PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI
Sunday, 2 April 2023
Siri 4 Tazkirah MUU : Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Orang Sakit
Siri 5 Tazkirah MUU : Kelonggaran Kewajipan Puasa Bagi Musafir
Siri 6 Tazkirah MUU : Kelebihan Gandingan Ibadah Puasa dan Tarawih
Siri 7 Tazkirah MUU : Kelebihan Solat Witir
Siri 8 Tazkirah Majlis Ulama UMNO : Solat Witir Sekali Sahaja Pada Satu Malam
Siri 9 Tazkirah Ramadhan Majlis Ulama UMNO : Pahala Menolong Orang Berpuasa Untuk Berbuka
Siri 10 Tazkirah Majlis Ulama UMNO : Rahmat Bulan Ramadhan
MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN
Siri 10 (10 Ramadhan 1444 H)
Rahmat Bulan Ramadhan
Daripada Abu Hurairah (r.a), Nabi saw bersabda;
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوَابُ جَهَنَّمَ، وسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
"Apabila masuk Ramadhan dibuka sesungguhnya pintu-pintu syurga, ditutup sesungguhnya pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"
(Hadis Riwayat Bukhari no 3277, Riwayat Muslim no 1079 dan Riwayat Nasei no 2098)
Huraian & Pengajaran
1. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh pemburu pahala dan syurga kerana padanya terdapat pelbagai kelebihan ibadah yang menggamit rahmat Allah. Justeru, Ramadhan digambarkan oleh baginda saw sebagai bulan yang terbuka luas pintu-pintu syurga dan tertutup sesungguhnya pintu-pintu neraka disebabkan amal ibadah hamba yang banyak. Ia juga menandakan rahmat Allah yang melimpah ruah kepada hamba-hambanya disebabkan ibadah yang mengundang mereka untuk ke syurga Allah.
2. Ulamak berbeza pendapat tentang maksud terbelenggu Syaitan. Sebahagian berpegang pada makna zahir iaitu sememangnya syaitan-syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan.
3. Jika diambil pada makna zahir ini, terbelenggunya Syaitan-syaitan pada bulan Ramadhan adalah satu rahmat pertolongan Allah kepada hamba-hambanya untuk lebih cergas beribadah tanpa gangguan, hasutan dan bisikan jahat daripada mereka. Keadaan dan suasana ibadah tentunya berbeza daripada bulan-bulan biasa. Sekiranya di saat Syaitan terbelenggu masih gagal disempurnakan ibadah maka ia petanda jiwa dan iman yang sangat lemah mudah tunduk pada kehendak nafsu.
4. Sebahagian pula mentafsirkan dengan maksud majaz kiasan sepertimana dipetik oleh Ibnu Hajar al-'Asqalani (773-852H/1371-1449M) daripada al-Halimi (338-403 H/950-1012M) bermaksud bahawa gangguan oleh syaitan tidak lagi sepertimana pada bulan-bulan biasa kerana umat Islam sibuk dengan ibadah puasa yang boleh mengekang syahwat kemahuan dan juga menerusi bacaan al-Quran dan zikir yang banyak.
(Rujuk Fath al-Bari, Juz 4/114)
5. Maka, sewajarnya umat Islam memanfaatkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah di saat rahmat Allah terbuka sangat luas dan gangguan-gangguan luar semakin sempit dan mengecil.
Sekian
Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO
Mutiara FIQH PUASA: Berbuka Kerana Sakit
Mutiara FIQH PUASA
Berbuka Kerana Sakit
1. Para Ulamak telah berijmak dan bersepakat bahawa orang yang sakit harus berbuka puasa. Hal ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah: 185;
{ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ}
"Maka sesiapa yang menyaksikan di kalangan kamu bulan tersebut maka hendaklah dia berpuasa. Dan sesiapa yang sakit atau dalam keadaan pelayaran maka hendaklah diganti pada hari-hari lain. Allah mahukan dengan kamu kemudahan dan Dia tidak mahukan dengan kamu kesukaran"
2. Namun, apakah bentuk dan peraturan sakit yang dibenarkan untuk berbuka?
Jawapannya ialah penyakit yang mana dengan sebab berpuasa makin bertambah sakitnya atau lambat kesembuhannya atau yang menjadikan dirinya berada dalam keberatan yang sangat sehingga tidak mampu menjalankan pekerjaan untuk mencari rezki.
3. Kesakitan seumpama luka kecil, sakit gusi dan bisul yang tidak memberi kesan kepada puasa tidak membolehkan berbuka puasa. Begitu juga penyakit yang puasa menjadi sebahagian rawatan baginya seperti cirit birit, senak perut, gangguan pencernaan dan masalah refluks, iaitu asid dari perut naik ke atas.
4. Bagaimana menilai penyakit ini?
Sama ada berdasarkan pengalaman peribadi atau berdasarkan nasihat dan pandangan pegawai perubatan yang dipercayai.
Apabila seorang pegawai perubatan muslim yang dipercayai memberi pandangan bahawa puasa boleh memudaratkan kesihatannya maka dia boleh berbuka. Sekiranya dia masih bertahan untuk berpuasa sehingga memungkinkan mudarat pada dirinya maka ketika itu makruh baginya berpuasa kerana meninggalkan satu kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah.
