa ketika dia berbuka"

E. Disunatkan memberi makan kepada orang berbuka sebagaimana saranan Nabi saw dalam Hadis dengan Sanad Sahih riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أمه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Maksudnya: "Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang berpuasa adalah baginya seperti pahala puasa orang tersebut tanpa kurang sedikit pahala puasa orang berpuasa itu."

Mudah-mudahan kita boleh mengamalkan segala sunnah berbuka ini sebaik-baiknya.

Disediakan oleh

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 1hb Ramadhan 1435
29hb Jun 2014

PM Ziarah Tuan Guru Preside

Perbezaan fahaman politik sememangnya tidak wajar menjadi halangan untuk ziarah fillah apatah lagi apabila diuji dengan sakit. Selayaknya pimpinan tertinggi negara menziarahi Tuan Guru Presiden yang kurang sihat. Tahniah kepada PM. Moga sunnah yang baik menjadi amalan seluruh umat Islam khususnya ahli-ahli politik sebagai ikutan kepada rakyat. 6.7.2014 PM akan hadir ke Parlimen Kuala Nerus dan mengerjakan solat Tarawih di Masjid Kg saya Bukit Tok Beng. Saya akan turut hadir solat bersama insyallah sebagai meraikan tetamu.

Sumbangab Derma Untuk Daruk Fuqaha

Sumbangan untuk pengurusan pendidikan Darul Fuqaha diperlukan

Sepetang Bersama Nelayan Mengabang Telipot

Jumaat 27hb Jun 2014 saya mengambil kesempatan di waktu petang untuk mendengar luahan daripada para nelayan di Mengabang Telipot. Turut hadir wartawan Sinar Harian Cik Huda. Fokus permasalahan bertumpu isu pukat tunda sama ada oleh nelayan besar tempatan atau nelayan asing yang merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan di samping memberi kesan kepada hasil tangkapan semasa kerana kerosakan ekosistem disebabkan oleh pukat tunda.

Kemerosotan hasil tangkapan akhir-akhir ini meskioun berada pada bulan jun dan bukannya musim tengkujuh memberi kesan kepada pendapatan mereka yang sudah sedia kecil. Secara purata pendapatan nelayan sekarang sekitar rm15 sehari. Kadang-kadang berlaku hasil yang diperolehi tak cukup untuk menampung kos diesel dan lain-lain.

Nelayan memerlukan sumber pendapatan lain sebagai tampungan. Pendapatan mereka sememangnya kecil. Barangkali koperasi nelayan yang aktif dengan peruntukan kerajaan serta pengurusan bisnes yang profesional mampu memberikan sumber pendapatan tambahan kepada mereka.

Selamat Me yambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

Darul Fuqaha - Utama - http://darulfuqaha.net/

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 1)

Selamat Menyambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

1. Malam ini bermula 1 Ramadhan 1435 H. Saya mengucapkan selamat beribadah kepada seluruh umat Islam. Moga Ramadhan kali ini mampu menjadikan kita lebih bertaqwa kepada Allah.

2. Dalam banyak hadis Nabi saw bulan Ramadhan disebut sebagai bulan "mubaarak" iaitu bulan yang diberi keberkatan.

3. Keberkatan atau barakah merujuk kepada kebaikan yang banyak serta berpanjangan. Kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai ibadah bermula malam ini dengan 3 ibadah besar iaitu Solat Tarawih dan Solat Witir yang merupakan ibadah sunat pada malam ini dan seterusnya berpuasa yang merupakan ibadah wajib dengan menahan lapar dan menjaga pancaindera daripada maksiat pada esok harinya.

4. Ibadah-ibadah iringan lainnya antaranya ialah
1. Membaca al-Quran khususnya bertadarus seperti amalan Nabi saw bersama Jibril a.s.
2. Solat malam
3. Bersahur berasaskan sunnah Rasulullah saw
4. Berbuka puasa berasaskan sunnah Rasulullah saw
5. Membanyakkan Sedekah
6. Membanyakkan kebajikan
7. Membanyakkan zikir
8. Membanyakkan kuliah ilmu
9. Menjaga solat berjamaah
10. Beriktikaf di surau dan masjid

5. Ibadah-ibadah ini sekiranya dilakukan sepanjang Ramadhan secara lebih berfokus dan istiqamah mampu melahirkan muslim bertaqwa yang bukan hanya menjadi hamba di bulan Ramadhan tetapi juga hamba-hamba Allah sepanjang tahun sehingga ke bulan Ramadhan seterusnya.

