PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 28 February 2020

Punca Keretakan PH

Punca Keretakan PH

1. Sekurang-kurangnya ada 3 Punca keretakan dalam PH iaitu:

A. Anwar yang mendesak untuk menjadi Perdana Menteri sesegera mungkin.

Umum mengetahui bagaimana Anwar sentiasa mempromosi diri untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya selepas Tun. Juak-juaknya diarah untuk melobi di media bagi memberi tekanan agar Tun menunaikan janji melepaskan jawatan. Persoalannya adakah Tun bersedia untuk membiarkan Anwar menjadi PM? Jawapannya telah terjawab menerusi krisis ini.
  
B. DAP yang mendesak pelbagai agenda yang mengancam kepentingan Islam Melayu

Kerakusan DAP telah diketahui umum. Isu UEC dan pilihanraya kerajaan tempatan adalah 2 perjuangan DAP yang sentiasa didesak sedangkan Tun tidak berminat. Di samping umum rakyat melihat pelbagai isu melibatkan Islam dan Melayu menjadi bahan cercaan di media maya.

C. Hubungan rapuh antara sesama pimpinan dalam satu parti dan antara parti.

Pertembungan antara Anwar dan Azmin bukan baru bermula semalam. Ia rahsia bertahun yang diketahui umum. Sebuah parti yang bergolak tidak mampu bertahan lama dalam kerajaan dan tidak mampu bekerjasama untuk agenda negara.

2. Rangkuman semua permasalahan ini terluah hari ini menerusi krisis yang berlaku. Azmin keluar daripada PH. PPBM juga berada di luar PH. Tun bukan lagi Perdana Menteri melainkan hanya bersifat interim menanti pelantikan PM baru kerana beliau sendiri bertindak meletak jawatan PM sebelumnya. Ia kesilapan Tun yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi hikmah yang telah mula terserlah. Tentulah berbeza keadaannya hari ini sekiranya Tun masih belum meletak jawatan. Menteri-menteri PH termasuk yang sombong dan angkuh tentu masih berleluasa berkuasa.

3. Kerajaan Johor telah bertukar tangan. Nasib kerajaan Melaka, Kedah dan Perak juga tergantung menanti apa sikap Azmin dan Muhyiddin dalam menentukan persetujuan siapa menjadi PM. MB Perak dan Kedah serta Ketua Menteri Melaka sudah tidak mempunyai majoriti kerana pasukan Azmin dan PPBM tidak lagi bersama PH. Wakil Rakyat pro azmin dan juga PBBM hanya menunggu arahan menentukan sikap.

4. Pembubaran parlimen boleh berlaku jika tiada nama yang diberi kepercayaan majoriti 112 ahli parlimen untuk menjadi PM. Anwar berkeras tidak menyokong Tun kerana ini lah peluang untuk dia menjadi PM. Namun dia sendiri tidak mempunyai majoriti, hanya sokongan tidak lebih 92 ahli parlimen.

5. Lebih 60 ahli parlimen PAS dan UMNO juga sebulat suara menolak hasrat Tun membentuk kerajaan perpaduan sekiranya disertai oleh DAP. Tanpa PAS dan UMNO Tun tidak mungkin mendapat sokongan majoriti. 

6. Rakyat sedang menunggu keputusan Yang Di pertuan Agong selaku pihak yang berkuasa dalam suasana ini. Meskipun Tun telah mendahului Istana membuat kenyataan, rakyat tetap menanti apa kata Istana. Jika 2 mac 2020 adalah penentuannya di Dewan Rakyat, saya sangat sangat bimbang  selang masa yang ada lagi 3 hari menjadi medan jual-beli prinsip yang boleh berlaku dengan nilaian jutaan ringgit yang boleh mengelabui mata golongan tidak berprinsip.

7. Apa pun PAS tetap istiqamah untuk selamatkan negara dengan Islam. Moga Allah kurniakan yang terbaik untuk negara tercinta ini.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 27 Februari 2020

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3132409186769090/

Friday, 21 February 2020

ARAK PEMBUNUH: HENTIKAN GALAKAN DAN INSENTIF KEPADA PENGILANG ARAK, MALAYSIA TIDAK BOLEH MENJADI MESRA ARAK

*Kenyataan Media*

Jumaat, 21 Februari 2020 | 27 Jamadilakhir 1441H

*ARAK PEMBUNUH: HENTIKAN GALAKAN DAN INSENTIF KEPADA PENGILANG ARAK, MALAYSIA TIDAK BOLEH MENJADI MESRA ARAK*

1. Pada 14 Oktober 2019, akhbar The Edge Markets melaporkan saham-saham dua pengilang arak terbesar di Malaysia, Heineken Malaysia Bhd and Carlsberg Brewery Malaysia Bhd, naik 1.24% dan 0.8% selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengecualikan arak dari kenaikan duti eksais dalam Bajet 2020.

2. Tindakan Lim Guan Eng mendapat pujian Pengarah Urusan Heineken Malaysia Bhd, Roland Bala, yang menyatakan tindakan kerajaan tidak menaikkan duti eksais ke atas arak adalah bukti komitmennya terhadap pengwujudan sebuah Malaysia yang lebih progresif dan lebih Makmur untuk semua golongan rakyat.

“Heineken, Carlsberg advance on being spared excise duties on beer”, https://www.theedgemarkets.com/article/heineken-carlsberg-advance-being-spared-excise-duties-beer

3. Pada 14 Februari 2020, akhbar The Edge Markets melaporkan Carlsberg Brewery Malaysia Bhd mengumumkan Jabatan Kastam membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti berjumlah RM20.65 juta daripadanya.

4. Pembatalan itu dinyatakan oleh Jabatan Kastam berkuatkuasa pada 15 Januari 2020 membabitkan tuntutan ke atas cukai jualan berjumlah RM13.76 juta dan penalti berjumlah RM6.88 juta untuk tempoh 1 Julai 2011 ke 14 Januari 2014.

5. Pengumuman ini menyebabkan saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd naik 00.95%.

“Customs cancels Carlsberg's RM21m bill of demand”, https://www.theedgemarkets.com/article/customs-cancels-carlsbergs-rm21m-bill-demand

6. Semalam, 20 Februari 2020, akhbar The Edge Markets sekali lagi melaporkan Heineken Malaysia Bhd mengumumkan Jabatan Kastam membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti berjumlah RM22.16 juta daripadanya.