Sekiranya ternyata berpuasa itu benar-benar memudaratkan dirinya maka haram atas dirinya berpuasa kerana Islam menolak sebarang mudarat pada diri berasaskan Hadis-Hadis Nabi tentang menolak mudharat seumpama Hadis Nabi saw
لا ضَرَرَ ولا إضْرارَ
"tiada mudarat dan tiada memudaratkan"
Hadis Hasan riwayat Ibnu Majah dan al-Darqutni.
Ia juga bersandarkan prinsip Islam sebagaimana firman Allah Taala
{وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}
"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri kerana sesungguhnya Allah dengan kamu Maha bersifat Rahim"
Surah al-Nisa': 29
5. Pesakit yang bersifat sementara kesakitannya dan masih diharapkan kesembuhannya hendaklah menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan pada waktu sihatnya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah:185
Adapun pesakit yang berpanjangan sakitnya dan tiada diharap lagi kesembuhannya untuk dia menggantikan puasa maka hukumnya adalah dibayar fidyah dengan memberi makan untuk setiap hari tidak berpuasa itu secupak beras atau nilainya kepada fakir miskin.
Moga bermanfaat. Sekian.
Dr Khairuddin Takiri
Ahad 3.4.2022 / 2 Ramadhan 1443
Monday, 13 March 2023
Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh
Masjid Platform Penyatuan
Mutiara AMAL; Permudahkan Jangan Menyulitkan
Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja
Wednesday, 1 February 2023
Mutiara FIQH: Hukum Solat Orang Yang Tidak Bersuci
Mutiara FIQH
Hukum Solat Orang Yang Tidak Bersuci
1. Nabi saw bersabda:
لا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاةَ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حتَّى يَتَوَضَّأَ
"Allah tidak menerima solat seseorang kamu apabila dia berhadas sehinggalah dia berwudu' "
(Hadis Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah syarat sah kepada ibadat solat. Maka seorang yang berhadas kecil atau besar perlu berwudu' atau mandi atau bertayammum untuk menyucikan diri bagi menunaikan solat.
2. Namun begitu, solat tetap wajib dikerjakan sebelum berakhir waktunya sekiranya berhadapan keadaan berhadas dan tidak boleh bersuci kerana ketiadaan air atau tayammum. Solat dilakukan bagi tujuan menghormati waktu.
3. Apakah solat yang dikerjakan itu wajib diulangi semula dalam keadaan suci?
Di sisi Mazhab Syafie dan Hanafi solat tersebut perlu diulang kembali dalam keadaan suci yang menjadi syarat sah solat.
Di sisi Mazhab Hambali ia tidak perlu diulang kembali. Manakala di sisi Maliki kewajipan solat gugur sama sekali dan tidak perlu lagi diqada kerana bagi mereka suci itu adalah syarat kepada wajib solat bukan hanya syarat sah.
Sekian
Dr Khairuddin Takiri
30.1.2023
Mutiara FIQH: Hukum Membaca 3 Qul Sebelum Tidur Dalam Keadaan Berjunub
Monday, 23 January 2023
Bangkrap Ilmu dan Tandus Akhlak
Merompak dengan NIAT bersedekah pada fakir miskin macam Robin Hood halal?
Tiada Kafir Bantu Islam?
Mutiara SAHABAT: Ibnu Abbas Radiyallahu anhuma, Ulamak Yang Menjadi Umara'
Sunday, 22 January 2023
Politik Matang dan Sejahtera?
Alim Ulamak Dalam Islam
Terima kasih Mursyidul Aam PAS
Mutiara AKHLAK Jangan Angkuh & Bangga Diri
Maksud "Madani"
INSAN MADANI Dalam Kerajaan Perpaduan
Mutiara AKHLAK; Tidak Menyakiti Manusia
Bangkrap Ilmu dan Tandus Akhlak
Friday, 20 January 2023
Hak Pembelaan Dalam Islam
Hak Pembelaan Dalam Islam
Menjadi hak tertuduh untuk mendapatkan ruang pembelaan semaksimanya kerana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Itu kaedah Islam yang telah terpakai dalam dunia perundangan semasa hari ini.
Sebarang keraguan yang wujud walaupun kecil terhadap tuduhan perlu diambil kira untuk mengelakkan seseorang yang tidak bersalah dihukum bersalah. Hal ini berasaskan kaedah Islam
ادرؤوا الحدود بالشبهات
"Ketepikan hukuman Hudud dengan keraguan-keraguan".
Oleh kerana itu wujud satu bidang kerja profesional dinamakan guaman.
Berasaskan kaedah perundangan Islam dan keadilan kemanusiaan, DS Najib, DS Zahid dan sesiapa sahaja yang dituduh di mahkamah berhak mendapat pembelaan sewajarnya dan semaksimanya bagi mempertahankan diri daripada tuduhan agar mahkamah tidak tersilap menghukum seseorang yang tidak bersalah.
Membiarkan tertuduh dihukum dan diadili oleh media juga tidak adil dan alim kepada tertuduh. Pemberitaan demi pemberitaan berasaskan fakta yang di bentang oleh pendakwa membawa masyarakat awam menjadi hakim sebelum hakim membuat keputusan. Itulah adalah satu kezaliman terhadap hak dan maruah tertuduh.