6. Barakah Ramadhan serta kebaikannya boleh disaksikan menerusi beberapa kelebihan yang disebut dalam hadis-hadis Sahih antaranya 3 perkara iaitu pertama, terbuka pintu-pintu Syurga, kedua, ditutup pintu-pintu Neraka dan ketiga dibelenggu Syaitan-syaitan.

7. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Anas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أنس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " هذا شهر رمضان جاءكم تفتح فيه أبواب الجنة وتغلق فيه أبواب النار وتسلسل فيه الشياطين "
Maksudnya: "Bulan Ramadhan ini telah datang kepada kamu. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka tertutup dan dibelenggu syaitan-syaitan"

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

8. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" إذا كان أول ليلة من شهر رمضان صفدت الشياطين ومردة الجن ، وغلقت أبواب النار فلم يفتح منها باب ، وفتحت أبواب الجنة فلم يغلق منها باب ، وينادى مناد كل ليلة : يا باغي الخير أقبل ويا باغي الشر أقصر ، ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة "

Maksudnya: "apabila malam pertama bulan Ramadhan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin-jin jahat penderhaka, ditutup pintu-pintu neraka lalu tidak dibuka walaupun satu pintu, dibuka pintu-pintu syurga lalu tidak ditutup walaupun satu pintu. Setiap malam ada Malaikat yang menyeru; wahai orang yang mencari kebaikan, datanglah menyahut! Wahai orang yang mencari kejahatan, hentikanlah! Allah Taala mempunyai orang-orang yang dilepaskan daripada neraka. Ia berlaku setiap malam"

Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Baihaqi serta dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

9. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah juga bahawa Nabi saw bersabda:
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" أتاكم شهر رمضان شهر مبارك فرض الله عليكم صيامه تفتح فيه أبواب الجنة ،وتغلق فيه أبواب الجحيم ، وتغل فيه مردة الشياطين ، وفيه ليلة خير من ألف شهر من حُرم خيرها فقد حُرم "
Maksudnya: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan "mubaarak" yang diberkati. Allah fardhukan ke atas kamu berpuasa. Dibuka pintu-pintu Syurga. Ditutup pintu-pintu neraka. Dibelenggu Syaitan-syaitan derhaka. Terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terhalang mendapat kebaikannya maka dia pasti terhalang mendapat kebaikan."

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

10. Menurut Imam Nawawi r.h. yang menukilkan huraian Qadi 'Iyaadh r.h., maksud terbuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu Syaitan-syaitan boleh jadi bermaksud makna hakikat sebenar. Terbukanya pintu syurga, tertutup pintu neraka dan dibelenggunya Syaitan adalah petanda bermulanya bulan tersebut dan membesar-besarkan kemuliaannya. Belenggu kepada Syaitan berlaku supaya mereka tidak boleh menyakiti dan membisikkan kejahatan kepada orang-orang beriman.

11. Ia juga boleh jadi memberi makna kiasan iaitu sebagai isyarat banyaknya pahala dan keampunan. Syaitan pula semakin berkurangan gangguan dan bisikan jahat mereka seolah-olah mereka terbelenggu. Terbelenggunya mereka bererti terbelenggu daripada melakukan beberapa perkara dan sebilangan manusia.

12. Tafsiran makna kiasan ini diperkuat oleh riwayat hadis yang menyebut "terbuka pintu rahmat" dan juga riwayat lain menyebut "terbelenggu Syaitan-syaitan derhaka".

13. Menurut Qadi 'Iyaadh r.h. lagi, barangkali terbukanya pintu Syurga adalah perumpamaan bagi terbukanya ruang ketaatan untuk hamba-hamba di bulan ini yang tidak berlaku pada bulan yang lain secara umumnya seperti ibadah puasa, qiyam Ramadhan, perlakuan kebajikan dan banyak perlakuan yang bercanggah dengan tuntutan agama ditinggalkan. Ini semua adalah sebab untuk masuk ke  Syurga dan terbukanya pintu Syurga. Demikian juga tertutupnya pintu Neraka dan terbelenggunya Syaitan adalah kiasan bagi banyak kesalahan-kesalahan agama yang ditinggalkan.
(Rujuk Syarah Sahih Muslim juz 7 hlmn 188)

14. Nafsu keinginan manusia dididik menerusi ibadah puasa. Itulah barakah bulan Ramadhan.  Terbelenggunya Syaitan sekiranya ditafsirkan dengan makna hakiki adalah satu lagi barakah bulan Ramadhan. Ia merupakan satu bantuan besar daripada Allah untuk hamba-hambanya melakukan ketaatan kerana Syaitan berperanan menghasut nafsu manusia melakukan kejahatan.

