سَبِيْلُ البَارِي فِيْ تَفْسِيْرِ كِتَابِ الله الهَادِي
SABIILUL BAARI
fii Tafsiiri Kitaabillaahil Haadi
Tafsir Surah al-A'raf Ayat 16-17
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)
"Iblis berkata; maka dengan sebab kamu telah menjatuhkan diriku dalam kesesatan pasti aku duduk untuk (mengganggu) mereka di jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku pasti mendatangi mereka dari hadapan mereka dan dari belakang mereka dan dari sebelah kanan mereka dan dari kiri mereka. Dan Kamu tidak akan mendapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur"
TAFSIR
1. Iblis berikrar dan bersumpah untuk duduk mengganggu Adam dan zuriat baginda di setiap jalan lurus yang boleh membawa manusia ke jalan Allah. Iblis mengaitkan ikrar dan sumpah tersebut dengan alasan kerana dia telah dijatuhkan oleh Allah dalam kesesatan.
2. Gangguan dibuat oleh Iblis antaranya dalam bentuk bisikan keraguan di hati manusia sama ada ketika mahu melakukan kebaikan lalu dibisikkan keraguan dan dihasut agar meninggalkan kebaikan atau ketika mahu meninggalkan kejahatan lalu dibisikkan keraguan dan digoda untuk terus melakukan kejahatan. Allah berfirman dalam surah al-Naas: 5;
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
"yang membisik-bisik di hati-hati manusia"
3. Iblis juga berikrar akan sentiasa mendatangi anak-anak Adam dari empat arah iaitu depan, belakang, kanan dan kiri. Menurut Imam Tabari ia bermaksud Iblis berikrar mendatangi manusia daripada segenap jalan sama ada kebaikan mahupun kejahatan. Jalan kebaikan dengan cara menyimpangkan mereka daripadanya. Jalan kejahatan pula dengan cara menimbulkan kecintaan manusia kepada kejahatan tersebut.
4. Menurut Imam Ibnu Kathir, kerana itulah datang Hadis Nabi saw mengajar manusia memohon perlindungan (isti'azah) kepada Allah daripada gangguan Iblis daripada semua arah ini.
Abdullah bin Umar radiyallahu anhuma meriwayatkan:
لم يكنْ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هؤلاء الدعواتِ حينَ يُمسي، وحينَ يُصبِحُ :اللهم إني أسألُك العافيةَ في الدنيا والآخرةِ ، اللهم إني أسألُك العفوَ والعافيةَ في ديني ودنياي وأهلي ومالي ، اللهم استرْ عورتي وآمنْ روعاتي ، اللهم احفظْني مِن بين يديَّ ومن خلفي وعن يميني وعن شمالي ومن فوقي ، وأعوذُ بعظمتِك أن أُغتالَ مِن تحتي.
"Rasulullah saw sama sekali tidak meninggalkan doa-doa berikut ketika berpetang dan berpagi: "Ya Allah, sesungguhnya aku mohon keselamatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah sesungguhnya aku mohon kemaafan dan keselamatan pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah tutuplah keaiban-keaibanku dan amankanlah ketakutan-ketakutanku. Ya Allah peliharalah daku dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku dan dari atasku. Dan aku berlindung dengan kebesaran-Mu daripada aku dikhianati dari bawahku".
(Hadis Sahih riwayat Abu Dawud)
5. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhu sebagaimana dinukilkan oleh Imam Tabari, Iblis tidak menyebut gangguan daripada arah atas kerana rahmat Allah selalunya turun ke atas hamba-hambanya daripada atas mereka.
6. Iblis mendakwa hasil tindakannya duduk menganggu di jalan yang lurus akan menjadi sebab kebanyakan manusia tidak bersyukur kepada Allah. Menurut Ibnu Kathir, dakwaan Iblis itu adalah sangkaan tetapi ia benar-benar menepati realiti.
7. Maka di saat Iblis berusaha memalingkan manusia daripada jalan Islam yang lurus, sesiapa yang terselamat perlu bersyukur kepada Allah malah syukur di saat itu adalah sebahagian keperibadian hamba yang mampu Istiqamah di jalan yang lurus.
Sekian
Disediakan oleh
al-Faqir ilallah
Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Selasa 3.1.2023
No comments:
Post a Comment