Saya nukilkan apa yang disebut oleh Dr Yusof Qardawi, tokoh ulamak ulung abad ini tentang hak mempertahankan diri daripada tuduhan :
"Dan wajib kepada masyarakat Islam untuk memberi peluang kepadanya, memelihara hak kebebasan dalam mempertahankan diri dengan apa sahaja yang dia mampu samada dengan kata-kata lisan atau tulisan dalam akhbar atau bicara di radio dan televisyen apatah lagi jika dia merupakan seorang tokoh masyarakat yang ada nilai dan pengaruh. Maka tidak harus dari sudut Syarak membiarkan taring-taring musuhnya memangsakannya siang dan malam secara terbuka sedang masyarakat hanya memerhati, tidak menggerakkan orang yang diam, sedang pintu-pintu pula tertutup ke atas tertuduh yang tidak bersalah, dia tidak mampu menolak senjata musuhnya yang memiliki segalanya manakala dia pula ditelanjangkan daripada segalanya...
"ويجب على المجتمع المسلم أن يتيح له الفرصة، ويحفظ له حق الحرية في هذا الدفاع عن النفس بكل ما يستطيع: قولا باللسان، أو كتابه في الصحف، او حديثا إلى المذياع، أو إلى التلفزيون، ولا سيما إذا كان شخصية عامة لها وزنها وتأثيرها، فلا يجوز شرعا أن يترك لمخالب خصومه وأنيابهم تفترسه جهارا نهارا والمجتمع يتفرج، ولا يحرك ساكنا، والأبواب مغلقة على المتهم البرىء، لا يملك أن يرد عن نفسه أسلحة الخصوم الذين يملكون كل شىء، وقد جرده من كل شىء.."
Dr Khairuddin Takiri
23.8.2022
Mutiara TAFSIR (105)Memahami Sifat Allah Al-Aziz dan Al-Ghafur
Mutiara TAFSIR (105)
Memahami Sifat Allah Al-Aziz dan Al-Ghafur
Allah berfirman
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
"(Tuhan) yang mencipta kematian dan kehidupan untuk Dia menguji kamu siapakah kalangan kamu yang paling elok amalannya sedang Dialah yang bersifat Al-Aziz lagi Al-Ghafur.
(Surah al-Mulk: 1)
HURAIAN
1. Antara Nama dan Sifat Allah yang baik ialah "al-Aziz" dan al-Ghafur". al-Aziz boleh diberi makna sebagai Maha Megah, Maha Kuat Perkasa, Maha Teguh lagi Maha Penguasa. Manakala al-Ghafur bermaksud Maha Pengampun.
2. Menurut al-Zubaydi dalam Taj al-Arus
العَزيز : مَأْخُوذٌ من العِزّ، وَهُوَ الشِّدَّة والقَهْر، وسُمِّي بِهِ الملك؛ لِغَلَبَتِه على أهلِ مَمْلَكَتِه "
"al-Aziz diambil daripada perkataan al-Izz iaitu kuat teguh dan menguasai. Raja digelar al-Aziz kerana penguasaannya terhadap penduduk dalam kerajaannya"
3. Menurut al-Sa'di pula al-Aziz mempunyai 3 makna:
( العزيز ): الذي له العزة كلها ؛ عزة القوة، وعزة الغلبة وعزة الامتناع
"al-Aziz adalah yang memiliki izzah kemegahan sepenuhnya iaitu pertamanya "izzah quwwah" bermaksud kemegahan kekuatan, keduanya "izzah ghalabah" bermaksud kemegahan penguasaan dan ketiganya " izzah imtina' " bermaksud kemegahan keteguhan, ketahanan dan kekebalan.
4. Kesimpulannya Allah yang bersifat al-Aziz adalah Tuhan yang Maha Megah dengan keagungannya.
Dia Maha Kuat, Gagah Perkasa.
Dia Maha Penguasa tiada yang boleh menguasainya.
Dia Maha Teguh dan Tahan, tiada yang boleh menggoyahkannya.
5. Sifat al-Aziz pada Allah Taala adalah bersifat menggerunkan makhluk atau disebut "tarhib" (ترهيب) dalam bahasa Arab. Namun, sifat menggerunkan yang ada pada Allah diiringi pula dengan sifat yang menggalakkan dan menggemarkan manusia kepada-Nya atau disebut sebagai "targib" (ترغيب) dalam bahasa Arab. Justeru, disebut pula sifat Allah yang mengemarkan dan menggalakkan manusia iaitu al-Ghafur yang bermaksud Maha Pengampun.
6. Demikianlah gaya bahasa al-Quran, bicara "tarhib" sentiasa seiringan dengan "targhib" agar manusia sentiasa merasa gerun lalu menjauhi larangan Allah dan dalam masa yang sama dirangsang dan digalakkan untuk melakukan ketaatan.
7. al-Ghafur bermaksud Allah bersifat dengan "maghfirah". Maghfirah pula dalam bahasa Arab bermaksud kemaafan dan penutupan. Dalam konteks ini ia bermaksud menutup dosa dan keaiban hambanya dengan memberikan pengampunan dosa. Maka Allah Maha Pengampun menerima segala taubat hamba dengan menutup segala kesalahan mereka.
8. Maka Allah yang bersifat Maha Megah, Kuat, Perkasa, Penguasa boleh menghukum manusia yang melakukan kesalahan dan dosa adalah juga Maha Pengampun menutup dosa dan menerima taubat hambanya yang kembali kepada-Nya dengan penuh kasihan belas.
Sekian
Dr Khairuddin Takiri
3.10.2022
Mutiara FIQH (1): Maksud Silaturrahim
Mutiara FIQH (1)
Soalan
Apakah yang dimaksudkan dengan silaturrahim dan siapakah ahli keluarga yang wajib dijaga silaturrahim dengan mereka sebagaimana disebut dalam Hadis?