15. Apabila nafsu telah terdidik dan Syaitan pula terbelenggu maka itulah nikmat besar barakah bulan Ramadhan. Di saat itu laluan ke Syurga sudah pasti dimudahkan.

Ya Allah jadikanlah kami di kalangan ahli SyurgaMu ya Allah.

Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 28 Jun 2014
mlm 1hb Ramadhan 1435 H
10.59 mlm.

Saturday, 28 June 2014

Maip larang hotel letak bahan bacaan selain Islam

Maip larang hotel letak bahan bacaan selain Islam
April 23, 2014
KUANTAN - Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip) melarang pemilik hotel di negeri itu menempatkan bahan bacaan agama selain Islam di dalam bilik penginapan pelanggan mereka.
   
Timbalan Yang Dipertua Maip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, surat tentang perkara itu telah diedar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang.
   
"Surat larangan itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri Pahang selaras dengan perkara 11(4) Pelembagaan Persekutuan.
   
"Dengan itu sesiapa sahaja orang bukan Islam atau pihak pengurusan hotel adalah dilarang meletakkan kitab Bible, sebarang bahan atau dokumen berkaitan agama bukan Islam di ruang bacaan awam khususnya di bilik penginapan dan sekiranya telah ada, maka ia hendaklah dikeluarkan segera," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat teknikal persiapan perasmian Karnival Muamalat dan Cinta Rasul yang dijadualkan diadakan di sini dari 1 hingga 4 Mei ini.

Katanya tindakan meletak bahan-bahan itu boleh dianggap sebagai perbuatan menyebarkan fahaman agama lain kepada orang Islam selaku sebahagian daripada pihak awam yang menginap di hotel terbabit.
   
"Mengembangkan atau menyebarkan dalam apa cara kepada orang yang beragama Islam adalah satu kesalahan, maka perbuatan meletakkan kitab Bible atau buku agama lain boleh ditafsir kepada tujuan penyebaran.
   
"Kita sedia maklum memang ada terdapat hotel yang menyediakan bahan bacaan berkenaan khususnya di dalam laci bilik hotel dan perkara ini sudah lama
berlarutan, malah ada yang dikesan telah melebihi 10 tahun," katanya.
   
Beliau berkata jika sabit kesalahan mereka yang berkenaan boleh dikenakan hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
   
Menurutnya setakat ini pihak pengurusan hotel akur dengan larangan itu selain berjanji mengeluarkan bahan bacaan terbabit secepat mungkin. - Bernama

Thursday, 26 June 2014

Makan Malam Amal Untuk Kompleks Tarbiyah Kuala Nerus

Ahad 22 Jun 2014 PAS Kawasan Kuala Nerus mengadakan majlis makan malam amal bersama YB Ustaz Saiful Bahri, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga merupakan Wakil Rakyat Dun Paka untuk mengumpul dana bagi menyiapkan Kompleks Tarbiyah Kuala Nerus. Lebih 70 buah meja berjaya dijual dengan harga rm800 sebuah meja.

Kuliah Ambang Ramadhan - Ust Halim Din

Kuliah ilmu di ambang Ramadhan oleh Ust Halim Din di Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Parlimen Kuala Nerus

"SEBULAN BERSAMA HUDUD" Ke Arah Melaksanakan Hukum Jenayah Islam

"SEBULAN BERSAMA HUDUD"
Ke Arah Melaksanakan  Hukum Jenayah Islam

- Sepanjang Bulan Ramadhan
- Surau Haji Hassan Shukri, KUIZM Taman Melewar

Ustaz Azhar Yahya
019-364314
28 JUN 2014 | 30 SYABAN 1435
“Pelaksanaan Syariah Suatu Tuntutan Akidah"

Ustaz Abdul Malik Abdul Karim
011-23742695
29 JUN 2014 | 01 RAMADHAN 1435
“Janji-Janji Allah & Rasul Mengenai Kerahmatan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah"

Dr Atiullah Othman
013-3554186
30 JUN 2014 | 02 RAMADHAN 1435
“Sejarah Pelaksanaan Syariat Di Zaman Rasulullah, Zaman Keemasan Islam & Nusantara"

Ustaz Mohd Ali Jamil
019-2153131
01 JULAI 2014 | 03 RAMADHAN 1435
"Ciri-Ciri Keistimewaan Undang-Undang Jenayah Syariah"

Dr Shahbudin Ngah
-
02 JULAI 2014 | 04 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Jenayah Syariat Masa Kini : Brunei, Acheh & Arab Saudi”

Ustaz Khairi Hashim (Wakil KUDQI)
014-5042674
03 JULAI 2014 | 05 RAMADHAN 1435
“Pengalaman Pelaksanaan Jenayah Syariah Di  Sudan, Nigeria & Pakistan. Adakah Suatu Kegagalan?”