7. Pembatalan itu dinyatakan oleh Jabatan Kastam melalui surat bertarikh 3 Februari 2020, berkuatkuasa pada 15 Januari 2020, membabitkan tuntutan untuk tempoh 1 Julai 2012 ke 31 Oktober 2013.

8. Pengumuman ini menyebabkan saham Heineken Malaysia Bhd naik 0.73%.

“Heineken, the second brewery that Customs drops tax demands”, https://www.theedgemarkets.com/article/customs-drops-one-two-tax-demands-against-heineken

9. Kesemua ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat bahawa Kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang mesra arak dan pengilang arak.

10. Langkah-langkah ini adalah bertentangan dengan imej Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam.

11. Langkah-langkah ini juga adalah bertentangan dengan usaha Kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah pemandu mabuk yang semakin parah.

12. Saya mendesak Kerajaan Malaysia memberikan penjelasan konkrit mengapa ia membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti daripada dua pengilang arak ini.

13. Saya juga mendesak Kerajaan Malaysia mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat jelata yang majoriti penduduknya tidak meminum arak berbanding pengilang arak.

14. Walaupun kita menghormati kebebasan bukan Islam meminum arak, tetapi langkah-langkah perlu dibuat untuk menyekatnya dari mengganggu keamanan rakyat jelata.

15. Memberi galakan dan insentif kepada pengilang arak adalah bercanggah dengan konsep Islam Rahmatan lil ‘alamin dan Maqasid Syariah yang menjadi dasar Kerajaan Malaysia.

16. Ia umpama memberi galakan dan insentif untuk membunuh mereka yang tidak berdosa.

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Sumber Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/21/msia-jangan-mesra-arak-henti-insentif-kepada-pengilang/

_Kongsikan maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3118946264782049/

Wednesday, 19 February 2020

Bahaya Menanti Umat (Siri 4) ISTILAH DAN KELEBIHAN ‘BUMIPUTRA’ AKAN DIBUANG

Bahaya Menanti Umat (Siri 4)

*ISTILAH DAN KELEBIHAN ‘BUMIPUTRA’ AKAN DIBUANG*

Perlembagaan DAP dan berbagai macam deklarasi DAP menyatakan perjuangan utama DAP adalah untuk “memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”.

Selaras dengan itu, pemimpin-pemimpin DAP sejak dulu hingga sekarang berjuang mati-matian untuk menghapuskan kewujudan istilah ‘bumiputra’ dalam undang-undang dan dasar negara.

Paling tegar memperjuangkan perkara ini ialah Lim Kit Siang yang antara lainnya menyebut

(1) pada 7 Januari 1969: “Negara Malaysia baru kita semua mahu ialah negara di mana ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua kaum dan kelas, di mana tidak ada warganegara-warganegara Malaysia kelas pertama dan kelas kedua dengan memisahkan mereka kepada ‘bumiputra’ dan ‘bukan-bumiputra’”.

(2) pada 25 Januari 1969: “Kita akan terus menekan ke arah kesaksamaan kaum, di mana semua warganegara adalah sama, di mana tidak ada perbezaan di antara ‘bumiputra’ dan ‘bukan-bumiputra’”.

(3) pada 15 dan 20 September 1995: “DAP mendesak pemisahan rakyat Malaysia kepada bumiputra dan bukan-bumiputra dihapuskan segera”.

Selepas anak Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, menjadi Setiausaha Agung DAP, perjuangan menghapuskan kewujudan istilah ‘bumiputra’ ini diteruskan pula oleh Lim Guan Eng yang antara lainnya menyebut pada 10 Disember 2006:

“Perlembagaan Merdeka 1957 mendiskriminasi rakyat Malaysia kepada bumiputra dan bukan-bumiputra”.

Begitu juga dengan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang antara lainnya menyebut pada 20 Disember 2002: 

“Dr. Mahathir perlu memainkan peranan penting untuk mengkaji semula dasar  "Bumiputra" dan "bukan Bumiputra" serta menghapuskan perbezaan antara kaum di Malaysia”.

Menunggu masa sahajakah golongan Bumiputra yang dilindungi dan diberi keistimewaan oleh dasar dan undang-undang negara untuk melihat kategori "Bumiputra" dan kelebihan mereka sebagai Bumiputra dibuang?

Bagaimanakah nanti nasib golongan Bumiputra di negara ini bila kategori "Bumiputra" dan kelebihan mereka sebagai Bumiputra dibuang?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3110769922266350&id=569086473101387

PAN PASTI PERTAHANKAN DAP

https://malaysiadateline.com/desakan-lucut-kerakyatan-dr-ting-adalah-pemikiran-sempit-kata-amanah-sarawak/

Bahaya Menanti Umat (Siri 3) RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA

Bahaya Menanti Umat (Siri 3)

*RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA*

Selaras dengan matlamat penubuhan DAP untuk memperjuangkan penubuhan sebuah negara sekular, walaupun Islam diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, pemimpin-pemimpin DAP berulangkali menekankan pendirian DAP bahawa agama adalah amalan peribadi yang berkait urusan individu dengan Tuhannya sahaja manakala urusan politik dan pentadbiran negara hendaklah dipisahkan daripada ajaran agama.

Pegangan ini boleh dilihat dalam ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh yang kini adalah Menteri Industri Utama, di Dewan Rakyat pada 12 Julai 2005, yang menyebut hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah ke atas peminum arak merupakan satu bentuk ketidakadilan dan sekatan terhadap kebebasan penganut Islam dari segi pilihan dan hiburannya. Beliau seterusnya mendesak pihak kerajaan mengkaji semula kuasa yang diberi kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mencabuli keperibadian individu.

Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, yang menyebut pada 25 Januari 2006 bahawa agama perlu kekal sebagai urusan individu dengan Tuhannya, kebebasan beragama mesti termasuk kebebasan untuk masuk dan keluar dari mana-mana agama, dan pemimpin-pemimpin agama tempatan perlu mempertimbangkan dengan serius untuk turut mengamalkan perkahwinan antara dua pasangan yang berbeza agama seperti di Indonesia.

