PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Sunday, 2 April 2023

Siri 6 Tazkirah MUU : Kelebihan Gandingan Ibadah Puasa dan Tarawih

MAJLIS ULAMA UMNO
Siri TAZKIRAH RAMADHAN

Siri 6 (6 Ramadhan 1444 H)
Kelebihan Gandingan Ibadah Puasa dan Tarawih

Nabi (saw) bersabda;

مَن صَّامَ رَمَضانَ إيمانًا واحْتِسابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan kerana mengharapkan pahala diampunkan baginya apa yang lalu daripada dosanya"
(Hadis riwayat Imam Bukhari no 1901 dan 2014 dan riwayat Imam Muslim no 760)

مَن قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا واحْتِسَابًا، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
"Sesiapa yang berdiri mengerjakan solat qiyam Ramadhan kerana keimanan dan kerana mengharapkan pahala diampunkan baginya apa yang lalu daripada dosanya"
(Hadis riwayat Imam Bukhari no 37 dan 2009 dan riwayat Imam Muslim no 759)

Huraian & Pengajaran

1. Ibadah puasa dan ibadah qiyam solat tarawih adalah dua ibadah besar sepanjang Ramadhan. Puasa adalah ibadah wajib di siang hari manakala solat tarawih adalah ibadah sunat di malam hari. Dalam banyak hadis Nabi (saw) kedua-dua ibadah ini digandingkan secara bersama bagi memberi mesej bahawa kesempurnaan ibadah puasa yang wajib perlu dilengkapkan dengan ibadah malam yang sunat.

2. Kedua-kedua hadis di atas mengandungi perkhabaran gembira kepada hamba Allah yang berpuasa pada siang hari dan melakukan qiyam Ramadhan atau bertarawih pada malam hari iaitu diberikan pengampunan terhadap dosa-dosa yang lalu.

3. Namun, untuk membolehkan ganjaran besar ini diperolehi hendaklah kedua-dua ibadah tersebut dilakukan dengan tujuan dan tekad yang betul melibatkan hati iaitu kerana keimanan kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala daripada Allah.

4. Maksud "kerana keimanan" ialah berpuasa dan berqiyam itu dilakukan atas dasar keimanan terhadap kewajipan puasa yang difardhukan oleh Allah dan keimanan bahawa ibadah qiyam mengerjakan solat di malam-malam Ramadhan adalah ibadah sunat yang digalakkan dan disukai oleh Allah. Kedua-duanya bukan dilakukan kerana adat masyarakat atau ikut-ikutan kepada rakan dan taulan atau kerana bimbangkan tindakan oleh pihak berkuasa dan seumpamanya. 

5. Maksud "kerana mengharapkan pahala" pula ialah kedua-dua ibadah itu dilakukan tulus ikhlas demi meraih keredhaan Allah dan mendapat pahala. Bukannya kerana tujuan kesihatan untuk menguruskan badan atau menunjuk-nunjuk kepada manusia bagi mendapatkan perhatian dan keuntungan duniawi. 

6. Maka wajarlah untuk kita membaiki niat dan tujuan bagi kedua-dua ibadah tersebut agar beroleh ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

Sekian

Disediakan oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Eksekutif
MAJLIS ULAMA UMNO

No comments:

Post a Comment