Jawapan
Silaturrahim adalah perkataan Arab yang telah menjadi kata pinjaman dalam bahasa Melayu. Ia berasal dari perkataan "silah" bermaksud sambung dan "rahim" bermaksud rahim yang darinya lahir zuriat dan keturunan. Silaturrahim bermaksud menyambung hubungan dengan ahli keluarga dan kaum kerabat yang ada hubungan rahim.
Nabi saw bersabda
ومَن كانَ يُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ،
"Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung rahim"
(Hadis Bukhari)
Menurut pendapat majoriti Ulamak, Rahim yang wajib disambung ialah rahim yang ada hubungan mahram seperti ibu, bapa, anak, adik beradik, bapa dan ibu saudara, datuk, nenek dan datuk dan nenek saudara. Adapun rahim yang sunat disambung ialah rahim yang bukan mahram seperti sepupu dan seumpamanya.
Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, silaturahim ialah melakukan ihsan dan kebaikan kepada kaum kerabat berdasarkan keadaan rahim yang berhubung dan yang dihubungkan. Ada kalanya menerusi harta dan ada kalanya dengan khidmat atau ziarah, memberi salam dan sebagainya.
Maka sesiapa yang melakukan sekecil-kecil kebaikan kepada saudara mara yang ada hubungan rahim seumpama memberi salam dan bertanya khabar bererti dia telah menunaikan hak dan tanggungjawab menyambung rahim sebagaimana digesa oleh Hadis Nabi saw.
Disediakan oleh
Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu 23.2.2022
Mutiara FIQH: Sunat Meramaikan Orang Solat Janazah
Hukum Haji & Mengundi; Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Perlu Bersidang
Hukum Haji & Mengundi; Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Perlu Bersidang
1. Malaysia adalah negara Persekutuan dengan YDP Agong adalah ketua negaranya. Walak dan ketaatan rakyat ialah kepada YDP Agong mewakili semua Sultan dan Raja Melayu. Agama bagi negara pula ialah Islam malah sumpah YDP Agong juga ialah mesti memelihara Islam dalam negara. YDP Agong adalah Khalifah Malaysia dalam konteks sistem pemerintahan Islam yang perlu diberikan ketaatan dan walak. Menentang YDP Agong secara bersenjata adalah salah satu kesalahan jenayah Hudud dalam Islam iaitu pemberontakan dan dikenakan hukuman keras menurut undang-undang Malaysia.
2. Pilihanraya pula adalah untuk memilih siapa yang lebih baik untuk mengetuai kerajaan YDP Agong. Sesiapa pun yang terpilih mengetuai kerajaan maka dia terikat dengan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Sekiranya terlantik yang kurang kelebihannya di saat ada yang lebih berkemampuan sekalipun pemilihannya adalah sah menurut sistem politik Islam sebagaimana dibahas oleh Sarjana Politik Islam dalam Bab ( إمامة المفضول ) iaitu kepimpinan orang yang kurang kelebihannya.
3. Dalam situasi semasa ini, terlibat dalam pilihanraya memilih calon-calon yang nanti akan menjadi ketua kerajaan adalah Fardhu Kifayah, apabila telah dilaksanakn oleh sebahagian umat Islam maka gugurlah kewajipan daripada semua. Ia juga Sunnah Muakkadah kepada setiap individu orang Islam untuk turun mengundi dan bukan Fardhu Ain dengan makna wajib pada setiap individu muslim.
4. Kecuali dalam satu keadaan bahawa mengundi melibatkan pemilihan antara Islam dan kufur dengan maksud kekufuran akan menggantikan Islam yang akan memudaratkan Islam dan umat Islam maka barulah hukum Fardhu Ain mengundi jatuh kepada setiap individu muslim dalam sesebuah negara. Dan situasi itu tidak berlaku dalam konteks Malaysia semasa. Saya menyebut dalam konteks semasa kerana hukum Islam dibina atas situasi semasa bukan dalam konteks negara lain dan juga pada waktu yang lain.
5. Dalam kontek pilihanraya semasa pertembungan dan persaingan adalah antara 3 parti utama BN, PH dan PN yang semuanya diketuai oleh orang Islam. Maka pemilihan ialah antara mana yang lebih "aslah" atau "lebih baik" bagi melaksanakan amanah menguruskan kerajaan berdasarkan rekod berkerajaan dan manifesto semasa yang ada pada parti masing-masing.
6. Dari sini kita boleh menilai hukum mengerjakan Haji atau Umrah dengan meninggalkan tanggungjawab mengundi. Sekiranya Haji itu adalah Haji Fardhu yang datang pula gilirannya berpuluh tahun sekali menurut sistem penggiliran Tabung Haji maka kewajipan Haji mesti diutamakan berbanding pilihanraya yang Fardhu Kifayah dan Sunnah Muakkadah.
7. Adapun Haji dan Umrah yang sunat maka keduanya wajar dan boleh ditangguhkan pada waktu lain kerana tuntutan mengundi tidak berlaku saban tahun. Ia hadir 5 tahun sekali kecuali pilihanraya kecil. Di sini kaedah Fiqh "perkara yang sempit didahulukan berbanding perkara yang lapang masanya" diguna pakai.
8. Apapun hukum-hakam berkaitan mengundi di saat pilihanraya perlu diteliti lebih halus oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kerana ia melibatkan masyarakat Islam yang besar agar tidak timbul kekeliruan hukum di kalangan masyarakat.
Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 24.12.2022
Thursday, 19 January 2023
Perpaduan Adalah Wajib Walau Tidak Dijenamakan Dengan Islam
Perpaduan Adalah Wajib Walau Tidak Dijenamakan Dengan Islam
1. Perpaduan antara manusia dalam sebuah negara meskipun berbeza agama dan bangsa itu adalah satu perkara yang wajib dilakukan oleh pemerintah dalam Islam. Ia tidak perlu dijenamakan sebagai Islam kerana perpaduan itu sendiri adalah perintah Islam.
2. Oleh kerana itu Islam mengarahkan setiap individu muslim memberi ketaatan dan walak kepada pemerintah semasa. Semuanya demi menjaga perpaduan rakyat. Hatta Nabi saw mengarahkan dibunuh Khalifah yang diberi baiah ketaatan setelah diberi baiah ketaatan kepada Khalifah yang awal. Itu semua demi menjaga perpaduan rakyat.
Nabi saw bersabda
إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ، فاقْتُلُوا الآخِرَ منهما
"Apabila diberi baiah ketaatan kepada dua Khalifah maka bunuhlah Khalifah terkemudian daripada mereka berdua"
(Hadis Muslim)
Kewujudan dua pemerintah atau dua khalifah dalam sebuah negara memecah-belakan masyarakat Islam dan meletakkan negara dalam bahaya. Oleh itu, datang perintah yang keras daripada Nabi saw iaitu mesti dibunuh Khalifah kedua.
3. Hatta sekiranya pemerintah muslim itu fasik sekalipun masih perlu diberikan ketaatan dan walak pada perkara makruf dan dicegah kemungkaran pada perkara mungkar dengan lidah bukan dengan senjata. Semuanya demi menjamin perpaduan rakyat.
Nabi saw bersabda dalam Hadis Muslim
سَتَكُونُ أُمَراءُ فَتَعْرِفُونَ وتُنْكِرُونَ، فمَن عَرَفَ بَرِئَ، ومَن أنْكَرَ سَلِمَ، ولَكِنْ مَن رَضِيَ وتابَعَ قالوا: أفَلا نُقاتِلُهُمْ؟ قالَ: لا، ما صَلَّوْا.
"Akan dilantik pemerintah-pemerintah lalu kamu suruh mereka membuat makruf dan larang mereka membuat kemungkaran. Sesiapa yang membenci kemungkaran (dalam hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari dia selamat. Tetapi yang redha (dengan hati) dan menurut (dia tidak terlepas dan selamat).
Sahabat bertanya : tidak bolehkah kita memerangi mereka (dengan senjata)?
Jawab Nabi saw: Tak boleh selagi mana mereka solat".
5. Menentang pemerintah dengan senjata adalah jenayah besar termasuk dalam kategori jenayah Hudud dalam Islam yang perlu dijatuhkan hukuman bunuh.
6. Perpecahan dalam masyarakat berlaku kerana memberi makna yang salah terhadap konsep Amar Amaf Nahi Mungkar. Atas konsep ini kerajaan semasa diserang dengan keras hingga membangkitkan sentimen kebencian di kalangan rakyat lalu mereka berpecah atas nama penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang. Sedang sepatutnya Amar Makruf Nahi mungkar itu atas isu-isu tertentu sahaja dan bukan dalam semua keadaan.
7. Perpecahan kalangan rakyat juga berlaku apabila "baiah" akujanji ketaatan setiap individu rakyat yang sepatut diberikan kepada pemerintah semasa dipindahkan kepada pemimpin parti lalu ia melahirkan taksub terhadap semua arahan kepimpinan parti atas nama perintah agama untuk taat kepada "jamaah". Di sinilah berlaku perpecahan rakyat.
Sedangkan makna sebenar "jamaah" ialah masyarakat besar umat Islam yang dipimpin oleh pemerintah semasa dalam sebuah negara. Jamaah Muslimin inilah yang dimestikan setiap muslim bersama dengannya dan tidak berpisah daripadanya dengan maksud tidak memeranginya.
Nabi saw
من فارق الجماعةَ قَيْدَ شِبرٍ فقد خلع رِبقةَ الإسلامِ من عُنُقِهِ
"Sesiapa yang berpisah dengan "jamaah" kadar sejengkal maka dia telah menanggalkan ikatan Islam ditengkuknya"
(Hadis Sahih Abu Dawud)
8. Hadis ini merujuk kepada "jamaah" masyarakat Islam dalam sebuah negara yang dipimpin oleh seorang pemerintah. Inilah "jamaah muslimin" yang dimaksudkan oleh puluhan hadis tentang makna "jamaah". Setiap individu rakyat perlu bersama dengan "jamaah muslimin" ini demi menjaga perpaduan rakyat. Tugasan amar makruf nahi mungkar dilaksanakan dalam konteks berjamaah dalam jamaah besar umat Islam ini.
9. Namun apabila perkataan "jamaah" dalam Hadis diberikan tafsiran yang salah dan mengelirukan dengan merujuk kepada jamaah dan kelompok parti tertentu sahaja maka di sinilah punca kepada perpecahan. Walak kepada jamaah umat Islam dipindahkan kepada jamaah kecil sedang jamaah kecil itu hanya satu jamaah daripada jamaah besar umat Islam.