Kenyataan sama turut dibuat oleh Sheikh Omar Ali, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Johor, pada 8 September 2015 yang menyebut: “Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti sekular. DAP tidak akan menjadikan sentimen mana-mana agama sekalipun disalahgunakan untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu. Dan DAP menghormati mana-mana sahaja ahlinya untuk menjadi seorang yang kuat beragama. Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya.” 

Seterusnya adalah kenyataan Zairil Khir Johari, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang menyebut pada 19 Ogos 2016 bahawa agama hendaklah menjadi urusan kepercayaan individu yang tidak boleh diputuskan oleh birokrasi, termasuk dalam soal pertukaran agama individu yang mahu keluar dari Islam.

Semua ini jelas bercanggah dengan definisi Islam yang terkandung di dalam ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu sebagai satu cara hidup yang lengkap.

Bolehkah umat Islam melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap bila ia disempitkan sebagai amalan peribadi begini?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3097171620292847&id=569086473101387

DAP PARTI ANGKUH, TAK HORMAT MAHKAMAH

*DAP PARTI ANGKUH, TAK HORMAT MAHKAMAH*

Jika DAP bukan parti angkuh dan menghormati mahkamah, maka apa yang sepatutnya pemimpin DAP lakukan ialah meminta maaf kepada pengundi Pujut khasnya dan kepada rakyat Sarawak umumnya kerana kesilapan memilih Dr Ting Tiong Choon sebagai calon di DUN Pujut dalam PRN Sarawak walaupun beliau tidak layak.

Begitupun, reaksi rasmi Chong Chieng Jen, Pengerusi DAP Sarawak, ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut memperlihatkan kepada rakyat betapa angkuh dan tidak menghormati mahkamahnya DAP.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut, Chong Chieng Jen tetap berkeras tidak mahu menerimanya dan menegaskan bahawa :

1. DUN Sarawak telah menyalahgunakan kuasanya.

2. Dr Ting Tiong Choon telah dipilih secara sah.

3. Dr Ting Tiong Choon akan terus berkhidmat kepada pengundi Pujut hingga habis penggal. 

Lebih membahayakan lagi bila kata-kata menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan ini dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan Pusat seperti Chong Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jika Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara maka tidakkah ini akan menjadikan rakyat biasa lebih berani untuk mempersoalkan keputusan mana-mana mahkamah selepas ini?

Lebih teruk lagi, Chong Chieng Jen adalah seorang peguam dan patut tahu bahawa amalan tradisi Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang (dissenting voice) akan diberikan secara individu oleh tiap-tiap hakim yang menentang manakala suara majoriti (majority voice) pula lazimnya diberikan secara bersama. 

Untuk Chong Chieng Jen meminta setiap satu daripada tujuh orang hakim yang bersetuju dengan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut menulis hujah mereka secara individu adalah satu tindakan yang melampau dan tidak menghormati Mahkamah Persekutuan.

Rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang negara seharusnya beramai-ramai bersuara mendesak Chong Chieng Jen dan DAP meminta maaf atas keterlanjurannya ini.

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3096940640315945/

USUL UNDI PERCAYA : MENJAWAB KRITIKAN AHLI-AHLI AKADEMIK KE ATAS PAS

*USUL UNDI PERCAYA : MENJAWAB KRITIKAN AHLI-AHLI AKADEMIK KE ATAS PAS*

Keputusan PAS untuk mengemukakan usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14 terus mendapat perhatian rakyat, termasuk ahli-ahli akademik.

Dalam akhbar Berita Harian, pensyarah IPTA, Dr Rusdi Omar dari UUM, menyebut usul percaya ke atas PM adalah taktik politik murahan PAS, dan PAS dan UMNO sepatutnya tidak mengacau kerajaan yang ada.

Kata Dr Rusdi, “Selalunya apabila pelantikan Perdana Menteri dibuat, secara tradisinya ia disokong majoriti Dewan Rakyat” dan “sokongan di Dewan Rakyat hanyalah prosedur normal yang biasanya boleh dilepasi tanpa masalah.”

Dalam portal berita Malaysia Kini, dua pensyarah IPTA lain, Dr Mazlan Ali dari UTM, dan Dr Awang Azman Awang Pawi dari UM, menyebut usul percaya ke atas Perdana Menteri adalah tanda PAS takut dan cemas kepada peralihan kuasa.

Kata Dr Mazlan: "Anwar akan tambah sinergi sekaligus menukar mood rakyat. Anwar pasti akan membuat polisi yang akan mengubah mood rakyat kepada lebih baik."

Kata Dr Awang Azman pula: "Kita tahu Anwar dilihat boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan termasuk dalam kalangan parti-parti pembangkang."

Selaku ahli-ahli akademik yang bijaksana, Dr Mazlan, Dr Awang Azman dan Dr Rusdi sepatutnya melihat pengemukaan usul undi percaya bagi menyokong Tun Dr Mahathir dalam konteksnya yang betul dan dari pandangan yang jauh.

Tidak berbangkit soal PAS mahu mengacau kerajaan yang ada kerana apa yang menjadi hasrat PAS ialah untuk memastikan kerajaan yang ada stabil, bukan seperti sekarang di mana hampir setiap hari pemimpin bercakap mengenai peralihan kerajaan.

Cakap-cakap begini mengganggu tugasan dan tumpuan kerajaan yang sepatutnya difokuskan kepada usaha membela kebajikan rakyat dan memajukan negara, sebab itulah isu peralihan kuasa ini perlu diputuskan segera di Dewan Rakyat.

Kita tidak boleh membandingkan pelantikan Perdana Menteri yang dibuat pada masa dahulu dengan pelantikan Perdana Menteri yang dibuat pada masa sekarang kerana pada masa dahulu tiada pertikaian di kalangan pemerintah tidak seperti pada masa sekarang.

Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat polisi yang akan mengubah mood rakyat kepada lebih baik juga tidak benar kerana mood rakyat terbanyak diukur daripada mood golongan majoriti, iaitu orang-orang Melayu.

Kajian Merdeka Centre menunjukkan Datuk Seri Anwar hanya dapat sokongan 13% rakyat Melayu, dan dengan pengumuman beliau mahu menghapuskan pemberian bantuan berasaskan bangsa kepada orang-orang Melayu selama ini pastilah mood mereka akan lebih jatuh.

Dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan juga sangat boleh dipersoalkan kerana jika beliau gagal menyatukan kepelbagaian perbezaan dalam parti beliau sendiri bagaimana beliau boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan di luar?

