PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Sunday, 22 January 2023

INSAN MADANI Dalam Kerajaan Perpaduan

INSAN MADANI Dalam Kerajaan Perpaduan

1. MADANI adalah kata nisbah kepada Madinah. Madinah dalam bahasa Arab bermaksud tempat menetap. Dari situ datang perkataan "tamaddun" (   ُتَمَدَّنَ يَتَمَدَّن تَمَدُّنًا ) yang bermaksud berakhlak dan berpenampilan dengan akhlak dan penampilan orang yang tinggal bertempat bukan berpindah randah. Justeru maksud  "madani" ialah manusia yang hidup dan tinggal bertempat dan bukannya berpindah randah seperti mana hidup masyarakat nomad dan badawi. 

Dari situ "manusia madani" membina dan membangunkan kampung, kota dan bandar mereka dengan pelbagai jenis pembangunan yang boleh menyusun kehidupan yang teratur.

2. Para sarjana Islam menggunakan ibarat "madani" bagi menggambarkan kehidupan bermasyarakat dan bertempat yang menjadi tabiat asal manusia. Ungkapan yang masyhur ialah
( الإنسان مدني بالطبع )
"manusia itu bersifat "madani" (hidup bermasyarakat) pada tabienya"

3. Ungkapan masyhur itu selalunya dipetik daripada tulisan Ibnu Khaldun (732-807 H/1332-1406 M) dalam Mukaddimah sedangkan sebenarnya ia lebih awal disebut oleh sarjana Islam sebelum beliau. Malah dikatakan ia ungkapan yang dipetik daripada tulisan ahli falsafah Yunani sebelumnya.

4. Di kalangana sarjana Islam, ia telah diungkapkan oleh al-Raghib al-Asfahani (343-502 H/954-1108 M), Ibnu al-Arabi (468-543 H/1148-1076 M), al-Fakhr al-Razi (544-604 H/1150-1210 M), Ibnu Taymiyah (661-728 H/1263-1328 M dan Ibnu al-Qayyim (691-751 H/1292-1350 M)

5. Antaranya disebut oleh Ibnu al-Arabi ; "oleh kerana manusia bersifat "madani" secara semulajadi, tak dapat tidak perlu bergantung kepada teman kerana dirinya dicipta sebagai makhluk yang tidak boleh bersendiri dalam kehidupannya dan tidak membolot semua keperluan diri malah memerlukan orang lain dalam memenuhinya..." (al-Mahsul fi Usul al-Fiqh, Juz 1, Ms 28, Dar al-Bayariq)

6. Kata Fakhrul Razi dalam Tafsir al-Razi ketika menghuraikan ayat:
فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ 
"Maka memerintahlah kamu di kalangan manusia dengan kebenaran"
(Surah Sod: 26)

"Ketahuilah bahawa manusia dicipta bersifat "madani" pada tabienya kerana seorang manusia tidak teratur keperluan hidupnya melainkan dengan adanya "madinah" (tempat menetap) yang lengkap sehinggakan orang ini menanam, orang ini pula mengisar gandum, orang ini pula membuat roti, orang ini pula memintal benang dan orang ini pula menjahit. Secara umumnya setiap orang sibuk dengan tugasan dan tersusunlah menerusi tugasan semua orang tadi keperluan hidup semua orang. Maka nyatalah bahawa manusia itu "madani" (hidup bermasyarakat) secara tabienya"

7. Kata pula Ibnu Taymiyah: "manusia itu bersifat "madani" secara tabienya. Dia tidak boleh bersendirian memenuhi segala keperluannya, maka mereka perlu berhimpun untuk bekerjasama dalam memenuhi kepentingan mereka".
(Dar'u Ta'arud al-Aql wa al-Naql, Ibnu Taymiyah, Juz 7, Ms 136, Jami'ah Imam Muhammad So'ud)

8. Difahami daripada semua huraian di atas bahawa "insan madani" adalah insan yang hidup bermasyarakat yang saling memerlukan antara satu sama lain dan saling membantu dalam melunaskan keperluan hidup kemanusiaan. Kebergantungan hidup antara satu sama lain inilah yang menghidupkam interaksi sesama manusia yang perlu pula diatur oleh sistem dan peraturan hidup bermasyarakat dan  bernegara.

9. Islam datang mengatur kehidupan bermasyarakat "insan madani". Islam mengajar konsep persaudaraan kemanusiaan bagi mengikat manusia bekerjasama dalam melunaskan keperluan hidup. Islam menekankan lagi konsep persaudaraan keimanan bagi mengukuhkan lagi hubungan bermasyarakat dengan matlamat cintakan akhirat. Inilah juga konsep perpaduan rakyat yang didambakan dalam sebuah negara.

10. Dalam konteks semasa, Kerajaan Perpaduan pada hari ini bertanggungjawab membina "insan madani" yang hidup penuh rukun dan damai dalam "masyarakat madani" yang bertamaddun dengan menjadikan keadilan sebagai asas bagi memberikan hak yang wajar dinikmati oleh setiap individu rakyat.

Dr Khairuddin Takiri
21.1.2023

No comments:

Post a Comment