10. Bayangkan begitu besar sekali perpaduan dalam Jamaah Muslimin dan masyarakat besar umat Islam perlu dipelihara sehingga Nabi saw mengaitkannya dengan tertanggal ikatan Islam. Ia tidak merujuk kepada jamaah-jamaah kecil yang dibentuk oleh umat Islam untuk kerja-kerja kebajikan, dakwah dan amar makrif nahi mungkar. Itu hanya satu jamaah atau satu kelompok daripada Jamaah Muslimin yang besar dipimpin oleh seorang pemerintah Islam dalam sebuah negara.
11. Malah sekiranya pembentukan jamaah kecil ini menjadi sebab perpecahan umat Islam maka penubuhan jemaah sebegini perlu dinilai semula dan dibetulkan hala tuju agar kembali kepada tujuan asal penubuhan kumpulan dakwah iaitu menyatukan umat dan melaksanakan kerja dakwah.
12. Marilah kita bersatu dalam jamaah besar umat Islam yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Itulah sebenar-benar "jamaah muslimin". Memecahkan jamaah muslimin ini merosakkan asas bernegara. Laksanakan tugasan Amar Makruf Nahi Mungkar namun jangan sampai umat berpecah.
Dr Khairuddin Takiri
26.12.2022
Wednesday, 18 January 2023
SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 11
بيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي
SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 11
Allah berfirman kepada para Malaikat
وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ
"Dan sememangnya Kami telah menciptakan kamu kemudian Kami membentuk rupa kamu kemudian Kami berfirman kepada Malaikat; sujudlah kamu kepada Adam lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidak tergolong kalangan makhluk yang sujud"
TAFSIR
1. Menurut Ibnu al-Arabi, Umat Islam bersepakat bahawa sujudnya para Malaikat kepada Adam sebagaimana perintah Allah bukannya sujud sebagai ibadah pengabdian diri kepada Adam. Menurut Tabari pula ianya sujud penghormatan dan memuliakan bukannya sujud ibadah pengabdian diri.
2. Sujud untuk memuliakan makhluk dibenarkan dalam Syariat umat terdahulu sebagaima sujudnya Nabi Yaakub dan anak-anaknya kepada Nabi Yusof tatkala melawat Yusof yang telah menjadi orang besar kerajaan Mesir.
3. Adapun dalam Syariat Rasulillah saw, Ulamak bersepakat bahawa sujud makhluk kepada makhluk walau atas dasar penghormatan diharamkan.
4. Hal ini difahami daripada Hadis Nabi saw dalam kisah Mu'az bin Jabal radiyalahu anhu yang sujud kepada baginda saw sebaik beliau pulang daripada Syam lalu ditegah oleh baginda saw.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى ، قَالَ : " لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: ( مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟ ) ، قَالَ : أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ ، فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ ،
Daripada Abdillah bin Abi Aufa katanya; tatkala Mu'az datang daripada Syam beliau sujud kepada Nabi saw. Nabi bertanya; apa ini wahai Mu'az? Kata Mu'az; saya mendatangi Syam lalu saya berbetulan mereka sujud kepada bishop dan pope mereka maka saya berhasrat dalam diri saya untuk kami melakukan perkara itu dengan kamu.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( فَلَا تَفْعَلُوا، فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا)
Lalu Rasulullah saw bersabda; "maka jangan kamu lakukan kerana sekiranya boleh saya arahkan seseorang sujud kepada selain Allah pasti saya arahkan wanita sujud kepada suaminya"
Hadis riwayat Ibnu Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albaani. Sekian.
Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
30.12.2022
SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 12
سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي
SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 12
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ (12)
Allah berfirman; Apa yang menghalang kamu (sujud lalu menjadikan kamu) tidak sujud di kala Aku perintahkan kamu? Kata Iblis; Aku lebih baik daripada dia. Kamu jadikan aku daripada api sedang kamu jadikan dia daripada tanah lumpur"
TAFSIR
1. Kayu ukur Iblis dalam menilai kelebihan seseorang ialah pada sifat fizikal iaitu asal usul kejadiannya daripada api yang dirasakan lebih baik dan mulia berbanding tanah yang menjadi asal usul kejadian Adam. Kayu ukur ini menjadikan dirinya sombong dan besar diri sehingga engkar arahan Allah untuk sujud kepada Adam. Demikianlah sesiapa yang menjadikan kelebihan pada fizikal dan harta benda sebagai kayu ukur menilai kelebihan seseorang maka dia telah mewarisi sifat Iblis.
2. Iblis dicela oleh Allah bukan hanya kerana keengganannya sujud kepada Adam tetapi kerana keengkarannya terhadap perintah Allah untuk sujud kerana sebagai mahkluk sangat tidak wajar untuk engkar pada perintah Allah.
3. Imam Tabari menukilkan kata-kata al-Hasan dan Ibnu Sirin bahawa Iblis adalah makhluk pertama yang membuat kias perbandingan yang salah. Maksudnya menurut Imam Tabari ialah Iblis tersilap membuat kias perbandingan dalam menentukan kelebihan sedang Allah telah memuliakan Adam dengan mencipta Adam dengan tangan-Nya, ditiupkan pula ruh daripadaNya, diarahkan pula Malaikat untuk sujud kepadanya, diajar dengan pelbagai nama dan pelbagai lagi kemulian lain. Semuanya diketepikan oleh Iblis malah secara sengaja berhujah pula dengan penciptaannya daripada api berbanding penciptaan Adam dari tanah lumpur.
Sekian.
Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
31.12.2022
SABIILUL BAARI ;Tafsir Surah al-A'raf Ayat 13
سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي
SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 13
قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصَّاغِرِينَ (13)
"Allah berfirman; oleh kerana itu turunlah kamu (wahai Iblis) daripadanya (syurga). Maka tak selayaknya kamu membesarkan diri dalam syurga. Justeru, keluarlah kamu daripadanya kerana sesungguhnya kamu di kalangan orang yang kecil hina"
TAFSIR
1. Gantinama dalam Ayat "turunlah kamu daripadanya" merujuk kepada Syurga menurut pandangan kebanyakan Ulamak Tafsir. Ada yang berpandangan ia merujuk kepada langit atau kepada kedudukan yang dinikmati oleh Iblis di langit.
2. Syurga adalah tempat mulia bagi orang yang disucikan jiwa. Sikap takabbur tidak layak bagi ahli syurga Allah. Iblis dikeluarkan daripada syurga kerana bersifat sombong dan takabbur dengan kejadian dirinya yang dirasakan menurut pengiraannya lebih baik berbanding Adam.
3. Menurut Qurtubi ayat di atas dalil bahawa orang yang menderhakai Allah adalah hina.
3. Menurut Ibnu Kathir pula kehinaan Iblis itu adalah satu layanan daripada Allah yang berlawanan dengan hasrat Iblis yang mahukan kemuliaan. Ia adalah balasan setimpal terhadap hasrat Iblis yang mahukan kemuliaan lalu dibalas oleh Allah dengan kehinaan. Di saat itu barulah Iblis menyedari kesilapannya lalu dia meminta pula kepada Allah agar dipanjangkan umur sehingga ke Hari Kebangkitan.
Sekian.
Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
1.1.2023
SABIILUL BAARI : Tafsir Surah al-A'raf Ayat 14-15
سبيل الباري في تفسير كتاب الله الهادي
SABIILUL BAARI
fi Tafsir Kitabillah al-Hadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 14-15
قَالَ أَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (14) قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ (15)
"Iblis berkata; tangguhkan ajalku sehingga Hari Kebangkitan. Allah berfirman; Sesungguhnya kamu di kalangan mereka yang ditangguhkan ajal (dipanjangkan umur)"
TAFSIR
1. Iblis memohon kepada Allah agar dipanjangkan umur sehingga ke Hari Kebangkitan iaitu Hari di mana semua makhluk Allah di langit dan di bumi yang dimatikan dibangkitkan semula untuk dihimpunkan di Padang Mahsyar lalu dihisab dosa dan pahala. Ertinya Iblis memohon untuk dia tidak dimatikan di saat semua makhluk dimatikan oleh Allah. Itu adalah permohonan licik daripada Iblis untuk kekal abadi tidak mati selama-lamanya kerana tiada lagi kematian apabila tiba Hari Kebangkitan.
2. Kata Tabari, ini satu lagi kejahatan keji Iblis. Dia memohon sesuatu yang diketahui tidak akan diperolehi oleh makhluk iaitu dipanjangkan umur sehingga Hari Kebangkitan. Sekiranya diperkenankan apa yang dipinta ia bererti memberi kepadanya kehidupan yang kekal tidak binasa lagi kerana tiada lagi kematian selepas Hari Kebangkitan.
3. Permohonan Iblis itu diperkenankan oleh Allah sebahagiannya. Dia dipanjangkan umur tetapi tidak sepertimana dipinta iaitu selama-lamanya, hanya dipanjangkan umur sehingga Hari Kiamat sahaja dan dia akan dimatikan pada Hari semua makhluk Allah dimatikan. Ia disebut dalam surah al-Hijr: 37-38 dan surah Sod 80-81:
قَالَ فَإِنَّكَ مِنْ الْمُنظَرِينَ إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
"Allah berfirman; maka sesungguhnya kamu di kalangan makhluk yang dipanjangkan umur, sehingga Hari Waktu yang dimaklumi".
Hari Waktu yang dimaklumi ialah Hari Kiamat yang dimaklumi bahawa semua makhluk akan dimatikan oleh Allah.
4. Menurut Ibnu Kathir, Allah memperkenankan permintaan Iblis untuk dipanjangkan umur kerana ia mengandungi hikmah kebijaksanaan dan kehendak Allah yang tidak dapat lagi dicanggahi dan dihalang.
Sekian.
Disediakan oleh
al-Faqir ilallah
Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 2.1.2023
SABIILUL BAARI ; Tafsir Surah al-A'raf Ayat 16-17
سَبِيْلُ البَارِي فِيْ تَفْسِيْرِ كِتَابِ الله الهَادِي
SABIILUL BAARI
fii Tafsiiri Kitaabillaahil Haadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 16-17
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)
"Iblis berkata; maka dengan sebab kamu telah menjatuhkan diriku dalam kesesatan pasti aku duduk untuk (mengganggu) mereka di jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku pasti mendatangi mereka dari hadapan mereka dan dari belakang mereka dan dari sebelah kanan mereka dan dari kiri mereka. Dan Kamu tidak akan mendapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur"
TAFSIR
1. Iblis berikrar dan bersumpah untuk duduk mengganggu Adam dan zuriat baginda di setiap jalan lurus yang boleh membawa manusia ke jalan Allah. Iblis mengaitkan ikrar dan sumpah tersebut dengan alasan kerana dia telah dijatuhkan oleh Allah dalam kesesatan.