Kepada ahli-ahli akademik di IPTA, objektiflah dalam mengulas dan hentikanlah budaya membodek pemimpin kerajaan dan mencemuh pemimpin pembangkang.

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3095664157110260&id=569086473101387

TERJAMINKAH INSTITUSI ISLAM DAN MELAYU DI BAWAH PAKATAN HARAPAN?

_Bahaya Menanti Umat (Siri 2)_

*TERJAMINKAH INSTITUSI ISLAM DAN MELAYU DI BAWAH PAKATAN HARAPAN?*

Berdasarkan kepada Fasal II Perlembagaan DAP, matlamat utama penubuhannya adalah untuk mensekularkan Malaysia dan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Di atas asas ini, walaupun Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan", pemimpin DAP telah terus-terusan mempertikaikan kewujudan institusi-institusi Islam di negara ini.

Lama sebelum seruan supaya JAKIM dimansuhkan berkumandang, ia terlebih dulu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Zairil Khir Johari, yang menyebut dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015:

1. “Mengapa kita perlu ada JAKIM?”
2. “Kuasa JAKIM bercanggah dengan Jadual 9 Perlembagaan Malaysia.”

Di atas asas ini, walaupun Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, pemimpin DAP telah terus-terusan mempertikaikan kewujudan institusi-institusi Melayu di negara ini.

Paling mendapat perhatian pemimpin DAP ialah UITM, sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang telah melahirkan sebegitu ramai cendekiawan dan profesional Melayu dan Bumiputera.

Lim Kit Siang, waktu itu Pengerusi DAP, menyebut pada 3 Jun 2002 bahawa Kabinet dan Parlimen hendaklah mempertimbangkan dengan serius supaya institusi-institusi pendidikan yang dikhususkan kepada Bumiputera seperti UITM membuka pintunya kepada semua kaum.

Karpal Singh, waktu itu Pengerusi DAP, menyebut perkara yang sama pada 13 Ogos 2008, dengan berkata Malaysia tidak patut mengamalkan apartheid dan masanya sudah tiba untuk semua institusi pendidikan tinggi dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan M. Kulasegaran, yang waktu ini Timbalan Pengerusi DAP, menyebut perkara yang sama pada 1 Oktober 2013, dengan berkata kemasukan pelajar ke UITM perlu dibuat berasaskan merit, dan pelajar bukan Islam juga perlu diterima belajar di UITM.

Oleh itu, apakah jaminan bahawa institusi-institusi Islam dan Melayu akan terus bertahan di bawah Pakatan Harapan?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3095034697173206/

TIDAK CUKUP DENGAN PERLUCUTAN JAWATAN ADUN : KEWARGANEGARAAN DR. TING TIONG CHOON JUGA PERLU DILUCUTKAN!

*Kenyataan Media*

Selasa, 11 Februari 2020 | 17 Jamadilakhir 1441H

*TIDAK CUKUP DENGAN PERLUCUTAN JAWATAN ADUN : KEWARGANEGARAAN DR. TING TIONG CHOON JUGA PERLU DILUCUTKAN!*

Telah terbukti di Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dari DAP, Dr. Ting Tiong Choon , memang pernah memohon dan memiliki kewarganegaraan Australia selain memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Kerana memiliki dua kewarganegaraan ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei 2017 melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon  sebagai ADUN dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon  sebagai ADUN adalah sah sekali gus menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan Mahkamah Rayuan sebelumnya.

Saya menyanjung tinggi Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dengan tanpa takut dan gentar membuat keputusan yang menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan walaupun parti yang Dr. Ting Tiong Choon  wakili adalah sebahagian daripada pakatan yang memerintah Malaysia sekarang.

Keputusan ini adalah satu amaran keras kepada mana-mana rakyat Malaysia supaya tidak sesekali cuba memohon dan memiliki kewarganegaraan negara asing serta pada masa yang sama masih mahu menikmati keistimewaan yang dimiliki oleh warganegara Malaysia.

Keputusan ini juga adalah satu petanda jelas betapa DAP adalah sebuah parti politik yang tidak patuh kepada perlembagaan dan undang-undang walaupun menyatakan di sebaliknya kerana tetap mencalonkan Dr. Ting Tiong Choon  walaupun beliau tidak layak bertanding.

Begitupun, masanya telah tiba untuk Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menghalang mana-mana warganegara Malaysia mencabulinya dengan Kerajaan Persekutuan segera mengeluarkan perintah bagi melucutkan kewarganegaraan Dr. Ting Tiong Choon .

Perintah ini adalah selari dengan Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.”

Sekian.

_*“Islam Memimpin Perpaduan”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3095024397174236/

USUL UNDI PERCAYA : DATO' RASHID HASNON LAMPAUI BIDANG KUASA

*Kenyataan Media*

Selasa, 11 Februari 2020 | 17 Jamadilakhir 1441H

*USUL UNDI PERCAYA : DATO' RASHID HASNON LAMPAUI BIDANG KUASA*

Mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders of the Dewan Rakyat), jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bukanlah satu jawatan yang berkuasa besar.

Ini kerana Perkara 7 (1) memperuntukkan bahawa tugas Timbalan Yang di-Pertua hanyalah untuk mengetuakan mesyuarat Majlis Dewan Rakyat sebagai pengerusi jika Yang di-Pertua tiada hadir.

Oleh itu, baik Dato' Mohd Rashid Hasnon ataupun Nga Kor Ming, tidak patut membelakangkan ketua mereka, Tan Sri Dato' Mohamad Ariff Md Yusof.

Sebaliknya itulah yang berlaku hari ini apabila Dato' Rashid Hasnon secara terbuka mengeluarkan kenyataan menolak usul undi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin dibawa oleh PAS.

Alasan yang digunakan oleh Dato' Rashid Hasnon, mengikut akhbar Berita Harian, ialah “usul yang ingin dibawa PAS itu tidak menyentuh kepentingan umum dan tidak perlu disegerakan”.

Selaku Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato' Rashid Hasnon patut tahu ayat yang digunakan dalam Perkara 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara 18 (2) menyebut “Tuan Yang di-Pertua hendaklah menolak permintaan (untuk mengemukakan usul) itu kecuali jika dia puas hati iaitu perkara itu ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai.”