Ustaz Muhammad Hadim (Wakil KIDU)
013-4117139
04 JULAI 2014 | 06 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan & Terengganu : Suatu Harapan & Realiti”

Ustaz Ulwan Hassim
013-9630285
05 JULAI 2014 | 07 RAMADHAN 1435
“Halangan-Halangan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah Kelantan”

Saudara Kamaruzaman Mohamad
019-2828536
06 JULAI 2014 | 08 RAMADHAN 1435
“Konsep Keampunan Dan Penjagaan Aib Pesalah”

Ustaz Mohd Noor Hussin
-
07 JULAI 2014 | 09 RAMADHAN 1435
“Mencuri & Merompak : Antidot Dari Langit Dalam Penyelesaiannya”

Ustaz Kamal Nazmi Nik Din
012-2771094
08 JULAI 2014 | 10 RAMADHAN 1435
“Zina : Pencegahan Terbaik Daripada Langit”

Ustaz Harme Aman Razali At-Takiri
019-2121972
09 JULAI 2014 | 11 RAMADHAN 1435
“Rogol : Penyelesaian Menurut Islam & Hukumannya”

Ustaz Ahmad Muzani
011-15746445
10 JULAI 2014 | 12 RAMADHAN 1435
“Murtad : Antara Ketegasan Syarak & Keraian Hak-Hak Beragama”

Ustaz Azhar Yahya al Batawi
019-3642314
11 JULAI 2014 | 13 RAMADHAN 1435
“Qazaf : Sanggupkah Kita DiSajikan Kes Liwat Anwar Hingga Siri Ke 40?”

Dr Ahmad Nazri Mansor
011-29004990
12 JULAI 2014 | 14 RAMADHAN 1435
“Pemerintahan Islam Tidak Wajar Hapuskan Arak Dalam Negaranya!”

Penceramah Belum Ditetapkam
-
13 JULAI 2014 | 15 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Hukum Ilahi vs Konvensional”

YB Ustaz Idris Ahmad
019-2622141
14 JULAI 2014 | 16 RAMADHAN 1435
“Hukuman Sebat : Syariat vs Konvensional, Suatu Hikmah Sebaliknya”

Dr Muhammad Fathi Yusof
013-6669669
15 JULAI 2014 | 17 RAMADHAN 1435
“Hikmah Islam Tidak Utamakan Penjara Sebagai Hukuman”

Penceramah Belum Ditetapkam
-
16 JULAI 2014 | 18 RAMADHAN 1435
“Kedudukan Non-Muslim Dalam Jenayah Syariah”

Ustaz Imran Al-Malizi
013-3396518
17 JULAI 2014 | 19 RAMADHAN 1435
“Kehebatan Sistem Pembuktian dan Pensabitan Dalam Jenayah Syariah”

Penceramah Belum Ditetapkan
-
18 JULAI 2014 | 20 RAMADHAN 1435
“Keadilan Qisas : Rahmat Yang Realiti Tetapi Tidak Disedari”

Ustaz Adhlan Mokhtaruddin
012-6493356
19 JULAI 2014 | 21 RAMADHAN 1435
“Takzir Sebagai Instrumen Kecantikan Undang-Undang Ilahi”

YB Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi
019-99168182
20 JULAI 2014 | 22 RAMADHAN 1435
“Kejamkah Potong Tangan dan Kaki? Realiti Sebenar Rahmat Ilahi”

Ustaz Abdul Muizz Muhammad
013-2263862
21 JULAI 2014 | 23 RAMADHAN 1435
“Fikrah Haddamah : Dalam Menyanggah Pelaksanaan Jenayah Syariah”

Ustaz Mohd Najhan Abd Halim
-
22 JULAI 2014 | 24 RAMADHAN 1435
“Barbarikkah Potong Tangan, Kaki? Hukuman Potong Tangan Dalam Islam”

FORUM : Ustaz Zulkifli Ismail, Dr Faisal Ashaari
23 JULAI 2014 | 25 RAMADHAN 1435
"Forum Khas"

Abdul Rahman bin Auf Tokoh Dermawan

TAZKIRAH KEHIDUPAN

Abdul Rahman bin Auf (r.a); Seorang Sahabat Nabi saw, Mujahid, Ahli Perniagaan, Dermawan & Zuhud

Pengenalan

1. Nama dan keturunan Abdul Rahman bin 'Auf radiyallahu 'anhu (moga Allah meredhainya) ialah Abdul Rahman bin 'Auf bin 'Abd 'Auf bin 'Abd bin Harith bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai. Nama asal beliau sebelum Islam ialah Abdu Amrin atau Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi saw kepada Abdul Rahman.

2. Beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang yang awal menerima Islam setelah diperkenalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq (r.a) bersama-sama 4 orang yang lain iaitu Uthman bin Affan, al-Zubair bin 'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah dan Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu 'anhum.

3. Beliau juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi saw yang diberi khabar gembira mendapat syurga selain Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Sa'id bin Zaid dan Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah (r.a). (Rujuk Hadis Bukhari).

4. Beliau dilahirkan pada tahun ke 10 tahun gajah. Menurut Ibn al-Athiir beliau meninggal pada usia 75 tahun pada tahun 31 Hijrah di zaman Khalifah Uthman. Terdapat 2 riwayat sama ada beliau mati dan dikebumikan di bumi Syam (Suweilih, Jordan) atau mati di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi'.

5. Beliau berhijrah ke Habsyah kemudian kembali ke Mekah seterusnya berhijrah kali kedua ke Habsyah. Setelah kembali ke Mekah beliau menjadi orang yang awal berhijrah ke Madinah apabila diarahkan oleh Nabi saw.

6. Beliau cedera ketika perang Uhud dengan luka di 20 tempat seluruh badan sehingga meninggalkan kesan tempang berkekalan pada betisnya. 2 gigi seri tengahnya patah sehingga memberi kesan yang jelas pada pertuturannya.

7. Beliau salah seorang daripada 6 orang yang dicalonkan  oleh Umar bin al-Khattab sebelum beliau wafat setelah ditikam untuk menggantikan beliau sebagai Khalifah. 5 lagi ialah Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas (r.a). Kelima mereka bersetuju untuk memilih Abdul Rahman sebagai khalifah berdasarkan beberapa hujah. Namun, beliau telah menarik diri dan memilih Uthman menjadi Khalifah lalu dipersetujui oleh mereka semua.

8. Kehidupan sehariannya berlegar pada 3 perkara, sama ada di masjid mengerjakan solat wajib dan sunat atau dalam peperangan berjihad atau berniaga.

MINAT & KEMAHIRAN BERNIAGA

1. Beliau seorang yang sangat mahir, bijak serta berjaya dalam perniagaan sehinggakan beliau sendiri berkata tentang dirinya sendiri: "sekiranya saya mengangkat satu batu pasti saya temui di bawahnya perak dan emas."

2. Anas bin Malik radiyallahu anhu menceritakan apabila Sa'ad bin Rabi' (r.a) menawarkan separuh harta dan salah seorang isterinya untuk diceraikan dan dinikahi oleh Abdul Rahman (r.a) sebagai satu tuntutan ikatan persaudaraan yang telah diarahkan oleh Nabi saw untuk dimenterai antara Ansar dan Muhajirin, Abdul Rahman (r.a) menolak dengan berkata: "moga Allah berkati keluarga dan harta kamu. Tunjukkan kepada saya pasar." Kata Anas lagi: "Lalu beliau keluar ke pasar seterusnya membeli, menjual dan mendapat untung".

Dalam hadis riwayat Bukhari menjelaskan lagi selepas beberapa hari beliau berjaya mengahwini seorang wanita Ansar dengan mas kahwin emas seberat timbangan sebutir biji kurma. Apabila diketahui oleh baginda beliau digesa supaya mengadakan walimah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing.

Cerita ini menggambarkan minat dan kemahirannya berniaga sehingga membolehkannya mendapat untung yang banyak dalam masa singkat.

2. Delegasi perniagaannya datang daripada Mesir dan Syam membawa barang import ke Madinah mengandungi pakaian dan makanan seperti gandum yang diperlukan oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab.

3. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) pada satu hari bumi Madinah dikejutkan dengan angin kuat yang menerbangkan debu-debu yang disangkakan ribut tetapi rupanya kerana kedatangan rombongan perniagaan Abdul Rahman (r.a) dari Syam dengan 700 ekor unta yang penuh dengan barang dagangan yang berat. Keadaan itu mengkagumkan Aisyah (r.a) sehingga beliau berkata: "rombongan perniagaan sehingga menimbulkan gegak-gempa seumpama ini?". Orang ramai menjawab: "Benar! Aisyah lalu mengulas: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Abdul Rahman berjalan ke syurga dalam keadaan merangkak". Berita itu sampai ke pengetahuan Abdul Rahman. Beliau lantas segera bertemu dengan Aisyah (r.a) lalu berkata: "kamu mengingatkan saya dengan ungkapan baginda saw yang saya tidak dapat lupakan sama sekali. Saya bersaksi wahai Aisyah bahawa seluruh rombongan perniagaan dengan unta dan isi barangannya saya sedekahkan di jalan Allah."
Harta itu lalu diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah.

