Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh
Apabila kita menuduh seseorang tertuduh di mahkamah sebagai "sakau", "penyamun" dan sebagainya, ia adalah satu kezaliman terhadap tertuduh yang belum didapati bersalah tapi tanpa rasa bersalah ia disebarkan seluas-luasnya kerana dia dianggap musuh politik. Apabila orang yang kita suka pula dituduh di mahkamah kita berteriak dan menjerit ia adalah kezaliman. Adakah zalim dan tidak itu terikat dengan suka dan benci pada seseorang?
Islam mengajar kita berlaku adil dengan berpegang pada prinsip "seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya".
Keadilan itu mesti ditegakkan sama ada kepada orang yang kita suka atau kita benci. Itulah prinsip Islam.
Allah mengajar kita berprinsip
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)
"Wahai orang-orang beriman. Jadilah kamu orang-orang yang menegakkan (keadilan) bagi Allah, menjadi saksi-saksi dengan hak yang adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap satu kelompok membawa kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah. Ia lebih dekat dengan taqwa."
(Surah al-Maidah: 8)
Dulu apabila PAS bersama UMNO dalam Muafakat Nasional tiada kedengaran tuduhan sakau dan penyamun kepada rakan tertuduh. Rakan politik dipertahankan atas nama keadilan Islam. Sebaik berakhir muafakat politik, neraca dan kayu ukur keadilan telah berubah. Seolah adil dan zalim itu berlandaskan neraca seseorang itu adalah rakan atau musuh dalam politik.
Berlaku adillah pada lawan atau kawan kerana itulah prinsip Islam. Adil bukan hanya bicara di lidah tetapi perlu ditegakkan.
Dr Khairuddin Takiri
Ahad 12.3.2023
No comments:
Post a Comment