Langsung tidak disebut dalam Perkara 18 (2) mengenai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi yang disebut hanyalah mengenai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menunjukkan ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Perkara 18 (2) juga menyebut “Seseorang ahli hendaklah mengeluarkan pemberitahu bersurat yang tidak melebihi tiga ratus perkataan kepada Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan perkara yang hendak dirundingkannya itu iaitu sekurang-kurangnya dua puluh empat jam tidak termasuk hari kelepasan sebelum persidangan dimulakan”.

Sekarang ini pemberitahu bersurat yang dimaksudkan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini belum pun diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bagaimana Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah boleh menolaknya?

Inilah bahananya bila Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah dipilih dari Ahli-ahli Parlimen kerana sebagai Ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti tertentu, mereka pastilah memiliki kepentingan tertentu dan bersifat partisan dalam isu-isu tertentu.

Keputusan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah pemberitahu bersurat dikemukakan bersekali dengan penjelasan bertulis.

Dalam membuat keputusan ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat sewajarnya mengambil kira duluan dalam usul-usul sama yang pernah dibuat pada 1976, 1997 dan 2003.

Sekian.

_*“Islam Memimpin Perpaduan”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_Sila kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3094708187205857/

Bahaya Menanti Umat (Siri 1)TERJAMINKAH ISLAM DI BAWAH PAKATAN HARAPAN?

_Bahaya Menanti Umat (Siri 1)_

*TERJAMINKAH ISLAM DI BAWAH PAKATAN HARAPAN?*

Beberapa kali pemimpin DAP, sama ada secara sendiri atau melalui Pakatan Harapan, mendakwa mereka mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Bagaimanapun, jika diteliti dengan cermat frasa "mengiktiraf Islam adalah agama bagi Persekutuan" langsung tidak ada di dalam Perlembagaan DAP.

Sebaliknya, apa yang ada di dalam bahagian tujuan pada Perlembagaan DAP hanyalah frasa "mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi" sahaja.

Maksudnya ialah DAP mengikut perlembagaannya hanyalah bertujuan memperjuangkan kebebasan beragama tetapi bukan memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Malah Lim Kit Siang selaku Setiausaha Agung DAP pernah menyebut jelas perkara ini dalam ucapannya di Meng Seng Charitable Association, Melaka, pada 23 September 1985.

Kata Lim Kit Siang, “Perlembagaan Malaysia tidak pernah menjadikan Islam agama rasmi dan agama negara sepertimana Bahasa Melayu diisytihar bahasa rasmi dan bahasa negara.”

Bagaimana Lim Kit Siang boleh menimbulkan keraguan ke atas kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan agama negara sedangkan ia wujud dalam perlembagaan?

Sehingga sekarang rekod ucapan Lim Kit Siang ini masih wujud dalam laman web dia sendiri dan sehingga sekarang Lim Kit Siang tidak pernah menafikan dia ada berkata begitu.

Jika DAP berkuasa sepenuhnya, apa yang akan terjadi kepada kedudukan Islam di Malaysia?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3092818224061520/

ANTARA NARATIF PAN KEPADA PAS DAN LABEL RAKYAT KEPADA PAN

ANTARA NARATIF PAN KEPADA PAS DAN LABEL RAKYAT KEPADA PAN

Presiden PAN, Mohamad Sabu, pada 28 Januari lalu menyelar PAS kerana kononnya menyemai sikap dan pemikiran melampau yang didakwa boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Begitupun, sikap dan pemikiran melampau ini hanya dibuktikan dengan satu posting pada akaun Facebook seorang individu yang tidak berjawatan.

Pada masa yang sama, Presiden PAN memejamkan mata kepada sikap dan pemikiran melampau yang disemai oleh kenyataan-kenyataan pemimpin kanannya sendiri yang bertaraf Menteri.

Sebagai contohnya, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, dalam bual bicara bertajuk “Pakatan Nasional - Suatu Pembohongan?” menyebut PAS “dah jauh sangat terpesong” dan “penunggang agama”.

Menteri Agama yang juga Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusof, pula dalam tulisan bertajuk “Apa Perlunya Pakatan Baru?” dalam Malaysiakini menyebut PAS sebagai “kelompok yang tunggang agama” dan yang “belum 'bertaubat' daripada 'dosa' penunggang kaum dan agama”.

Kedua-dua kenyataan Menteri PAN ini adalah cerminan naratif PAN bagi menggambarkan PAS adalah penunggang agama tetapi yang pasti dan semua orang tahu PAS adalah parti Islam yang paling tegas dengan prinsip beragama.

Manakala label yang rakyat berikan pada PAN ialah khadam DAP serta menunggang agama dan bangsa demi kepentingan DAP, dan PAN yang terkapai-kapai mahu keluar dari label ini lalu memprojeksikannya kepada PAS untuk menyelamatkan diri.

Saya menyeru pemimpin-pemimpin PAN khususnya yang bertaraf Menteri supaya lebih fokus kepada usaha untuk membuang label negatif yang diberikan kepada mereka oleh rakyat di sebalik memberikan label negatif kepada PAS.

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3090262087650467/

USUL PERCAYAKAN PM : MEMPERTEGUH MANDAT KEPADA KETUA KERAJAAN

*Kenyataan Media*

Ahad, 9 Februari 2020 | 15 Jamadilakhir 1441H

*USUL PERCAYAKAN PM : MEMPERTEGUH MANDAT KEPADA KETUA KERAJAAN*

Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa mana-mana perubahan yang dilakukan mengikut perlembagaan negara dan undang-undang negara adalah perubahan yang “sah” sekalipun ia dilakukan mengikut 'tingkap'.

Perlembagaan negara dan undang-undang negara mahupun negeri tidak menghalang perubahan kerajaan walaupun ia melibatkan perubahan keseluruhan kerajaan seperti yang bermula di Terengganu pada 1960 dan paling mutakhir berlaku di Perak pada 2009.

Malah, jika dilihat kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan di Perak, Sabah dan Kedah selepas berakhirnya PRU 14 pun, ia boleh dikira sebagai penubuhan kerajaan yang dilakukan mengikut 'tingkap' kerana tiada pemenang muktamad di ketiga-tiga negeri ini.