* (Keseluruhan  cerita (Aisyah r.a) bersumberkan Anas bin Malik (r.a) ini diriwayatkan oleh beberapa sumber antaranya Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Musnad al-Bazzar dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah tapi keseluruhan sanad riwayatnya adalah lemah. Maka hadis Abdul Rahman ke syurga dalam keadaan merangkak adalah lemah sandarannya kepada Nabi saw. Bahkan beberapa jalur riwayat lain tentang hadis Abdul Rahman (r.a) ke syurga dalam keadaan merangkak dinilai palsu dan mungkar. Yang perlu diambil pengajaran ialah cerita kekayaan empayar perniagaan Abdul Rahman dan sifat dermawannya yang sabit dalam banyak lagi riwayat lain.)

KEKAYAAN & SIFAT DERMAWAN

1. Sifat dermawan Abdul Rahman (r.a) digambarkan dengan kata-kata yang masyhur tentang dirinya bahawa:

قيل: {أهل المدينة جميعا شركاء لابن عوف في ماله، ثُلث يقرضهم، وثُلث يقضي عنهم ديونهم، وثلث يصِلَهم ويُعطيهم}.

"Dikatakan penduduk Madinah semuanya rakan kongsi bagi Abdul Rahman pada hartanya; 1/3 penduduk Madinah diberikan oleh beliau pinjaman tanpa faedah (Qard Hasan), 1/3 lagi dibantu oleh beliau dengan dibayar hutang mereka dengan orang lain dan 1/3 lagi disambung hubungan rahim dan diberikan pemberian".

2. Al-Zahabi dalam Siyar A'laam al-Nubalak menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin 'Auf berkata: "Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin 'Auf. 1/3 mereka diberikan pinjaman, 1/3 dibayar hutang mereka dan 1/3 disambung hubungan dengan pemberian".

3. Al-Zahabi juga meriwayatkan daripada Imam Qatadah bahawa Abdul Rahman (r.a) pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riya'. Lalu Allah turunkan ayat:
(الّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطّوّعِينَ) [التوبة: 79]
Bermaksud: "orang-orang yang mencela golongan yang banyak melakukan perlakuan sukarela" Surah Taubah: 79.

4. Al-Zuhri meriwayatkan beliau kemudiannya menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk jihad.

5. Satu hari beliau menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi saw dan orang-orang fakir di kalangan muslimin.

6. 40,000 dinar menyamai 170,000 gram emas (1 dinar=4.25 gram) atau 178, 000 gram emas (1 dinar=4.45 gram) hari ini. Sekiranya 1 dinar emas (bersamaan 4.25 g) dinilai dengan rm632 (nilai dinar semasa yang bole dibeli oleh Kelantan Golden Trade pada 10.5.2014) maka nilainya hari ini ialah RM25,280,000 (RM25.28juta).

7. Sebelum mati beliau mewasiatkan agar hartanya diagihkan  50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah.

8. Untuk para Sahabat Nabi yang pernah menghadiri perang Badar dan masih hidup ketika Abdul Rahman mati diwasiatkan 400 dinar seorang (RM252,800). Hinggakan Uthman bin Affan yang juga hartawan dan kaya-raya mendapat bahagian wasiat tersebut kerana beliau juga adalah ahli Badar. Jika diandaikan ahli Badar seramai 300 orang berbaki 150 orang Sahabat Ahli Badar yang masih hidup di saat itu dan setiap orang mendapat 400 dinar (RM252,800) maka anggaran hartanya untuk itu ialah 60000 dinar (RM37.92 juta).

9. Ditambah dengan wasiat di jalan Allah jumlahnya ialah 110,000 dinar. Konsep wasiat harta pula tidak boleh melebihi 1/3 harta. Ertinya harta yang dimiliki oleh beliau sebelum mati dijangka melebihi 330,000 dinar yang menyamai RM208,560,000 (RM208.56 juta).

KEHIDUPAN ZUHUD

1. Satu hari beliau dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa. Sebaik melihat makanan selera beliau hilang dan menangis. Kata beliau: "Sahabat Nabi saw Mus'ab bin 'Umair (r.a) yang lebih baik daripada diriku mati syahid lalu dikafankan dengan selimut yang jika ditutup kepalanya nampak kedua kakinya. Sekiranya ditutup kaki ternampak pula kepalanya. Hamzah (r.a) pula mati syahid, sedang dia lebih baik daripada diriku, tidak ada kafan melainkan selimut. Kita pula kemudiannya dibentangkan dengan dunia seluas-luasnya dan diberikan pemberian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya saya bimbang segala kebaikan-kebaikan pahala kita telah disegerakan lebih awal di dunia dan tiada bahagian pula di akhirat."