2. Gangguan dibuat oleh Iblis antaranya dalam bentuk bisikan keraguan di hati manusia sama ada ketika mahu melakukan kebaikan lalu dibisikkan keraguan dan dihasut agar meninggalkan kebaikan atau ketika mahu meninggalkan kejahatan lalu dibisikkan keraguan dan digoda untuk terus melakukan kejahatan. Allah berfirman dalam surah al-Naas: 5;
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
"yang membisik-bisik di hati-hati manusia"
3. Iblis juga berikrar akan sentiasa mendatangi anak-anak Adam dari empat arah iaitu depan, belakang, kanan dan kiri. Menurut Imam Tabari ia bermaksud Iblis berikrar mendatangi manusia daripada segenap jalan sama ada kebaikan mahupun kejahatan. Jalan kebaikan dengan cara menyimpangkan mereka daripadanya. Jalan kejahatan pula dengan cara menimbulkan kecintaan manusia kepada kejahatan tersebut.
4. Menurut Imam Ibnu Kathir, kerana itulah datang Hadis Nabi saw mengajar manusia memohon perlindungan (isti'azah) kepada Allah daripada gangguan Iblis daripada semua arah ini.
Abdullah bin Umar radiyallahu anhuma meriwayatkan:
لم يكنْ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هؤلاء الدعواتِ حينَ يُمسي، وحينَ يُصبِحُ :اللهم إني أسألُك العافيةَ في الدنيا والآخرةِ ، اللهم إني أسألُك العفوَ والعافيةَ في ديني ودنياي وأهلي ومالي ، اللهم استرْ عورتي وآمنْ روعاتي ، اللهم احفظْني مِن بين يديَّ ومن خلفي وعن يميني وعن شمالي ومن فوقي ، وأعوذُ بعظمتِك أن أُغتالَ مِن تحتي.
"Rasulullah saw sama sekali tidak meninggalkan doa-doa berikut ketika berpetang dan berpagi: "Ya Allah, sesungguhnya aku mohon keselamatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah sesungguhnya aku mohon kemaafan dan keselamatan pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah tutuplah keaiban-keaibanku dan amankanlah ketakutan-ketakutanku. Ya Allah peliharalah daku dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku dan dari atasku. Dan aku berlindung dengan kebesaran-Mu daripada aku dikhianati dari bawahku".
(Hadis Sahih riwayat Abu Dawud)
5. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhu sebagaimana dinukilkan oleh Imam Tabari, Iblis tidak menyebut gangguan daripada arah atas kerana rahmat Allah selalunya turun ke atas hamba-hambanya daripada atas mereka.
6. Iblis mendakwa hasil tindakannya duduk menganggu di jalan yang lurus akan menjadi sebab kebanyakan manusia tidak bersyukur kepada Allah. Menurut Ibnu Kathir, dakwaan Iblis itu adalah sangkaan tetapi ia benar-benar menepati realiti.
7. Maka di saat Iblis berusaha memalingkan manusia daripada jalan Islam yang lurus, sesiapa yang terselamat perlu bersyukur kepada Allah malah syukur di saat itu adalah sebahagian keperibadian hamba yang mampu Istiqamah di jalan yang lurus.
Sekian
Disediakan oleh
al-Faqir ilallah
Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Selasa 3.1.2023
'Selagi ada syaitan, langkah syaitan akan terus berjalan'
Mutiara FIQH : Talkin Kematian
Mutiara FIQH
Talkin Kematian
1. Disunatkan mentalqinkan orang yang sedang nazak menghampiri kematian dengan ungkapan kalimah Tauhid iaitu syahadah Lailahaillallah.
2. Dalilnya ialah sabda Nabi saw
لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ
"Talkinkan orang yang hampir (mati) di kalangan kamu ungkapan Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang layak diperhambakan diri kepadaNya melainkan Allah)"
Hadis Muslim
3. Tujuannya agar pengakhiran hayat seseorang ialah kalimah syahadah tersebut sebagaimana kelebihannya disabdakan oleh Nabi saw
مَن كان آخرُ كَلامِه لا إلَه إلَّا اللهُ دَخلَ الجنَّةَ»،
"sesiapa yang akhir bicaranya ialah Lailahaillallah, dia masuk syurga"
(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud. Dinilai Hasan oleh Albaani)
4. Talkin pada bahasa Arab bermaksud melontarkan kalam untuk diulang oleh seseorang.
5. Kaedah Talkin ialah dengan menyebut sekali sahaja kalimah Tauhid di sisi orang yang hampir mati agar dia mengulang sebutannya sama ada dengan lafaz yang jelas didengari oleh orang lain atau tidak. Tujuannya supaya akhir kalamnya sebelum ajal ialah kalimah tersebut.
6. Apabila orang tersebut berbicara dengan bicara yang lain selepas talkin pertama seumpama dia meminta air kerana dahaga atau memanggil nama seseorang, maka diulang lagi kalimah tersebut agar diulang sebut semula oleh orang yang nazak. Dengan itu akhir ajalnya ialah bicara kalimah Tauhid tersebut bukan bicara yang lain.
7. Menurut Imam Nawawi; para ulamak memakruhkan talkin banyak kali dan secara berturut-turut agar orang yang nazak tidak merasa bosan disebabkan keadaan dirinya yang susah dan sangat bersedih lalu hatinya tidak menyukai talkin tersebut dan menyebut kata-kata lain yang tidak selayaknya.
Sekian.
Dr Khairuddin Takiri
Rabu 18.1.2023