(i) Di Sabah, kedudukannya adalah 29 kerusi WARISAN-Pakatan Harapan dan 29 kerusi Barisan Nasional sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

(ii) Di Perak, kedudukannya adalah 29 kerusi Pakatan Harapan, 26 kerusi Barisan Nasional dan 3 kerusi PAS sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

(iii) Di Kedah, kedudukannya adalah 18 kerusi Pakatan Harapan, 15 kerusi PAS dan 3 kerusi Barisan Nasional sehinggalah ADUN Barisan Nasional menyeberang.

Di dalam ketiga-tiga keadaan ini, tidak kedengaran pun pihak-pihak yang sekarang lantang menyelar usaha untuk kononnya mewujudkan Kerajaan Pusat melalui pintu belakang ini bersuara mengecam amalan mewujudkan Kerajaan Negeri melalui pintu belakang.

Jika perubahan kerajaan yang melibatkan pertukaran ketua kerajaan sekalipun adalah dibenarkan oleh perlembagaan negara dan undang-undang negara maka apatah lagi perubahan kerajaan yang sama sekali tidak melibatkan pertukaran ketua kerajaan.

Apa yang paling penting adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang Perdana Menteri di bawah perkara 40 (2) (a) perlembagaan negara yang wajib diakuri.

Selagi mana pada hemat Yang di-Pertuan Agong seorang Perdana Menteri mungkin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut perkara 43 (2) (a) perlembagaan negara maka beliau akan kekal sebagai seorang Perdana Menteri.

Mengikut perkara 43 (5) perlembagaan negara, Perdana Menteri juga boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan mana-mana Menteri dan menggantikan mereka dengan Menteri-Menteri lain mengikut perkara 43 (2) (b). 

Inilah yang mahu dilakukan oleh PAS dalam sidang Parlimen yang bermula pada 9 Mac nanti, iaitu mengemukakan “Usul Percaya Terhadap Perdana Menteri" bagi memastikan bahawa Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Jangan sesekali dikatakan ini adalah perlakuan yang sia-sia, membazir masa atau tidak mengikut peraturan kerana ia amat penting bagi memastikan kestabilan negara dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, khususnya perkara 18 (1).
Sekian.

_*“Islam Memimpin Perpaduan”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :
https://www.facebook.com/drtakiri/posts/3089957911014218?__tn__=K-R

Lumpuhnya Ekonomi Akibat Wabak

Lumpuhnya Ekonomi Akibat Wabak

1. China bakal berdepan dengan kemelut ekonomi yang parah akibat coronavirus. Perintah berkurung sekarang melibatkan 500  juta rakyat akan memberikan kesan berganda pada aktiviti ekonomi yang mengakibatkan kerugian material yang sangat besar malah boleh melumpuhkan ekonomi China. 

2. Demikianlah kekuatan ekonomi mana-mana bangsa dan negara sekalipun boleh sahaja hancur dengan sekelip mata hanya dengan penyebab makhluk yang sangat kecil dan mikro seperti virus. Ia mengingatkan kita dengan kemusnahan peradaban umat dahulu kala akibat sombong dan angkuh terhadap Tuhan sebagaimana diceritakan dalam al-Quran. 

3. Dunia Islam baru sahaja didedahkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap umat Islam Uighur meskipun dinafikan oleh China. Moga apa yang berlaku boleh mengajak China kembali meneliti polisi-polisi ketidakadilan mereka terhadap muslim. 

4. Kita mendoakan agar rakyat China diselamatkan segera daripada bala bencana besar ini dan juga berdoa agar dunia tidak diserang oleh wabak ini yang boleh sahaja melumpuhkan ekonomi dunia. Penyebaran wabak ini ke beberapa negara termasuk negara kita Malaysia sangat membimbangkan yang mengajak kita sentiasa berdoa dengan doa "Isti'azah" memohon perlindungan daripada Allah. 

5. Sebagai muslim kita berpegang pada prinsip bahawa aktiviti ekonomi bukan hanya dibina pada kekuatan fizikal dan materialnya sahaja tetapi perlu bangkit atas dasar pembangunan spiritual kemanusiaan dan bersifat ketuhanan yang mementingkan etika dan barakah. 

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
19.2.2020

BEIJING - Hampir 500 juta penduduk China terperangkap selepas pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung ketika wabak koronavirus (Covid-19) merebak ke setiap pelosok wilayah di republik itu.

https://www.sinarharian.com.my/article/70267/KHAS/Koronavirus/Setengah-bilion-terperangkap-akibat-Covid-19

*MUNGKINKAH PENAMATAN OPERASI TH HOTEL USAHA TERANCANG UNTUK LUMPUHKAN EKONOMI UMAT ISLAM?*

*Kenyataan Media*

Selasa, 18 Februari 2020 | 24 Jamadilakhir 1441H

*MUNGKINKAH PENAMATAN OPERASI TH HOTEL USAHA TERANCANG UNTUK LUMPUHKAN EKONOMI UMAT ISLAM?*

Saya amat bimbang penamatan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel milik TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) adalah usaha terancang pihak tertentu untuk melumpuhkan ekonomi umat Islam.

Tiba-tiba sahaja umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan pengumuman bahawa THHR akan menamatkan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel miliknya, iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu, pada 1 April depan.

Mengikut Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif THHR, Zulkefli Ahmad, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dan bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik kepada UJSB.

Seperti yang kita semua tahu, UJSB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji, dan seperti yang kita semua juga tahu, Kementerian Kewangan adalah dikuasai oleh pemimpin tertentu.

Walau apa sekalipun alasan yang diguna bagi menamatkan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel milik THHR ini, umat Islam di Malaysia wajar bangkit menentang tindakan ini kerana hotel-hotel ini bukan sahaja tidak diketahui mempunyai apa-apa masalah besar tetapi adalah juga lambang kebanggaan ummah.

Hotel-hotel ini adalah bukti bahawa ekonomi umat Islam boleh dimajukan dengan menceburi sektor yang didominasi oleh orang bukan Islam sehingga ia menjadi pilihan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga bukan Islam tanpa mengabaikan prinsip kepatuhan syariah.

Kewujudan hotel-hotel yang memberikan jaminan perkhidmatan patuh syariah serta pematuhan kepada kehendak penyediaan makanan ‘halal dan toyyiban’ ini juga adalah pembuka kepada jaringan yang sangat besar dalam mengembangkan ekonomi umat Islam.