2. Satu hari yang lain dihidangkan makanan di saat beliau duduk bersama sahabat-sahabat. Beliau tiba-tiba menangis. Sahabat-sahabat beliau bertanya: kenapa menangis wahai Abu Muhammad? Ujar beliau: "wafatnya Nabi saw dalam keadaan baginda dan para isteri tidak pernah kenyang kerana sebuku roti."

PENUTUP

Sesungguhnya kehidupan sahabat Nabi ahli syurga ini benar-benar memberi keinsafan kepada kita:

1. Kita diberikan kelapangan masa, adakah dihabiskan untuk agama dan akhirat dengan masjid dan jihad?

2. Kita diberikan kelapangan rezki adakah dihabiskan dengan kemewahan dunia peribadi dan keluarga tanpa sedekah dan derma untuk ummah yang miskin dan jihad agama?

3. Kita diberikan makan-minum yang baik namun ingatkah kita dengan kezuhudan sahabat  melibatkan dunia?

"Kaya yang tidak masuk ke hati membawa diri membuat persiapan untuk alam Akhirat yang abadi"

Disediakan oleh:
YB Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 9 pagi 10 hb Mei 2014

Rebut anak: Polis tak kuatkuasa perintah - IGP

Bernama | 8:32PM Jun 25 2014
Polis tetap dengan pendiriannya tidak akan menguatkuasakan perintah mahkamah syariah dan sivil berhubung dua kes perebutan anak di Perak dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
   
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata faktanya masih jelas bahawa wujud perbezaan dalam perintah mahkamah ini.
   
"Tapi saya rasa orang ramai masih lagi tidak faham apa yang dimaksudkan konflik ini dan ada pula portal berita online ini yang melaporkan sebelah pihak sahaja menyebabkan timbul kekeliruan. Kedua-dua kes di Perak dan Negeri Sembilan mempunyai fakta yang sama. Kita mula dapat perintah mahkamah syariah yang mengarahkan polis memberi perlindungan kepada anak-anak ini yang diletakkan di bawah jagaan bapa.
   
"Kemudian kita dapat pula perintah mahkamah sivil untuk kita mengemukakan anak-anak ini dan menyerahkannya kepada ibunya. Jadi, nampak atau tidak konflik yang berlaku dalam kedua-dua perintah mahkamah ini yang menyebabkan polis dalam dilema, yang mana satu kita hendak kuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi PDRM 2014 di Seremban hari ini.
   
Katanya dalam perlembagaan, kedua-dua mahkamah ini bertaraf sama dan artikel 121(a) jelas menunjukkan bahawa mahkamah syariah tarafnya sama dengan mahkamah sivil.
   
Khalid berkata, oleh kerana perbezaan dalam kedua-dua perintah mahkamah ini maka polis berpendirian untuk berada di tengah-tengah.
   
"Jadi, kita tidak akan menguatkuasakan mana-mana perintah mahkamah. Itu jelas pendirian kita. Apa yang berlaku di Perak yang dijelaskan oleh Ketua Polis negeri itu bahawa pihaknya memantau kedudukan anak itu dan juga bapanya kerana perkara di sini adalah anak-anak ini. Jadi, kedua-dua perintah mahkamah ini jelas memberi kepentingan kepada anak-anak.
   
"Jadi, walaupun pendirian polis untuk tidak menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini tetapi kita akan memantau kedudukan anak ini dan bapanya. Kita juga ingin memastikan bahawa anak-anak ini dalam keadaan selamat," katanya.
   
Dalam pada itu, Khalid berkata pihak peguam negara sedang meneliti kedua-dua kes ini untuk mencari satu jalan penyelesaian.
   
"Sehingga jalan penyelesaian ini dicapai, sekali lagi saya nyatakan bahawa pendirian polis ialah kita tidak akan menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini. Jadi, saya minta portal berita online ini melaporkan dengan jelas kedudukan kedua-dua perintah mahkamah ini dan bagaimana kedudukan polis tersepit.
   
"Macam mana kita hendak melaksanakan perintah mahkamah syariah yang hendakkan macam ini, manakala perintah mahkamah sivil yang hendakkan begini? Macam mana kita (polis) nak laksanakan?," katanya.
   
Ditanya sama ada tindakan polis dalam perkara boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah, beliau berkata itu terpulang kepada mahkamah tetapi mahkamah juga perlu melihat kedudukan polis dalam keadaan kedua-dua arahan yang berbeza ini.
   
Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu.
    
Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K. Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.   
    
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan.

- Bernama

Wednesday, 25 June 2014

Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa - Adaptasi Dr Basit Abd Rahman

Keputusan “Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.Menurut Al-Quran dan Hadis yang sahih dari Nabi Muhammad SAW, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa: Makan, minum dan melakukan hubungan seks. Oleh yang sedemikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.

Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

1- Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.

2- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).

3- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).

4- Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.

5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.

6- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).

7- Penderma atau menerima pemindahan darah.

8- Oksigen dan Gas Bius.

9- Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.

10- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.

11- Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.

12- Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.

13- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.

14- Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).

15- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA

1- Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan
ubat sedut.

2- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.

3- Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.

4- Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.

5- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut. TAMAT.

Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian. Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.

Akhukum:

Abu Anas Madani,

PSD, 5 Ramadhan 1434H, 14 Julai 2013.

Intisari Akhbar 25 Jun 2014

Intisari Akhbar 25/6

- Ibu remaja OKU hanya bergaji RM1,500 hingga RM2,000 termasuk elaun. Bekerja di Brahim's Airline Catering sebagai pekerja penyajian sejak 10 tahun yang lalu. Majikannya sendiri tidak tahu dia mempunyai anak OKU.

- Mufti N9 berkata pengabaian terhadap kebajikan kanak² merupakan satu kesalahan yang besar dalam Islam dan menunjukkan mereka tidak bersyukur dan redha dengan pemberian itu.

- Kem Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abd Karim membidas kenyataan Wardina yang seolah² menganggap kerajaan memandang ringan kebajikan kanak² OKU di negara ini.

- Najib beri gambaran akan berlaku rombakan kabinet selepa program pelancaran Klia2 semalam.

- Kem Tenaga, Teknologi Hijau dan Air meminta kerjasama semua negeri menyediakan laporan paras air di setiap empangan serta kolam takungan bagi persediaan menghadapi El Nino.

- Zakat fitrah bagi umat Islam di negeri Selangor kekal RM7.

- Pasukan Probowo-Hatta membuat laporan berkenaan pelanggaran kempen yang dilakukan pasukan Jokowi pada peringatan ulangtahun Jakarta ke-487 di Monas dan Bulatan HI. Jokowi dituduh melanggar Surat Keputusan Gabenor Jakarta No. 1389/07 Tahun 2008 mengenai lokasi larangan pemasangan alat kempen serta keputusan Suruhanjaya Pemilihan Umum mengenai Ketentuan Lokasi Kempen dan Pemasangan Alat Peraga Kempen di Jakarta.

- Kump Pro-Russia setuju tawaran genjatan senjata dari Presiden Baharu Ukraine, Petro Poroshenko

Intisari Akhbar 24.6.2014

INTISARI AKHBAR 24 JUN

- Firdaus Dullah hanya mampu berkata 'ibu, makan, ummi...' sahaja.

- Firdaus menghidap penyakit celebral palsy dan seberat 15kg ketika dihantar ke hospital.

- Jiran sekeliling apartment tidak tahu ada remaja OKU dalam rumah tersebut.

- Firdaus menangis ketika bertemu dengan bekas pengasuhnya.

- Mahkamah persekutuan menolak rayuan yang dikemukakan majalah mingguan The Herald yang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu. Ia diumumkan Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang bersidang dengan korum tujuh orang hakim dengan keputusan 4-3.

- Kajian daripada Jab Pendidikan Perlis menunjukkan 20% daripada pelajar tingkatan 1-6 di negeri itu ketagih air ketum.

- Hampir 95% daripada rakyat Malaysia yang berumur 7 tahun telah memasuki sekolah rendah.

-Jerebu dijangka akan terus melanda negara sehingga September. Ini berpunca daripada lingkaran asap jerebu sederhana daripadsa kebakaran di wilayah Riau Sumatera Tengah Indonesia.

- SPR memutuskan tidak ada PRK di Bukit Assek, Sarawak selepas kematian penyandang Wong Ho Leng. Ini mengikut kepada peruntukan Artikel 54(1) Pelembagaan yang menyebutkan PRK hanya diadakan dalam tempoh 3 tahun, sebelum tamat sesi DUN. Mandat yang diberikan di situ adalah selepas dari tempoh mandaf 3 tahun.

- Sikap alergi kepada peti undi antara punca pemilihan semula PKR kecoh di beberapa tempat.

- Ketua Umno bahagian batu berkata pihaknya kini menumpukan usaha untuk menyiapkan projek PPR atas tapak di Kg Chubadak dan keluarga yang rumahnya diroboh akan berpindah semula ke tapak berkenaan.