Pertamanya, hotel-hotel milik THHR ini memberi ruang pekerjaan yang luas kepada tenaga kerja dan profesional Islam yang kurang diterima dalam sektor lain mahupun dalam sektor perhotelan konvensional, termasuk golongan wanita yang berhijab, untuk berkhidmat.

Lebih jauh dari itu, hotel-hotel milik THHR ini juga telah membuka jaringan yang sangat besar dalam pelbagai industri halal milik umat Islam dan keluaran Bumiputera, contohnya ialah syampu dan sabun serta haruman berasaskan buahan tempatan seperti tembikai susu.

Bayangkanlah betapa ramai yang akan terjejas ekoran penamatan operasi dan perkhidmatan hotel-hotel ini yang melampaui nasib malang para pekerjanya yang akan kehilangan kerja mereka, sedangkan sebelumnya hotel-hotel ini dirancang untuk diluaskan ke seluruh negara.

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Sumber Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/18/tamat-operasi-usaha-lumpuh-ekonomi-umat-islam/

_Kongsikan maklum balas anda di pautan berikut :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3110253658984643/

Bahaya Menanti Umat (Siri 4)ISTILAH DAN KELEBIHAN ‘BUMIPUTRA’ AKAN DIBUANG

Bahaya Menanti Umat (Siri 4)

*ISTILAH DAN KELEBIHAN ‘BUMIPUTRA’ AKAN DIBUANG*

Perlembagaan DAP dan berbagai macam deklarasi DAP menyatakan perjuangan utama DAP adalah untuk “memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”.

Selaras dengan itu, pemimpin-pemimpin DAP sejak dulu hingga sekarang berjuang mati-matian untuk menghapuskan kewujudan istilah ‘bumiputra’ dalam undang-undang dan dasar negara.

Paling tegar memperjuangkan perkara ini ialah Lim Kit Siang yang antara lainnya menyebut

(1) pada 7 Januari 1969: “Negara Malaysia baru kita semua mahu ialah negara di mana ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua kaum dan kelas, di mana tidak ada warganegara-warganegara Malaysia kelas pertama dan kelas kedua dengan memisahkan mereka kepada ‘bumiputra’ dan ‘bukan-bumiputra’”.

(2) pada 25 Januari 1969: “Kita akan terus menekan ke arah kesaksamaan kaum, di mana semua warganegara adalah sama, di mana tidak ada perbezaan di antara ‘bumiputra’ dan ‘bukan-bumiputra’”.

(3) pada 15 dan 20 September 1995: “DAP mendesak pemisahan rakyat Malaysia kepada bumiputra dan bukan-bumiputra dihapuskan segera”.

Selepas anak Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, menjadi Setiausaha Agung DAP, perjuangan menghapuskan kewujudan istilah ‘bumiputra’ ini diteruskan pula oleh Lim Guan Eng yang antara lainnya menyebut pada 10 Disember 2006:

“Perlembagaan Merdeka 1957 mendiskriminasi rakyat Malaysia kepada bumiputra dan bukan-bumiputra”.

Begitu juga dengan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang antara lainnya menyebut pada 20 Disember 2002: 

“Dr. Mahathir perlu memainkan peranan penting untuk mengkaji semula dasar  "Bumiputra" dan "bukan Bumiputra" serta menghapuskan perbezaan antara kaum di Malaysia”.

Menunggu masa sahajakah golongan Bumiputra yang dilindungi dan diberi keistimewaan oleh dasar dan undang-undang negara untuk melihat kategori "Bumiputra" dan kelebihan mereka sebagai Bumiputra dibuang?

Bagaimanakah nanti nasib golongan Bumiputra di negara ini bila kategori "Bumiputra" dan kelebihan mereka sebagai Bumiputra dibuang?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3110769922266350&id=569086473101387

Saturday, 15 February 2020

DAP Perlu Minta Maaf

https://www.sinarharian.com.my/article/69741/BERITA/Politik/DAP-perlu-minta-maaf-kepada-pengundi-DUN-Pujut
DAP perlu minta maaf kepada pengundi DUN Pujut
12 Februari 2020

DAP: RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA

Bahaya Menanti Umat (Siri 3)

*RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA*

Selaras dengan matlamat penubuhan DAP untuk memperjuangkan penubuhan sebuah negara sekular, walaupun Islam diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, pemimpin-pemimpin DAP berulangkali menekankan pendirian DAP bahawa agama adalah amalan peribadi yang berkait urusan individu dengan Tuhannya sahaja manakala urusan politik dan pentadbiran negara hendaklah dipisahkan daripada ajaran agama.

Pegangan ini boleh dilihat dalam ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh yang kini adalah Menteri Industri Utama, di Dewan Rakyat pada 12 Julai 2005, yang menyebut hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah ke atas peminum arak merupakan satu bentuk ketidakadilan dan sekatan terhadap kebebasan penganut Islam dari segi pilihan dan hiburannya. Beliau seterusnya mendesak pihak kerajaan mengkaji semula kuasa yang diberi kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mencabuli keperibadian individu.

Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, yang menyebut pada 25 Januari 2006 bahawa agama perlu kekal sebagai urusan individu dengan Tuhannya, kebebasan beragama mesti termasuk kebebasan untuk masuk dan keluar dari mana-mana agama, dan pemimpin-pemimpin agama tempatan perlu mempertimbangkan dengan serius untuk turut mengamalkan perkahwinan antara dua pasangan yang berbeza agama seperti di Indonesia.

Kenyataan sama turut dibuat oleh Sheikh Omar Ali, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Johor, pada 8 September 2015 yang menyebut: “Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti sekular. DAP tidak akan menjadikan sentimen mana-mana agama sekalipun disalahgunakan untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu. Dan DAP menghormati mana-mana sahaja ahlinya untuk menjadi seorang yang kuat beragama. Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya.” 

Seterusnya adalah kenyataan Zairil Khir Johari, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang menyebut pada 19 Ogos 2016 bahawa agama hendaklah menjadi urusan kepercayaan individu yang tidak boleh diputuskan oleh birokrasi, termasuk dalam soal pertukaran agama individu yang mahu keluar dari Islam.

Semua ini jelas bercanggah dengan definisi Islam yang terkandung di dalam ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu sebagai satu cara hidup yang lengkap.

Bolehkah umat Islam melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap bila ia disempitkan sebagai amalan peribadi begini?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3097171620292847&id=569086473101387

DAP Sempitkan Islam

https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/12/dap-sempitkan-islam-sebagai-amalan-peribadi-sahaja/

PINDA AKTA 333 ATASI PEMANDU MABUK SEBABKAN KEMATIAN

*Kenyataan Media*

Jumaat, 14 Februari 2020 | 20 Jamadilakhir 1441H

*PINDA AKTA 333 ATASI PEMANDU MABUK SEBABKAN KEMATIAN*

Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, supaya pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi dalam usaha kerajaan mengemuka pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam.

Malaysia adalah sebuah negara Islam, jadi amat wajar dipertimbangkan saranan Dato’ Tuan Ibrahim iaitu adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam serta adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga.

Sedangkan negara-negara bukan Islam di Benua Asia seperti Taiwan dan China pun telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka, termasuk bagi menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam, begitu juga negara bukan Islam di Benua Eropah seperti Sweden dan di Benua Amerika seperti sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

Paling asas adalah untuk menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Othman Talib, atau menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut.

Saya juga menyokong saranan Dato’ Tuan Ibrahim supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan ke bulan Jun atau Julai kerana usaha mengkajinya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sejak 2018 dan 2019 lagi, dan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa manusia hilang.

Perlu dititikberatkan aspek penguatkuasaan bersepadu daripada semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan. Jika penguatkuasa boleh dihantar ke restoran bagi menahan rakyat yang merokok, mengapa penguatkuasa tidak dihantar ke pusat hiburan yang menghidangkan alkohol bagi menahan rakyat yang memandu dalam keadaan mabuk?

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Pautan Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/14/pinda-akta-333-atasi-pemandu-mabuk-sebabkan-maut/

_Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda :_
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3101386776537998&id=569086473101387

TUBUH RCI BUKTIKAN SERIUS TANGANI PELBAGAI ISU LANDA TH

*Kenyataan Media*

Jumaat, 14 Februari 2020 | 21 Jamadilakhir 1441H

*TUBUH RCI BUKTIKAN SERIUS TANGANI PELBAGAI ISU LANDA TH*

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling baik bagi menangani pelbagai isu yang melanda Tabung Haji yang dikatakan melibatkan salah guna kuasa dan "urusan luar biasa" sama ada semasa pengurusan terdahulu atau baharu.

Selain isu salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan kewangan TH oleh pengurusan lama seperti yang sering dituduh oleh pemimpin Kerajaan terutamanya Menteri Hal Ehwal Agama sendiri sedangkan tiada satu pun pendakwaan telah dibuat sehingga kini, isu penjualan tanah-tanah ladang milik TH Plantation Berhad dan pelupusan aset TH kepada syarikat SPV yang penuh dengan keraguaan yang berlaku di bawah rejim baru  juga perlukan jawapan sebenar mengenainya.

Justeru, RCI yang dijamin ketelusannya adalah sangat penting bagi menangani persepsi awam terhadap TH sekaligus menghapuskan tanggapan negatif yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan ke atas TH.

Sikap Menteri berkenaan pula yang menolak keperluan RCI pada masa siasatan oleh PDRM dan SPRM kelihatan seperti tiada perkembangan sejak lebih setahun lalu dan maklum balas yang telus tidak diberikan bagi menjelaskan isu-isu semasa, adalah amat pelik sedangkan beliau paling lantang menyuarakan kesungguhan untuk membasmi penyelewengan yang melibatkan kepentingan TH.

Jika sungguh Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) serius mahu menanganinya, buktikannya dengan menubuhkan RCI.

Jangan jadikan isu yang melanda TH yang amat penting buat umat Islam ini semata-mata sebagai peluru untuk menyerang seteru.

Saya menyokong penuh Kenyataan Media MUAFAKAT NASIONAL yang dikeluarkan hari ini.

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Pautan Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/14/tubuh-rci-buktikan-serius-tangani-isu-landa-th/

_Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3102240879785921/

Friday, 14 February 2020

PERINGATAN DIRI; Mohon Cahaya Daripada Allah

PERINGATAN DIRI
Mohon Cahaya Daripada Allah

1. Antara doa menarik dibaca oleh Nabi saw di waktu malam ketika Tahajjud dan juga ketika bergerak ke masjid  sebagaimana riwayat Ibnu Abbas ialah doa memohon diberikan cahaya.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ لي في قَلْبِي نُورًا، وفي لِسَانِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وَمِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتي نُورًا، وَعَنْ يَمِينِي نُورًا، وَعَنْ شِمَالِي نُورًا، وَمِنْ بَيْنِ يَدَيَّ نُورًا، وَمِنْ خَلْفِي نُورًا، وَاجْعَلْ في نَفْسِي نُورًا، وَأَعْظِمْ لي نُورًا (¹) 

"Ya Allah jadikan untukku pada hatiku cahaya, pada lidahku cahaya, pada pendengaranku cahaya, pada penglihatan ku cahaya, dari atasku cahaya, dari bawahku cahaya, dari kanan ku cahaya, dari kiriku cahaya, dari depanku cahaya, dari belakang ku cahaya dan jadikanlah pada diriku cahaya dan besarkan lah untukku cahaya"

2. Cahaya diperlukan oleh manusia bagi menerangi alam. Cahaya juga diperlukan oleh manusia bagi menyinari kehidupan yang gelap dan merungkai kekusutan hidup. Hanya Allah yang memiliki cahaya penyuluh untuk manusia berjalan dalam hidup ini dengan tenang dan lapang tanpa kesempitan pemikiran dan perasaan.

3. Kita berdoa agar diberikan cahaya pada sebelas perkara iaitu empat anggota-anggota utama pancaindera; hati, lidah, pandangan dan pendengaran, enam arah yang mengelilingi diri; kanan, kiri, atas, bawah, depan dan belakang, dan cahaya dalam diri sendiri agar kita sentiasa dalam pemeliharaan Allah, diberi panduan dan cahaya kehidupan agar tidak tergelincir daripada landasan yang benar. 

Marilah berdoa dengan doa ini.

(¹) Hadis Sahih Muslim. Juga diriwayatkan dengan pelbagai lafaz oleh Bukhari, Ahmad dan Nasaei.

disediakan oleh
al-Faqir, Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 14.2.2020

Tuesday, 11 February 2020

TERJAMINKAH ISLAM DI BAWAH PAKATAN Harapan?